Biar kusedut aroma terasinya
Dalam ‘Catatan Hujung’ Harakah (halaman N31) bilangan 1693 iaitu untuk tempoh 29 Zulhijjah 1432 – 2 Muharam 1433, Ahmad Lutfi Othman menulis begini:
“Seorang teman mengirim emel kepada saya, mengutip respons Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Md Alwi Che Ahmad dalam Facebook. Saya tertarik dengan ungkapan Alwi, di antaranya:
Hari ini Tun M kata macam-macam, Melayu gaduh sama sendiri, pemimpin Umno tiada pelapis ... saya nak tanya Tun M, bukankah di zamannya Umno dan Pas mula bergaduh? Dia benci PAS sebab Yusof Rawa pernah kalahkan beliau. Lepas itu dia pecat Musa Hitam, kemudian guna Pak Ghafar, lepas itu suruh Anwar kalahkan Ghafar. Sebelumnya dia benci Tengku Razaleigh, kemudian pecat Anwar ...
Dalam FB, Alwi kelihatan berdebat dengan seorang penyokong Mahathir. Beliau turut merakamkan:
“ Dulu saya selalu hantar Tun M keluar negara. Cium tangan hormat pemimpin dan orang tua. Tetapi suatu hari di bilik bunga raya, saya tengok Pek Khing letak tangan atas bahu Tun M, Vincent Tan pula salam biasa, saya jadi kaget. Lepas itu saya refused menghantarnya tetapi hati saya memberontak. Aku hormatkan dan muliakan pemimpinku, (tetapi) bangsa lain ...”
2.
Ya, kita juga kerap dengar kisah Tengku Celup W dan Tengku Celup P masuk sampai ke ceruk ke dapur orang besar-besar Melayu sebagai perkara yang sangat biasa. Kelakuan seperti ini sudah menjadi lumrah kerana itulah norma perhubungan yang sangat kental lagi akrab...
Dan di khalayak ramai, orang-orang Melayu mencium tangan para pembesar Melayu ini.
3.
Ini pula rakaman Khatijah Sidek dalam “Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa” Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2010 http://www.ukm.my/penerbit halaman 174:
“Setahun kemudian, pada 1958, kerajaan menganugerahkan pingat dan darjah kebesaran kepada mereka yang berjuang untuk kemerdekaan. Terdapat bermacam jenis orang dalam senarai penerima anugerah itu, ada ramai tauke Cina yang menyumbangkan wang tepat pada waktunya; juga sesetengah orang kaya India yang menyumbangkan wang setelah melihat siapa akan menang, bahkan termasuk juga beberapa pegawai British itu tiba-tiba menjadi ‘Malayan’, tapi masih juga memegang pasport British.
Ketua baru Kaum Ibu UMNO yang menggantikan tempat saya sembilan bulan sebelum merdeka diberi pingat kerana ‘jasanya terhadap kaum wanita’, sungguhpun semua kerja itu, khasnya untuk pilihanraya, sudah saya lakukan sebelum dia memegang jawatan itu.”
4.
Anehkah ini semua?
Inilah peringatan untuk renungan semua, khususnya calon-calon pemimpin yang sangat yakin bahawa dalam kehidupan manusia itu, ada dimensi lain yang jauh lebih utama. Dimensi yang kekadang terlindung apabila dan tatkala berdepan dengan silau kemilau ghanimah, bertimbun.
Tapi apakah salahnya jika tangan itu (yang mungkin saja masih berbekas sisa belacan@terasinya) dikucup, semau-maunya? Tidak lama, paling-paling tempoh kucupan azimat itu hanyalah dua minit.
Setelah itu semuanya pasti beres. Dan paling penting dengan berbuat demikian, tak ada apa pun yang bakal susut, kecuali bau aroma belacannya.
Bukankah berpatutan bertingkah begitu?
No comments:
Post a Comment