Thursday, June 21, 2012

Pabila Sang Tupai bergerak, digerakkan




“Kuala Lumpur City Hall (DBKL) has sent a notice of demand to Bersih co-chairperson Ambiga Sreenevasan and committee member Maria Chin Abdullah, demanding compensation of RM351,203.45 for “losses” incurred during the Bersih 3.0 rally.

They were ordered to settle the bill together with a RM100 notice fee within 14 days of receiving the notice, failing which legal action would be taken against them.”

_________________________________________________________

Surat Jusoh Tukang Rumah, Kepala Bukit, Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, Kedah kepada temannya Merbah di Lembah Kelang.

Sahabatku,

Apakah kau sudah baca berita-berita seperti di atas?  Aku yakin kau telahpun ketahui berita-berita seperti ini.  Mungkin juga kau lebih arif kerana telah mengikuti setiap dan segala perkembangan dari dekat.  Pabila aku membaca berita ini dan melihat apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur, aku teringatkan kamu yang berumahpohon, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.   

Sahabat,

Terdapat bermacam-macam makna berita di atas.  Bagiku apakah ini makna SEBENAR berita-berita seperti di atas?

Pertama: Kaedah lama masih digunakan untuk memastikan kepatuhan mutlak.  Ini berlaku kerana Sang Penguasa sudahpun terbiasa, seasoned dengan perbuatan-perbuatan memujuk,  membeli, memperdaya, menggertak, mengancam dan mengugut.  Oleh kerana sudah terbiasa, mereka kurang arif dengan kaedah-kaedah lain.  Atau mungkin juga kaedah-kaedah lama seperti memujuk, menggula-gulai atau membeli penentang itu adalah SOP yang sentiasa digunakan.  Namun oleh kerana ini berlaku di sebalik tabir, maka perbuatan ini tidak begitu ketara kepada khalayak.  Khalayak hanya mencerap dan membaca segala macam gerak geri dari jauh.  Ibarat Ahmad Lebai Sudin membaca gerak gerinya tupai di ranting dan dahan pokok-pokok durian di dusunnya.   

Kedua: Apabila kaedah-kaedah lunak seperti memujuk, membeli atau memperdayakan para penentang tidak lagi berhasil maka satu lagi pilihan ialah dengan berkasar.  Pada pandangan Sang Penguasa ini, ketam yang SENGAJA tidak MAHU berjalan betul mestilah didisiplinkan dengan menggunakan rotan-rotan besar yang dimilikinya. Mungkin pada Sang Penguasa ini, dengan berkasar via alat-alat dan jenteranya, ia pasti dapat mendisiplinkan penentangnya.    Mungkin  juga mengikut ilmu tilik menilik Sang Penguasa ini, semua dan segala macam ketam pasti berjalan betul apabila sudah dirotan dengan keras dengan menggunakan rotan yang besar.

Wahai Sababat,

Bagiku siri tindakan yang dilaksanakan oleh Sang Penguasa ini memperkukuhkan beberapa tanggapan yang selama ini bermain-main dalam kepala rakyat:

i) Bahawa kaedah ‘rule by law’ itu digunakan bukan sekadar untuk mempamerkan tetapi apabila perlu mengeluarkan kukunya.  Ertinya sesiapa yang berani menentang akan dimusnah  dengan kaedah ini.

ii) Bahawa mangsa-mangsa yang mesti dikorbankan itu mestilah yang terpilih dan dipilih.  Ertinya ketam yang menjadi sahabat akrab Sang Penguasa yang seumur hidupnya TIDAK pernah berjalan betul tidak akan kelihatan di radar skrin peraturan dan undang-undang.  Ertinya para Sabahat dan kroni tidak boleh dimangsai.

iii) Bahawa Sang Penguasa ini cukup yakin bahawa peristiwa Bersih 3.0 itu kecil dan ia boleh dipadamkan dengan menggunakan kaedah gertak dan ugutan.

iv) Bahawa akhirnya, Sang Penguasa pasti dapat mematikan gerakan rakyat yang telahpun bangkit mendesak supaya pilihan raya kita itu mestilah BERSIH dan adil.  Ertinya rakyat akan kalah dengan kekuatan dan maha kuasanya KUASA Sang Penguasa itu.

v) Bahawa sekarang ini, siri-siri memperalatkan segala Agensi/Institusi awam itu sudahpun lengkap atau pun hampir-hampir lengkap.  Mungkin bilangan institusi awam yang masih terselamat dari kerosakan Sang Penguasa itu boleh dibilang dengan jari.  Kau tentu masih tidak lupa bahawa inilah ilmu terbaik yang pernah diajar oleh itu Sang Maha Kutty itu.

Wahai Sahabat,

Sampai di sini dulu, suratku kali ini.  Oh ya, jika kebetulan kau ternampak atau terpandang mana-mana@sebarang wanita India membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tempat aku dan kau pernah digaspedihmatakan tempoh hari, berhati-hatilah  sebelum kau menuduh dan bertindak.  Jangan kau sampai terkeliru bahawa seorang insan keturunan India itu boleh kau cop-labelkan  pengkhianat dan penjuang seks songsang.  Janganlah sampai kau terlanjur keliru dalam bersikap: Bahawa seorang wanita yang bukan Melayu itu boleh kau baham sesuka hatimu.

Sekian, sampai jumpa lagi.

Sahabatmu,
 
Jusoh 
Kepala Bukit.



No comments: