aku, ya ― kamilah setan itu
bertahun-tahun,
tanpa notis-isytihar,
penuh tekun dan ikhtiar
saban waktu kudendangkan
irama membahagiakan itu,
dan telah kalian
terpukau, kupukau
muslihat mainanku
membidas jua, sentiasa:
ternyata ketaksuban
melampau-lampau
telah membutakan
segala mata yang waras.
bertahun-tahun,
aku sekadar main-main
percayalah, itu
tak pernah kusembunyikan;
sisi-sisi
gelapku, segala pekung jijik
memualkan itu.
dan kutahu,
kau tidak pernah tahu apatah lagi sadar:
ketaksubanmu perisai
terbaikku ―
terampuh
pelindung segala
pekung jijik ― sisi-sisi
gelapku itu,
terlindung
jua.
hari ini,
kuisytiharkan:
aku, ya ― kamilah
gerombolan setan
itu.
kenalan, dan pelindungmu,
selama ini.
apakah itu
masalah yang besar?
kassim muhamad
taman ria,
sungai petani.
26 ogos 2012.
No comments:
Post a Comment