Dinsman (Artikel
394, 5/8)
Masih relevankah doktrin ekonomi sosialis?
Petang Ahad itu,
di Madrasah Tarbiyah Jalam Gombak, ketika melihat Hishamuddin Rais begitu
beriya-iya menegaskan apa yang disebutnya perkara paling fundamental perlu
difahami mengenai politik dunia hari ini, iaitu bahawa semua perebutan kuasa
sebenarnya adalah perebutan ekonomi dan perebutan ekonomi itu berlaku di antara
kelas-kelas dalam masyarakat – terlintas dalam fikiran saya beberapa perkara.
Pertama,
Hishamuddin barangkali tidak sedar bahawa dia sebenarnya tidak lagi berhujah
menentang faham Kapitalis apabila dia terus berpegang dan berusaha meyakinkan
orang ramai terhadap doktrin Sosialis itu, kerana sistem politik dunia hari ini
sudah berubah. Dunia tidak lagi terbahagi kepada dua kuasa Kapitalis dan
Komunis-Sosialis, tetapi sudah ada Islam yang sedang menggugat kuasa Kapitalis;
manakala Komunis-Sosialis tidak lagi menjadi ancaman kepada Kapitalis.
Kedua, dia
tentunya tidak sedar bahawa dia mungkin sedang beraksi sebagai ‘alat’ kepada
para Kapitalis di Amerika, kerana hujah-hujahnya yang cuba menafikan peranan
agama (Islam) dalam pergolakan politik dunia hari ini (khasnya di Timur Tengah)
itu adalah hujah yang menyebelahi Amerika dan memberi semacam kewajaran kepada
peranan yang dimainkan Amerika dalam usaha dan peperangan yang mereka lancarkan
untuk mengekang kebangkitan Islam.
Saya bangkitkan
perkara ini dalam sesi soal-jawab di hujung forum mengenai “Kudeta Mesir”
anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Madrasah Tarbiyah, yang dijayakan oleh
Hishamuddin, Cikgu Azmi Hamid, Ahmad Muhajir dan Hasni Abas, dengan Kassim
Muhamad sebagai moderator itu. Ia berlangsung di ruang perpustakaan surau
tersebut, menjelang waktu berbuka puasa Ahad 28 Julai.
Pada mulanya saya
tidak berniat hendak bercakap pun, kerana saya sudah membincangkan perkara
berkenaan dalam kolum ini, yang terbit Ahad itu. Tetapi tiba-tiba idea di atas
itu melintas dalam fikiran. Saya tiba-tiba melihat suatu keadaan yang paradoks
itu. Mungkin saya betul dan mungkin juga saya silap. Maka saya lontarkan idea
itu ke dalam gelanggang, sekadar bahan perbincangan.
Saya terfikir
begitu. Hishamuddin membawa hujahnya itu (bukan sahaja pada petang itu tetapi
kerap juga melalui tulisan-tulisannya) tentulah bukan dengan tujuan untuk
menyokong aksi Amerika yang kini berlagak sebagai polis dunia, atau cuba
menguasai sumber-sumber ekonomi yang ada di dunia. Tetapi tanpa disedarinya
saya rasa hujah Hishamuddin itu menyebelahi Amerika, kerana dia tidak
menyalahkan Amerika sebagai faktor utama tercetusnya krisis di Mesir itu.
Kalau pada
pendapat saya mudah sahaja. Memanglah di dalam kancah peristiwa berdarah yang
kini telah mengorbankan ratusan jiwa itu, banyak pihak yang terlibat, seperti
dihuraikan oleh Cikgu Azmi. Tetapi faktor utamanya apa, kalau bukan Amerika?
Amerikalah yang berperanan mengawal di sebalik sebahagian besar peristiwa
pergolakan di Mesir itu, terutamanya sebagai helah untuk menyekat kebangkitan
Ikhwanul Muslimin, kerana Ikhwanul Muslimin adalah kuasa Islam yang akan menggugat
Amerika sekiranya ia dibiarkan berkembang sehingga dapat membangunkan kuasa
Islam itu.
Proses ini
bukanlah satu perkara baru. Ia sudah berlangsung berpuluh tahun. Di belakang
Saddam Hussein itu pun, misalnya, siapa kalau bukan Amerika? Dialah yang menaikkan
Saddam mengikut keperluannya dan dialah juga yang menjatuhkan Saddam mengikut
keperluannya. Sekarang dia melihat Mohamad Morsi itu sebagai pembangun kuasa
Islam yang akan mengancam kekuasaannya di Timur Tengah. Maka Morsi mesti segera
dijatuhkan.
Memang, tujuan
Amerika itu asasnya ialah ekonomi, yakni untuk mengawal sumber ekonomi dunia.
Biar dia sahaja yang menjadi pengawal dan penguasanya. Tetapi Islam berbeza.
Tujuan Islam sama sekali bukan ekonomi. Tujuan Islam ialah menuju kepada
kehidupan yang abadi di Akhirat. Itu doktrinnya Islam.
Namun dalam
realiti amalannya, yakni amalan pemimpin-pemimpin politik Islam, tidaklah
semuanya membawa tujuan Akhirat itu. Mungkin banyak yang terpengaruh dengan
fahaman hidup Eropah dan Amerika, iaitu mengejar kesenangan material, atau
ekonomi.
Betul, dan saya
bersetuju, kalau maksud Hishamuddin mengatakan perebutan ekonomi adalah asas
berlakunya kekacauan dan kudeta di Mesir itu ditujukannya kepada Amerika (dan
agen-agennya) sebagai faktor utama yang mencetuskan krisis tersebut. (Terdapat
ramai di kalangan sebahagian pemimpin Mesir dan juga rakyat Mesir yang menjadi
agen Amerika). Mereka itu memang terlibat dalam krisis itu atas faktor ekonomi.
Tetapi saya
melihat dalam masa yang sama Hishamuddin cuba menafikan wujudnya faktor
kebangkitan Islam. Baginya faktor itu langsung tidak ada dan tidak timbul. Yang
ada hanya faktor perebutan ekonomi, termasuk di kalangan Ikhwanul Muslimin
sendiri, yang katanya, menggunakan hujah dan alasan Islam sebagai retorik (alat)
untuk mengolah persetujuan orang ramai.
Itu yang saya
nampak ketika Hishamuddin begitu beriya-iya cuba meyakinkan khalayak di surau
itu pada petang Ramadhan itu. Seperti dia dapat membaca pada wajah-wajah yang
hadir di situ terpahat kepercayaan bahawa Islam adalah faktor penting di
sebalik peristiwa yang sedang diforumkan itu. Makanya dia terpaksa
mengulang-ulang penegasannya akan faktor perebutan ekonomi itu.
Ketika itulah
terlintas dalam fikiran saya dua perkara yang saya sebutkan di atas tadi.
Mungkin doktrin ekonomi sosialis yang masih dipegang kuat oleh Hishamuddin itu
sudah tidak relevan lagi dengan perubahan politik dunia hari ini. Dan mungkin
juga hujah-hujah yang dulu menyebelahi Sosialis-Marxis itu kini sudah bertukar
menjadi hujah-hujah yang menyebelahi Kapitalis Amerika.
Elok juga
Hishamuddin merenung semula asas pemikirannya itu. Sekadar untuk menilai semula
kesahihannya sahaja, bukannya apa. Atau kalau memang Hishamuddin mahu terus
berpegang dengan doiktrin itu walau atas alasan apapun – itu terpulanglah. Saya
sekadar menyatakan fikiran ikhlas saya sahaja. Walau apa pun pilihan
Hishamuddin saya menghormatinya, dan menghargainya!
(Penulis boleh juga
dihubungi dengan sms 019-7172408)
No comments:
Post a Comment