RESPONS terbuka terhadap artikel Tuan Zaini dalam Utusan Malaysia:
(Gunakanlah ISA, rakyat di belakang anda ― Oleh: Zaini Hassan)
Tuan Zaini,
Pada mulanya hendak dibiarkan saja pandangan yang sangat songsang lagi pelik begini. Dua kali fikir terasa juga kenapakah pandangan seumpama ini kita biarkan berlalu begitu saja. Bukankah membiarkan bermakna seolah-olah bersetuju.
Kenapa?
Bukankah berdiam diri itu sama maknanya dengan bersetuju (silence is consent).
Kita tidak boleh jadi seperti bekas IGP, bising sekali bila sudah pencen.
Esok kita menyambut satu kemenangan ― Lebaran, tapi kita bercakap hal-hal begini.
Marilah kita teruskan kepada isunya saja:
BEBERAPA ULASAN (Sila rujuk lampiran iaitu artikel Tuan Zaini Hassan )
Para 1
“Jangan persoal Perlembagaan”
Ulasan kita:
Sejak memerintah sudah berapa kalikah Perlembagaan kita dipinda? Tak pernah? Bukankah yang meminda itu pemerintah? Tuan boleh berhujah bahawa itu semua dengan persetujuan Parlimen.
Tapi benarkah pemerintah betul-betul menghormati Perlembagaan itu?
Atau rakyatkah yang sebenarnya tidak menghormati Perlembagaan itu? Ambil PPSMI sebagai contoh. Adakah parti yang memerintah itu peduli? Sudah berkajang-kajang orang menulis tentang subjek ini. Lihatlah tulisan Prof Shaharir Mohd Zain tentang isu ini. Ilmuan ini siap menjawab secara terperinci segala hujah seorang mantan PM.
PPSMI adalah satu contoh yang cukup nyata bagaimana Kerajaan tak hormati perlembagaan.
Siapakah yang tidak menghormati Perlembagaan; rakyat atau pemerintah?
Para 3:
“Unsur-unsur perkauman semakin menegang sehinggakan rakyat kebingungan ke mana akhir kesudahannya.”
Ulasan kita:
Ya, rakyat memang bingung. Angkara siapa rakyat sampai jadi bingung dan bercelaru? Pembangkang? Siapakah yang memulakan agendanya?
Apakah pemerintah tidak faham bahawa kita sebenarnya ada masalah hubungan kaum yang sangat serius walaupun telah 53 tahun merdeka?
Kenapa?
Selama ini, semua skrip perpaduan erat itu adalah ‘show’ (baca:window dressing/pameran) dan senda gurau Umno/BN saja. Semuanya tak real. Semuanya mahu dipaksakan ke atas rakyat. Semuanya pembohongan yang digilap. Lebih teruk ― tak ikhlas.
Pembohongan dan lakonan ini sudah terlalu lama berlaku.
Sememangnya persoalan hubungan kaum ini modal menariknya pemerintah. Dan dasar ‘pecah perintah’ itu adalah amalan dan modal menawannya selama ini.
Namun, dan malang sekali kepada pemerintah, kini rakyat semakin celik dan mengerti.
Apa pun jika dibandingkan dengan zaman dahulu kala, sekarang ini modal perkauman ini sudah sukar dijual.
Kenapakah begitu?
Kini, rakyat sudah celik dan faham.
Para 4:
“Lagi celaru, maka mereka beranggapan undi akan datang kepada mereka.”
Strategi awalnya ialah untuk menakut-nakutkan orang-orang bukan-Melayu di samping menarik semula sebanyak mungkin sokongan Melayu yang telah lari kepada Pakatan Rakyat.
Maka projek ini pun dimulakan oleh balaci yang diketuai oleh gangster lama. Ternyata projek ini tak menjadi. Orang rata-rata sudah celik. Rakyat faham ini satu lagi projek oleh siapa.
Semua projek yang dimulakan itu, dilaporkan dan dibesar-besarkan pula beritanya oleh akhbar tuan ― Ya, sebagai pecacai setia dan tukang karutnya. Contoh? ‘Pesta kepala lembu’ adalah salah satu daripada sekian banyaknya contoh. Banyak lagi contoh yang lain-lainnya.
Bukannya payah sangat untuk rakyat (yang juga makan nasi) melihat bahawa kerja-kerja merosakkan bangsa dan negara ini telah disubkontrakkan kepada para balaci. Tak betul? Lihatlah peranan Puakarangsam dan orang-orang kuat di belakangnya. Itulah kebolehan istimewa orang-orang ini. Menjadi batu api dan cekap pula membaling batu...
Setelah itu ― sembunyikan tangan.
Rakyat nampak semua ini.
Sekarang ― ternyata segala kerja buat yang karut marut dan jahat ini semakin jelas tak menjadi.
Kepala Negara perlu cepat-cepat bersedih dan marah-marah. Kesian kita melihat skripnya.
Ulasan:
Para 6:
“KDN lagilah harus tegas. Ramai juga yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan tegas bagi menyejukkan keadaan.”
Ulasan:
Tuan Zaini,
“Rindu” untuk jadi zalim? Tuan, eloklah tuan cari diksi lain yang lebih tepat. Kita ‘rindukan’ ibu bapa, ‘rindu’ untuk kembali bertemu Maha Pencipta, ‘rindukan’ anak bini ― bukannya rindu mahu menyiksa orang (tanpa bicara) semata-mata kerana kitalah yang berkuasa.
Ternyata nafsu kita untuk menghukum rakyat yang tak sebulu dengan kita cukuplah kuat. Bukan main. Bukan main hebatnya kita.
Tidakkah ini pelik? Tak malulah kita ― kita yang memerintah tapi ― kitalah yang tak habis-habis mengancam rakyat?
Inilah fikiran klasik orang yang kalah berhujah. Cara terbaik yang dia paling mahir hanyalah gertak, ancam dan gunakan kuasa.
Penutup
Dan ...rupa-rupanya masih banyak lagi sampah sarap dalam artikel ini.
Cukuplah sekadar itu. Rasanya tidak perlu dilayan lebih-lebih akhbar yang wujud hanya untuk membodoh-bodohkan rakyat jelata ― khususnya orang-orang Melayu.
Lampiran: Berita yang kita ulas.
Gunakanlah ISA, rakyat di belakang anda
Oleh Zaini Hassan
Sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Najib kelmarin mengenai “jangan persoal Perlembagaan” adalah satu pendirian tegas yang amat kita tunggu-tunggukan. Malah kita mahu beliau mengeluarkan kata-kata yang lebih tegas lagi.
Buat permulaan, itu pun sudah memadai. Sebenarnya itulah yang rakyat mahu dengar dari mulut PM. Benar kata beliau “rakyat perlu mengelak daripada bertindak atau mengeluarkan tutur kata yang boleh mengguris perasaan kaum lain… jika perkara-perkara itu dijiwai, ia mampu meredakan “suhu panas” yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.”
Sebenarnya sejak akhir-akhir ini rakyat begitu bimbang dengan suasana di negara ini. Unsur-unsur perkauman semakin menegang sehinggakan rakyat kebingungan ke mana akhir kesudahannya. Secara politik, itulah yang mahu dilihat oleh pihak yang satu lagi.
Lagi berpecah masyarakat lagi suka mereka. Ia adalah political mileage bagi mereka. Lagi berpecah lagi bagus. Lagi celaru, maka mereka beranggapan undi akan datang kepada mereka. Mungkin betul strategi mereka itu. Rakyat mungkin akan hilang keyakinan kepada kerajaan jika kecelaruan dan kegelisahan ini terus berlaku tanpa berjaya dikawal.
Namun bagi rakyat yang ramai ini mereka mahu melihat perkara itu tidak berlaku. Api panas itu harus dipadamkan segera. Semua pihak harus tegas. PM harus tegas, dan pihak-pihak berkuasa harus tegas.
KDN lagilah harus tegas. Ramai juga yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan tegas bagi menyejukkan keadaan. Ini negara kita, kita sayangkan negara ini, maka oleh itu apa peduli orang luar cakap mengenai hal ehwal keselamatan negara ini.
Gunakan ISA. Kami semua rakyat Malaysia yang banyak ini, bukan yang sedikit itu mahukan kerajaan menggunakan undang-undang tersebut ke atas pihak yang terus-menerus mahu memanaskan dan mengancam suasana negara ini.
Ikut trend semasa, orang yang cuba merosakkan keharmonian ini tidak peduli langsung dengan Akta Hasutan. Repot-repot polis yang dibuat di bawah akta itu juga tidak lagi berkesan. Ia hanya akan menambah beban kerja polis untuk membuka kertas siasatan demi kertas siasatan. Kita bimbang di masa siasatan demi siasatan dijalankan, nasi sudah menjadi bubur.
Selama ini kita hidup aman dan damai di negara ini. Itulah yang kita semua mahukan. Hanya orang yang mempunyai niat yang tidak baik dan tidak mahu ISA menganggu gugat mereka sahaja yang akan menentang ISA dan mahu ia dihapuskan. Jangan jadikan segelintir penunjuk perasaan (tidak sampai 10 orang) di London tempoh hari yang mahu ISA dihapuskan, sebagai petunjuk untuk kerajaan berlembut dalam soal itu. Semua orang tahu tunjuk perasaan itu didalangi oleh pihak pembangkang negara ini.
Melihatkan suasana mutahir ini, maka ISA harus diteruskan. Ia hanya boleh dihapuskan sekiranya negara ini benar-benar aman, damai, tenteram dan harmoni. Selagi itu belum dicapai, ISA perlu dikekalkan.
Selagi Perlembagaan negara yang menjadi tunjang kepada kenegaraan ini terus dipermainkan, selagi isu-isu perkauman yang boleh memporak-perandakan masyarakat terus diperkotak-katikkan, selagi soal agama dipertikaikan, selagi soal raja-raja Melayu diperkecil-kecilkan, ISA masih diperlukan.
Kita mahu merayakan perayaan kita dalam suasana aman, damai. Kita mahu supaya semua kaum dapat kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain dalam semangat sentosa. Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak cuba mengganggunya.
Kita juga mahu ISA dikenakan, jika benar, ada pihak dalam negara yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan di Jakarta untuk mengapi-apikan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Jika benar dakwaan itu, KDN jangan hanya berpeluk tubuh.
Rakyat memberi mandat kepada kerajaan ini untuk menjaga keharmonian kami semua. Setelah 53 tahun memerintah negara tercinta ini, tanpa sekali pun diterajui pihak lain, kerajaan BN telah berjaya membawa negara ini ke mercu jayanya. Itu semua adalah hakikat.
Pandanglah ke kiri dan ke kanan. Malaysia sebenarnya adalah antara negara tercemerlang di rantau ini, di kalangan negara-negara Arab dan negara Islam dan di Afrika, waima Selatan Amerika dan antara sesetengah Eropah sekalipun. Kita bangga menjadi rakyat negara ini.
Oleh itu mandat tersebut harus dijagai sebaik-baiknya. Kepercayaan itu harus dijadikan amanah.
Persoalannya, apakah kejayaan negara ini selama ini berlaku adalah kerana ISA dihapuskan?
Singapura yang maju itupun masih ada ISA, begitu juga di Thailand.
KDN jangan bimbang. Menterinya jangan bimbang. Kami semua rakyat negara ini, di belakang anda. — Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment