Ibulah pengadunnya
Bagi yang bernasib baik@yang lagi bertuah kerana diberikan kesempatan yang sangat berharga itu, hargilah nikmatnya sementara kita masih memiliki anugerah itu. Atau sebelum nikmat itu disita buat selama-lamanya.
Pertama kali merasakan ‘kebesaran’nya ialah tatkala berumah tangga dengan gadis pilihan hati, isteri yang bukan suri rumah sepenuh masa. Mula-mula hidup bersama dulu, ada soalan yang kerap menyerang: Kecuali nasi yang ditanak, kenapakah gulainya tidak seenak gulainya ibu?
Maka bertahun-tahun isteri yang bukan-suri-rumah-sepenuh-masa ini memasak dan memasak sehinggakan sang suami yakin bahawa tidak ada lagi wanita yang paling enak gulainya selain daripada gulai yang diadun oleh sang isteri! Itulah pesan yang kerap diulang-ulangi kepada anak-anak: Nikmatilah lazatnya masakan ibumu, sebelum nikmat itu ditarik buat selama-lamanya.
II)
Kenapa menulis tentang hal-hal begini?
Pagi tadi, sendirian sempat juga mengunjungi Pasar Siti Khadijah ― mercu tandanya Kota Bharu, Kelantan dan di pasar yang tersohor itu saya melihatnya di dalam tin susu yang tepu. Sebelum ini, pernah juga melihatnya dan perasaan yang seperti itulah juga yang tiba-tiba menyerang: Betapa hebatnya masakan kulat sisir yang ibu masakkan tatkala saya masih kecil dulu; semasa kebun-kebun getahnya masih lagi utuh di sekitar Bukit Tok Acheh, Batu Dua (Taman Berangan sekarang), Sungai Petani. Kulatnya dipetik saja dari batang-batang getah yang berselerak di celah-celah rimbunan pohon-pohon getah yang masih gagah itu.
“Tiga rial. Dari batang getah khusus untuk kulat...”
Bagaimanakah kita bisa melupakan seorang ibu? Atau apakah yang mengingatkan kita bahawa ibu itu insan yang sangat istimewa dalam kehidupan kita? Adakah adunan perencah masakannya yang sekian lama memanjakan putik-putik rasa kita itu yang amat menggugat ingatan kita? Ya, aromanya masih utuh walaupun kita sendiri pun sudah meniti julai usia.
Betapa rugi dan malangnya insan yang tidak mampu mengasihi ibunya...
Footnote:
Do you ever forget those palatable dishes prepared by your mum? This morning the tin can of mushroom attracted my attention while I was combing the alleys of the famous Pasar Khadijah, Kota Bharu. It reminded me of my mum’s dish.
While I was in Kuala Pahang with AM and the gang, he told me that one of his mum’s reminders when choosing a wife is: Please ensure she is able to put food on the table.
What a lucky husband the father must have been: The wife faithfully remembers that one of the golden rules of being a wife is to ensure that ‘food is always put on the table’.
In today’s world is it too much to ask: That at times, the reverse has to happen. Occasionally, at least serve her with a simple dish of fried rice.
Augustine, have you met ‘her’?
No comments:
Post a Comment