Monday, December 27, 2010

Bukanlah dongeng pasca merdeka

Ular lidi menelan naga
 

Ungkapan ini digunakan untuk menggambarkan bagaimana institusi yang besar-besar (misalnya institusi kewangan seperti Bank) telah ditelan oleh bank-bank yang jauh lebih kecil.  Untuk menyempurnakan proses ini perbagai peralatan@instrument, kaedah dan proses dan tentunya kuasa telah digunakan.  Antara lain ini termasuklah pasaran saham, berbagai-bagai proxy sebagai penama dan tidak ketinggalan glc-glc yang dimiliki oleh parti politik yang paling berkuasa.    

Kuasa yang dimiliki itu telah memungkinkan semua ini terjadi.

Hasil yang diperolehi daripada proses melelong institusi-institusi besar milik rakyat seperti bank (yang katanya diwujudkan untuk menjaga kepentingan orang-orang Melayu itu), digunakan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Demikianlah mahalnya harga yang perlu dibayar rakyat agar para kuasawan ini terus berkuasa.

Kita tentu masih ingat dengan mimpi-mimpi indah yang telah dicanangkan oleh kuasawan di ceruk rantau tanah rancangan ― bahawa orang-orang Melayu mampu menjadi jutawan segera.  Tanah yang mereka terokai dengan darah dan air mata itu sangat berharga ― dan khazanah itu sewajarnya dimanfaatkan sementara nyawa para peneroka masih lagi menempel di jasad.  

Dan ramai yang begitu teruja sekali agar cepat-cepat menjadi manusia yang kaya raya di dunia ini.  Entah berapa ramaikah Tipah Felda yang telah tertipu dengan gimik bahawa mereka boleh kaya segera itu.

Apa khabar Felda Sungai Buaya dan projek-projek yang terbengkalai itu?  Ke mana perginya para pahlawan Melayu yang mahu menyegerakan proses menjutawankan orang-orang Melayu? 

Begitu banyak yang telah mereka musnahkan dan rakyatlah yang menangggung akibatnya.

Berapa lama lagikah orang-orang Melayu akan termakan dengan janji hak-untuk-memiliki-tanah yang dicanang setiap lima tahun sekali oleh para kuasawan yang begitu bernafsu sekali mahu terus kekal berkuasa itu? 

Bila lagikah agaknya kitaran janji hak milik tanah menjelang PRU itu bakal tamat tarikh lupusnya dan diberhentikan sebagai bahan kitaran semula?

ii.

Akan selamatkah segala khazanah yang masih bersisa?

Apa khabar Petro Chemical?
Apa khabar Gas Malaysia?
Apa khabar Cari Gali?
Apa khabar MITI dan para penguasa?

iii.

Berapa lama lagikah Tipah-Tipah Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Perlis mahu ditipu?



 

1 comment:

Anonymous said...

SDRA BARAJIWA,
BAGUS NI. ADA BAIKNYA KITA BERUSAHA AJUKAN HAL BEGINI KEPADA MANA-MANA ngo UNTUK BERTINDAK.
SALAM