Perlumbaan: Membina ilusi
‘Mendirikan masjid’ itu ialah satu ungkapan popular yang kerap kita dengar digunakan dalam kalangan masyarakat kita. Kita semua tahu bahawa ungkapan ini membawa maksud mendirikan rumah tangga.
Perhatikan bagaimana masyarakat kita melihat ‘tindakan memulakan kehidupan berkeluarga itu’ ― ia dipadankan@digandingkan dengan tindakan ‘mendirikan masjid.’ Demikianlah besarnya makna masjid itu dalam kehidupan kita orang-orang Melayu sehinggakan ramai dalam kalangan mereka yang berduit, kerap kali memilih untuk membina masjid sebagai salah satu kaedah@bentuk ibadah.
Kita juga dapat melihat sikap ini dengan pemerintah kita; masjid itu sentiasa menjadi projek yang diberikan keutamaan ― sama seperti projek-projek membina sekolah. Kita dapat melihat bagaimana sekolah itu tumbuh di mana saja, sesuai dengan percambahan penduduk.
Sampai di sini, mungkin ada yang sudah bangun bertempik ‘Salahkah perbuatan itu!?’
Dalam situasi sekarang ini, lebih-lebih lagi dengan pelbagai episod yang sangat HODOH yang bermaharajalela, kalaulah ada yang mempersoalkan projek ‘membina masjid’ ini, lebih-lebih lagi jika soalan ini dibangkitkan oleh orang-orang bukan Melayu, yang bukan Islam, kita dapat bayangkan apakah yang bakal terjadi...
ii.
Persoalannya untuk renungan bersama ialah:
Apakah benar ― masjid yang terbeleduh, yang tegak megah secara fisikal di atas tanah itu adalah SATU-SATU SAJA cara ibadah yang pahalanya bakal kekal sehingga ke hari kiamat?
Jika, ya adakah ini disebabkan oleh bilangan mereka yang beribadah@bersembahyang atau di sana ada sebab-sebab lain yang menyebabkan kita seolah-olah berlumba-lumba membina masjid?
Kenapakah agaknya ― semakin banyak masjid dibina, orang juga seolah-olah menjadi semakin pelik tingkahnya@tidak prihatin dengan suasana sekelingnya?
Lihatlah senario ini:
Apabila ada lori beras yang terbalik, dan ada korban yang terkujur kerana kemalangan itu, orang ramai lebih berminat dan berlumba-lumba memungut beras yang bertaburan itu, sementara yang terkujur itu...dibiarkan
Apabila para pengunjung masjid yang niatnya mahu sujud kepada Yang Maha Penciptanya, memparkir kereta mereka merata-rata sehingga lalu lintasnya terhalang...
Apabila khutbahnya berdegar-degar dengan kupasan isu masalah sosial, sementara anak-anak yang datang untuk bersembahyang Jumaat itu dibiarkan ‘membuat’ bising dan bergurau senda semahu-mahunya di luar masjid...
Apabila kasut yang baru dibeli, entah bagaimana terlupa pula disimpan di tempat yang lebih aman, sehinggakan sujud solat Jumaat tadi hilang nikmatnya...
Apabila semakin banyak taman perumahan dikawal rapi oleh para penjaga keselamatan swasta, dan semakin banyak pula kawasan perumahan yang lebih mirip dan kelihatan seakan-akan kem-kem tentera...
iii.
Apakah kita tidak merasakan bahawa di sana, dan juga di dalam diri kita, terlalu banyak yang tidak beres?
Agaknya, kenapakah semua ini terjadi?
Apakah kita masih lagi kekurangan masjid dan sekolah?
No comments:
Post a Comment