Sunday, January 1, 2012

PAM! di UPSI.

Membaca puisi di depan pintu masuk Kampus


Tujuan kami ke UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak bersama Ali Bukhari, wartawan sastera Harakah dan Benz Ali, seorang anak muda aktivis PAM!, Paksi Anak Muda hanyalah untuk memberikan semangat serta sokongan kepada anak-anak muda kita ― khususnya para mahasiswa dalam perjuangan dan pernyataan tegas mereka supaya diberikan kebebasan untuk bersuara dan memberikan pandangan terhadap apa yang berlaku dalam kampus. Dalam konteks ini mereka berjuang supaya AUKU yang penuh kontroversi yang dibawa olreh rejim Mahathir dulu itu dimansuhkan. Mereka berkumpul dan mendesak supaya tindakan ke atas Adam Adli oleh UPSI itu digugurkan.

Mengikut maklumat awalnya, program selama lebih 17 jam itu akan bermula jam 11.00 malam dengan pelbagai acara yang telah disusun oleh anak-anak muda para mahasiswa kita. Mahasiswa yang telah datang dari pelbagai pelosok kampus Lembah Kelang. Saya ke sana dengan Ali Bukhari untuk menyokong program membaca puisi orang-orang muda di kampus seperti UPSI ini. Benz Ali akan membaca puisinya untuk anak-anak muda kita yang berjuang mendapatkan kembali suara mereka yang selama ini telah dikongkong oleh Sang Penguasa dengan penuh tipu muslihat. Ya, kami ke sana untuk menyokong aktiviti PAM! membaca puisi dalam slot yang telah diberikan oleh para mahasiswa tersebut.

Berikut ialah puisi yang telah dibaca Oleh Benz Ali di dalam warung dan di depan khalayak di depan pintu masuk kampus UPSI pagi ini:


KATA AKTA

Akta kata,
Kau tak boleh baca
Kau tak boleh tulis
Kau tak boleh lukis
Kau tak boleh dengar
Kau tak boleh lihat
Kau tak boleh fikir
Kau tak ada fikrah
Kau tak ada harakah
Kau tak ada siasah
Kau tak ada jamaah
Kau tak boleh kumpul
kumpulan
Kau tak boleh gerak
gerakan
Kau tak boleh marah
Kau tak boleh ketawa
Kau tak boleh berborak
Kau tak boleh berfacebook
Kata akta.

Benz Ali @ UPSI.


(Berita lanjut apa yang telah berlaku semalam menyusul)