‘Babi pun babilah’
Dia memulakan ceritanya begini:
Di-tengah-tengah keasyikannya berburu, seorang pemburu telah terserempak kesan-kesan tapak kaki. Tidak dapat digambarkan betapa begitu teruja Sang Pemburu dengan penemuan yang tidak disangka-sangkanya itu. Puaslah Sang Pemburu membelek, kelebek@teliti profil yang ditinggalkan oleh kesan-kesan tapak dan denainya. Mengikut ilmu perburuan yang baru saja ditekuni ― firasat, intuisi dan juga sick-sensenya kukuh membenarkan bahawa itulah kesan-kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh buruan yang begitu digemarinya ― rusa!
Dengan penuh keterujaan, maka bergegaslah Sang Pemburu itu mengikuti kesan-kesan tapak kaki ke segala pelosok belantara termasuk segala kaki, lereng dan puncak bukit bukau. Begitu bersungguh-sungguhnya dia menjejaki buruannya itu sehinggakan ― tanpa disedarinya, dia telah menyikat rapi seluruh belantara, menjejaki rusa idamannya.
Sesekali, apabila terasa penat, Sang Pemburu pakar motivasi ini terus juga memotivasikan dirinya bahawa rusa idamannya sudah terlalu dekat untuk dibidiknya. Memang begitulah dia berburu ... sehinggalah kesan-kesan tapak kaki itu hilang ghaib tanpa sebarang kesan lagi. Ya, kesan-kesan tapak kaki rusa sudah tiada lagi.
Tatkala itu, tidak ada apa lagi yang kelihatan kecuali seekor bapa babi hutan yang agam.
2.
“Aku sudah terlalu penat”, fikirnya “teramat penat untuk berundur...”
Maka dikuatnya tekad lalu berpesanlah dia kepada dirinya, “Babi pun, babilah...” sambil menghalakan laras senapang ke arah sasarannya.
3.
Orang politik yang niat mutlaknya hanyalah berburu, sering tertipu dengan asyik maksyuk cinta syumulnya menggomol cita-citanya. Dan di antara sekian ramai pemerhati yang mampu melihat bagaimana orang politik menipu dirinya, termasuklah ustaz yang becerita tentang Sang Pemburu yang lagi begitu penasaran ini.
Adakah sesiapa ― sahabat paling karibnya yang mampu memaklumkan Sang Pemburu bahawa bagi yang katanya Juara Islam, babi bukanlah rusa.
No comments:
Post a Comment