RAKYAT PERLU SIAP
MENCARI PEMIMPIN SEJATI YANG ISTIQAMAH
Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid
TERAS Pengupayaan Melayu
Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid
TERAS Pengupayaan Melayu
" Akan tiba satu zaman atas manusia dimana perhatian mereka hanya tertuju pada urusan perut , kehormatan mereka hanya pada benda semata-mata. Kiblatnya tak jauh dari urusan seks , agamanya adalah harta dan perak . Mereka adalah makhluk Allah yang terburuk dan tidak akan memperolehi kesenangan di sisi Allah " ( HR Ad-Dailami )
Ngeri membaca Hadith ini dikala kita mengenang gerangan nasib rakyat negeri ini yang bakal membuat keputusan yang sangat penting pada PRU 13 yang sedang dihitung hari saja.
Pokoknya rakyat siap tidak siap perlu bersedia. Siap memileh sejumlah sosok pemimpin sejati dalam PRU 13 . Bersiap , tidak hanya menerima , bersedia tidak cuma mendengar , justeru harus berani dan memberanikan. Bersedia membuat anjakan dalam politik negara . Diikuti juga bersedialah bermula menjadi rakyat penegur dan penyanggah kepada kuasa dan peneraju yang berkuasa bila menyeleweng walau sesiapapun yang akan memerintah selepas keputusan PRU 13 diumumkan nanti.
Banyak yang rakyat boleh ambil iktibar dari perjalanan uruskelola pemerintahan dari pihak-pihak yang akan bersaing dalam PRU ke 13 ini. Sudah pasti rakyat mahu yang lebih baik jika tidak pun yang terbaik. Rakyat boleh melihat kejayaan , juga kegagalan. Boleh menilai antara slogan dan juga kenyataan . Boleh mengukur antara komitmen sebenar dan penyelewengan yang sangat ketara.
Rupanya banyak yang tidak disedari pemimpin dan mereka yang beria-ia teringin menjadi pemimpin. Isu perubahan menjadi tema utama. Namun isi sebenar dari maksud perubahan yang dilaungkan belum pasti dan tidak ketahui menjadi atau sebaliknya.
Pokoknya kepincangan dikalangan pemimpin juga ada yang jelas bagaikan mentari , ada yang kabur persis kabus dipagi hari. Sangat banyak yang tersembunyi tanpa diketahui.
Kini yang sudah lama menjadi Menteri ingin terus kekal menjadi Menteri lagi. Yang sudah lama mengidam maseh terus menyimpan hajat. Yang mahu menjadi calon PRU melobi terus . Mencari celah , menjenguk peluang dan mengintai kesempatan.
Tapi banyak yang tidak bersedia menjadi insan dua Umar ( Umar Al Khattab dan Umar Abdul Aziz ) , jauh sekali meneladani insan Muhammad bila berada diteraju kuasa. Bila ditegur menjadi marah. Karena merasa kena getah .
Padahal ia adalah hasil ulahnya sendiri akibat menaruh perhatian kepada resah rakyat hanya dengan layanan sebelah mata. Akibat tenggelam dalam keenakkan mendapat peluang menjadi wakil rakyat sehingga terjebak menyalahguna kuasa. Akibat tipisnya rasa amanah.
Natijahnya Negara makin hancur , Bangsa makin parah. Tidak dikisahkan oleh mereka yang beraspirasi naik ke atas . Jika sudah berjaya berada diatas , awalnya kelihatan berjinak dengan rakyat , ditengahnya mulai berkalutan , dihujung mulai sangat perit untuk bertemu janji , menjelang pilihanraya kembali berjinak , pesta turun padang katanya. Itulah putaran politikus yang berjenama wakil rakyat , lazimnya , terkecuali yang sedikit.
Apakah tahu atau tidak , ataukah layak atau tidak . Tidak dipeduli. Walhasil rakyat terus diperbudak oleh politikus berkepentingan sehingga yang tidak layak ditempatkan pada tempat yang bukan sepatutnya. Bukan pendidik, tapi diberi tanggungjawab menulis buku pelajaran . Bukan ahli ekonomi , malah menerajui pengurusan kewangan Negara. Tidak tahu kerenah pertanian , dilonjak jadi Menteri Pertanian.
Sedangkan Menteri harus bertanggungjawab, tidak boleh cuma marah-marah bila Kementerian dibawah kelolaaannya ditegur kerana terkhilaf dalam dasar dan kebijakkan serta pincang dalam perlaksanaan.
Mesti sadar bahwa memimpin itu rumit , jangan yang dipikir hanya ringgit. Saman kerana kelajuan di lebuh raya diprojekkan sebagai perniagaan, hingga hilang timbangan terhadap kesan kepada rakyat. Kononnya YB ini bijak berkomunikasi tapi komunikasi apa ? Komunikasi manipulasi dan berputar kata melindungi kroni?
Inilah menteri yang dipilih karena faktor politik. Harapannya hanya untuk disenangi pemimpin atasannya dan , didokong oleh sayap parti. Tak peduli bidang yang menjadi tanggungjawabnya jungkirbalik.
Fahamkah para wakil rakyat dan yang beraspirasi untuk jadi wakil rakyat , bahawa dalam demokrasi , rakyat adalah sumber kedaulatan. Perhatikan kata-kata Rendra "Kekuasaan tanpa rakyat adalah benalu tanpa karisma , Rakyat adalah bumi , politik dan kebudayaan adalah udara , bumi tanpa udara adalah bumi tanpa kehidupan , udara tanpa bumi , adalah angkasa hampa belaka"
Jelas , wakil rakyat adalah wakil dari sumber seluruh lapisan kehidupan rakyat ; petani , kuli , buruh , nelayan , pekerja awam , pemandu teksi . Bukan abdi kekuasaan.
Lantaran itu rakyat perlu celik untuk keluar dari kepompong yang membuat rakyat selesa dalam keperitan , luka dalam kejenuhan , ditindas dalam kemanjaan.
Sepatutnya rakyat matang untuk menilai dan memerhati. Menilai pemimpin dan memerhati pemerintah. Rakyat yang diperbodohkan tidak harus terus dibodohkan. Rakyat yang dijadi alat jangan terus membiar diri menjadi alat sampai bila-bila. Kuasa pemerintah boleh beraleh tangan. Tapi rakyat perlu faham , daulat pemerintah bermuarakan daulat rakyat.
Rakyat sudah terlalu lama berada dalam sel yang gelap dan kamar yang samar . Sel itu adalah sel pemikiran yang membeku dan sel sikap yang mempertahan status quo. Lantaran terlalu lama disumbat dalam sel beku itu rakyat menjadi terkucil dan terkunci , sehingga tidak ramai yang jelas perubahan apa yang sebenarnya yang dimahukan. Ramai yang tidak tahu banyak ketidakadilan berlaku dan penyelewengan yang bermain dibelakang pentas pentadbiran melibatkan penyalahgunaan khazanah Negara .
Akibat ketidaktahuan ini maka jadilah rakyat kehilangan wibawa dan upaya untuk membuat keputusan. Terpingalah rakyat membuat pilihan . Tergadailah kedaulatan rakyat. Di setiap waktu rakyat disumbat dengan ragam isu yang jenuh untuk dihadam oleh rakyat. Hampir nampak jelas kebobrokan negeri ditadbir dengan tipuhelah. Akan tetapi maseh nampak tanda rakyat terkurung dalam lingkaran dan dirantai ke batang karang.
Namun bukan tidak ada langsung yang celik dan yang sedar. Sudah sedemikian lama menjadi kuda tunggangan mereka yang bercita-cita . Rakyat yang tidak pandai menilai itu pun , ada yang sudah mendendam. Bagaikan ular sawa yang dulu terlena kekenyangan. Kini mula bergerak melengkar dan menjulur , menghembus nafas marah dek dipijak-pijak , lantaran sudah mula digigit kelaparan , mula sedar hidup rakyat diperkotak-katikkan.
Malangnya bila ada segelintir suara rakyat yang menjerit "berubahlah !" , segera pihak yang berkuasa mengecam dengan mengatakan ini suara pembangkang. Lalu dihamun , dikutuk , disalahkan dan diputar beritanya menjadikan suara rakyat yang tulin dipekakkan tanpa pengadilan. Padahal yang dituntut rakyat hanyalah mahu penguasa jangan terus menyeleweng. Bukan hasutan pembangkang. Bukan intimidasi politik . Hanya gelora nurani rakyat yang tidak lagi mahu membendung kemarahan.
Bagi rakyat yang maseh terpinggir dan tertindas , secebis kesedaran menuntut hak bagaikan mentari dan sekelumit kesabaran yang cuba disimpan dalam benak persis bumi untuk menumpang manakala setitis keberanian menegur pemerintah menjadi gunung berat untuk dipikul.
Memang segelintir rakyat faham betapa perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.
mengangkat tema-tema perlawanan terhadap kemiskinan dalam bentuk protes dan penyuaraan dan mencabar di mahkamah pengadilan dan perlawanan terhadap kezaliman dan kemewahan dan penyelewengan .
Akan tetapi ini belum membolehkan rakyat mengecapi perubahan yang sebenar untuk diterjemahkan.
Kalau dihubungkan dengan realiti kehidupan saat ini , keadilan di Negara ini masih lemah. Perjalanan Malaysia menuju keadilan maseh jauh. Tapi nyatanya sekarang Negara malah berada dipersimpangan. Berjalan ditepi gaung nyaris menunggu saat tergelincir. Politikus yang menjadi jaguh korupsi sampai menghabiskan jutaan wang rakyat maseh terlindung dari didakwa.
Birokrat yang lebih banyak berpolitik dari mentadbir , lebih tertumpu merebut tangga gaji dari menguruskan amanah rakyat. Ahli agama yang terjerat dengan mengejar pendapatan lebih dari mengeluarkan pendapat yang jujur untuk masyarakat. Teknokrat yang hanya bergelumang dengan perlumbaan menyaingi kecanggihan peralatan moden lebih dari memikirkan keutamaan menguruskan manusia.
Sungguh nahas negara ini , yang di harapkan generasi muda yang harus boleh mengubah dari yang buruk menjadi lebih baik, tidak kesampaian , jauh sekali dari melanjutkan perjuangan para pahlawan yang telah gugur membela Negara ini . Generasi muda semakin kecewa dan malah bebal.
Jika ini menjadi fenomena , maka tidak boleh diharapkan rakyat 28 juta negara ini dapat mengecapi masa depan yang lebih baik selepas PRU 13 nanti. Apa yang mengkhuatirkan ialah bila rakyat mengambil sikap tidak acuh dalam memperjuangkan keadilan untuk tanah air ini. Tidak mahu terlibat dalam membawa keadilan yang dituntut.
Rakyat negeri ini bak bernafas dalam lumpur . Tercungap-cungap mengelupur mencari udara. Sementara politik mafia menebalkan lagi lumpur itu. Tikus-tikus politik berkeliaran di segala lubang. Muncul mengganas bagaikan mafia diupah untuk merosakkan , mengugut , malah sedia membunuh. Maka berbenturanlah dalam medan politik yang sepatutnya beradab , kini sudah menjadi sangat menjijikkan .
Maka rakyat perlu siap. Jangan mengeluh lagi , jika sesudah usia 55 tahun kita menyahkan penjajah kemudian maseh gagal menjadi rakyat yang matang dalam memileh pemimpin , maseh menjadi rakyat yang menerima sosok pemimpin yang hanya pandai berpidato namun tidak mahir mengurus , rakyat yang cerdiknya hanya pada takah menagih bantuan dari wakil rakyat sehingga sanggup menjadi budak dan dadu yang dilempar untuk mengharap nasib ditentukan oleh orang lain , maka jangan diharap kegelapan akan bertukar menjadi terang , jangan diimpikan daulat politik kuasa akan diganti menjadi daulat rakyat.
Terserah sekarang kepada rakyat yang akan membuat pilihan. Jika gagal membuat keputusan yang tepat , akan petakalah bumi bertuah ini. Jika tidak menjernihkan pemilihan mengangkat sosok pemimpin yang tepat akan muramlah masa depan anak cucu negeri ini.
Moga terhindarlah rakyat menjelma menjadi manusia seperti yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w itu. Wana'uzubillah.
Wassalam
No comments:
Post a Comment