Apabila seorang
pesara polis memilih tidak menghukum
Setelah pencen
seorang pesara polis memilih untuk tinggal bersebelahan surau kampungnya.
Katanya, “Mula-mula dulu boleh dikatakan setiap hari sayalah siak-imam-makmum-muazinnya. Setelah puas berperanan sedemikian, akhirnya saya memilih untuk menetap di surau
saja. Saya tidur, bangun, mandi manda di
surau. Ternyata surau juga dijadikan
tempat anak-anak muda kampung itu tidur baring, mandi manda, berkumpul, berborak-borak
― sambil membalut, menggentel-gentel rokok
daun. Setiap kali saya sembahyang,
merekalah penonton setianya.”
Setahun
berlalu. Kelakuan anak-anak muda itu
diperhatikan saja oleh si pesara. Satu
hari dia pun membuka mulut, “Mari kita sembahyang. Tapi sebelum itu, elok pergi mandi dulu.”
Dua setengah
tahun berlalu semenjak dia pencen, ternyata surau sudah diimarakkan oleh
penduduk kampung. Dia bukan lagi seorang
siak-imam-makmum-muazin suraunya. Dia
lulus sebagai dai yang tekun.
2.
Bayangkanlah
jika anak-anak muda itu disindir, dicemuh atau lebih buruk lagi jika mereka dicerca kerana berkelakuan yang ‘tidak
begitu senonoh’ terhadap orang tua yang tidak meninggalkan solat?
Mereka yang
hebat-hebat, lagi tinggi ilmu agamanya sewajarnya
lebih berwaspada setiap kali mereka melihat ke LUAR DIRI. Dan sewajarnya, mereka yang bijak ilmu agama ini sentiasa lebih
tinggi tahap kewaspadaannya setiap kali mereka menghukum.
Percayalah setiap
kali mereka menghukum, ramai juga yang bakal cedera. Rasanya yang paling cedera adalah agama.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment