Wednesday, February 13, 2013

Apakah mereka peduli?




Apakah mereka peduli?
Tidak, mereka tidak pernah peduli!


Kita sering temui bermacam-macam tulisan yang memaparkan mesej yang hampir-hampir sama tapi disoroti dari pelbagai sudut pandangan yang berbeza-beaz.  Namun mesejnya tetap jua sama    betapa teruknya Umno dan sesungguhnya parti Melayu itu dapat diselamatkan lagi!

Apakah mereka peduli?  Tidak, mereka tidak peduli.

Kita mencari-cari kata-kata, adjektif yang sesuai untuk menggambarkan perasaan, tanggapan dan penilaian umum terhadap prestasi Umno.  Kita sedar bahawa kita sudah jenuh@tepu menggunakan adjektif-adjektif seperti jelak, muak, meluat, meluat yang amat sangat.  Kita dapat merasakan betapa kata-kata ini telah begitu lusuh kerana terlalu sering digunakan.

Apakah mereka peduli?  Tidak, mereka tidak peduli.  Apabila kita katakan bahawa memperlakukan kepala lembu sedemikian rupa di depan khalayak sangatlah tidak bijak, apakah reaksi mereka?  Mereka tidak mempedulikan teguran dan reaksi khalayak.  Mereka sekadar berpura-pura ambil peduli.  (Kita tak perlu senaraikan segala macam contoh yang lain).   Sesungguhnya semenjak PRU12 yang lalu, negara kita sudahpun karam dalam isu, masalah dan persoalan.  Kita dapat merasakan betapa kehidupan ini dihimpit-asak oleh isu dan masalah.  Namun saban saat,  saf kepimpinan itu sibuk sekali mencari ikhtiar bagaimana mahu kembali perkasakan kuasanya.  Rakyat yang saban hari resah, gelisah dan payah menjalani kehidupan yang kian payah tidak jua mereka pedulikan.  Mereka terlalu sibuk berpolitik mahu mempertahankan kuasanya.     

Mereka masih jua bertindak dengan cara yang paling mereka fahami bahawa orang-orang Melayu itu akan terusik jika 'bangsa' dan 'agama'nya diapa-apakan.  Mengikut bacaan mereka: Orang-orang Melayu yang marah, takut, bimbang dan terusik nuraninya akan kembali mendakap Umno.  Itulah bacaan klasik mereka.  Lalu mereka pun jaja, seret dan heret, jaja, canang, seret dan heret hal-hal ‘bangsa’ dan ‘agama’ ke pelbagai penjuru dan ke segala macam pentas.  Kali terakhir mereka kembali lagi dengan nama Allah sehingga mufti carmanya pun turut membantu mereka.  Seperti biasa kita katakan, “Sudahlah! Ayuh,  kembalilah menjadi waras!  Kembalilah ke pangkal jalan.  Islahlah yang tulen.  Perangilah rasuah, jadikan pemerintah yang baik-baik dan baik”.  Apakah mereka peduli?  Tidak, mereka tidak pernah ambil peduli!

Mutakhir apabila seorang pemimpin dimalukan sedemikian rupa di depan khalayak,  apakah ikhtibar yang telah mereka perolehi?  Kita percaya, seperti biasa, mereka tidak pernah akan peduli!

Lalu, apakah yang kita lakukan dengan saf pimpinan yang tidak pernah ambil peduli ini?




No comments: