Saturday, June 29, 2013

Makmal Pemuda BN



Melihat KJ, Khairy Jamaluddin sebagai menteri anak-anak muda


Dalam laporan tentang Makmal Pemuda BN oleh Jimadie Shah Othman dan Regina Lee Malaysiakini, pada 6 September 2012  http://www.malaysiakini.com/news/142052, Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda BN dilaporkan berkata bahawa beliau tentulah kecewa jika laporan yang disediakan oleh Makmal Pemuda BN kepada Perdana Menteri itu tidak digunapakai.  Ketika itu, KJ belum punyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, sekarang ini dia adalah Menteri Belia dan Sukan Malaysia.  Apakah perkara-perkara yang diketengahkan menantu Abdullah Ahmad Badawi kepada Perdana Menteri yang akan mengecewakannya jika cadangan-cadangan ini tidak dilaksanakan?  Berikut ialah di antara cadangan-cadangan:


i) Menggesa supaya kerajaan melaksanakan gaji minima RM 1,000/= sebulan “bagi pekerja sepenuh masa, membina pangkalan data bagi membantu golongan muda yang di dalam fasa 'peralihan' seperti kehilangan kerja, sakit teruk atau krisis kewangan”.

ii) “Kerajaan disaran melancarkan kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah”.

iii) “Bagi menggalakkan proses integrasi antara kaum, kerajaan disaran memberi insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja pelbagai kaum dan pelepasan cukai kepada restoran yang mendapat sijil perakuan halal”.

iv) “Dalam menjamin proses demokrasi diamalkan, Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya waktu maksimum dua tahun ditetapkan bagi tahanan di bawah akta ISA”.


Ada satu dua aspek menarik laporan di atas yang boleh kita renungi bersama.  Misalnya semasa laporan disediakan,  KJ adalah Ketua Pemuda BN jawatan tanpa kuasa eksekutif seperti sekarang ini iaitu sebagai sebagai menteri kabinet.  Ertinya sebagai pemimpin utama orang muda BN,  KJ telahpun duduk semeja dengan para pemuda BN yang lain untuk bermakmal, berhujah, berdebat dan merumuskan idea dan cadangan untuk dilaksanakan oleh kerajaan.  Ertinya sebelum menantu Abdullah Ahmad Badawi ini diangkat menjadi menteri penuh, kumpulan pemimpin pemuda BN ini telahpun memaklumkan bukan saja kepada para pemimpin BN tapi juga kepada seluruh rakyat bahawa inilah cadangan para pemimpin muda BN kepada PM.  Katakanlah apa saja kepada orang-orang muda BN ini, yang jelas mereka terbukti mampu duduk semeja.


Apa lagi yang boleh kita kita pelajari dari khazanah berita di atas? Perhatikan cadangan yang dikemukakan.  Sebagai contoh,  sila perhatikan cadangan diadakan “kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah”.   Walaupun kos untuk melaksankan cadangan ini mungkin besar tapi lihatlah impaknya kepada dunia pembelajaran dan makna sebenar menuntut ilmu itu kepada anak-anak kita sekiranya cadangan ini dilaksanakan.  Ya, cadangan seperti ini jika berjaya dilaksanakan akan membolehkan seseorang pelajar “sains tulen@pure science” di peringkat SPM (dengan mata-mata pelajaran ‘wajib’ seperti fizik, kimia, biologi, matematik ‘biasa/moden’, matematik tambahan) memilih mata pelajaran seperti sastera Melayu (masih ada lagikah subjeknya dalam SPM atau sudahpun menjadi arwah?), sastera Cina, muzik, lukisan dll.  

Bukankah gabungan mata pelajaran seperti ini bakal membuat dunia ilmu dan ‘dunia belajar’ itu lebih menarik, bermakna, lebih berkesan dan menyeluruh?  Dalam sistem yang ada sekarang ini,  seolah-olahnya seseorang calon angkawasan itu misalnya hanya perlu tahu, faham dan hayati ilmu-ilmu fizik dan angkasa lepas.  Ya, yang perlu seseorang angkasawan itu tahu ialah dunia keangkasawanannya.  Sebagai seorang calon angkawasan dia tidak perlu tahu bahawa sesungguhnya yang menuntut, berjuang dan menjadi mangsa perjuangan kemerdekaan itu termasuklah Pak Sako, Ahmad Boestamam dan bahawa sesungguhnya Umno itu anak peliharaan British? 

Itu baru satu contoh. Sebenarnya banyak lagi contoh lain yang boleh dilihat, diteliti dan dikupas dalam cadangan menantu mantan PM yang kini seorang menteri itu.


2.


Seperti biasa sebagai penutup kita ada beberapa soalan ringkas.  Para pemimpin pemuda Pakatan Rakyat, bolehkah kita lihat dokumen yang tuan-tuan hasilkan semasa duduk semeja dulu itu?  Apakah mimpi tuan-tuan sekalian sebagai satu jemaah,  tentang masa depan negara ini telah didokumenkan untuk renungan semua?  Atau apakah tuan-tuan masih lagi tertunggu-tunggu dan menunggu kuliahnya anak-anak muda (yang sekarang ini saban waktu digodam di jalan-jalan kerana menuntut SPR letak jawatan), sebelum bertindak?  Atau tuan-tuan hanya perlu sibuk bersyarah, berpidato sambil memerhatikan gerak geri dan isyarat bos-bos besar dalam parti  sebelum turun bertindak?  Percayalah,  anak-anak muda dan juga orang-orang usia emas sedang melihat dari jauh dan juga dekat.  Mereka, orang-orang muda kita ini, tidak menanti sebarang jawatan dalam parti.  Mereka mendambakan perubahan.





No comments: