Saturday, November 2, 2013

Kewibawaan yang tercalar



Kasihilah ilmu dan kepakaran


Baru saja terbaca sebuah entri dalam sebuah akhbar digital, satu pandangan kenapa sang penguasa itu harus adil dalam menangani puak-puak pelampau di negara kita. Jika tidak, suasana hubungan kaum-agama di negara kita akan terus tegang; akibat langsung 'masalah' hubungan kaum dan agama yang sengaja diapi-apikan.  Maka saya pun teringat tentang sesuatu: Tentang tokoh dan kewibawaan yang tercalar. 

Bukankah kebolehpercayaan, kewibawaan ― Inggerisnya credibility,  seseorang tokoh itu mudah sekali rosak binasa (baca: larut, cair, ceroi) atau pun dirosakkan oleh kerana sesuatu peristiwa apatah lagi skandal?  Alangkah tepatnya kebijaksanaan pepatah silam ‘hilang kemarau setahun oleh hujan sehari’ yang bermaksud ‘kebaikan hilang kerana kejahatan sedikit’ itu. Seseorang tokoh itu boleh saja berbakti bertahun-tahun lamanya dengan menggunakan segala ilmu pengetahuan yang dimilikinya.  Jika dia seorang pakar sosiologi, maka selama bertahun-tahun dia membaca, menulis, menyelidik, membimbing dan membentangkan ilmu pengetahuannya di pelbagai arena yang memperagakan ilmu sosiologi.  Kekadang dia begitu dihormati kerana ilmu (authority) yang dimilikinya.  Tiba-tiba ada laporan tentang satu peristiwa yang mencalarkan.  Peristiwa itu boleh jadi benar atau pun hanyalah fitnah yang dicipta untuk memusnahkan watak. 

Hari ini terdapat tokoh, mungkin oleh kerana ilmu dan kepakaran bertahun-tahun yang dimilikinya,  bercakap tentang pelbagai perkara.  Dan apa yang diperkatakan tokoh ini sememangya munasabah ― make sense ― malangnya,  apa yang diutarakannya itu biasanya dilihat sebagai hinggar bingar, noise semata-mata.  Kenapa?  Sebagai satu sosok, watak ini tidak lagi dilihat sebagai ilmuan tapi hanyalah watak yang tercalar.  Dia dilihat sebagai alat kerana dia pernah mahu menjadi alat!

Oleh itu, demi kasih sayang kita kepada ilmu dan kepakaran yang dianugerahi yang maha Kuasa itu, fikirlah masak-masak dan renungilah dengan mendalam sebelum terlanjur rela menjadi alat.

Wallahuaklam. 



No comments: