Saturday, May 31, 2014

Nota di ambang PRK, Teluk Intan (31 Mei 2014)





‘Lagu mana pun’ DAP dah menang!


Apakah yang membuat Umno begitu terkejut, gelabah dan diserang histeria yang sakan apabila DAP meletakkan Dyana di PRK Teluk Intan?

Umno terkejut, begitu gelabah dan benar-benar diserang histeria ke tahap maksima apabila DAP meletakkan Dyana di PRK Teluk Intan.  Kenapa?  Agaknya kenapakah Umno seperti kucing berakkan rambut?  (maksudnya: Keadaan orang yang terlalu susah atau sakit)  

Kita terfikirkan 10 sebab berikut:


Pertama sekali, parti Melayu itu begitu terkejut dikejutkan sedemikian rupa oleh DAP.  Ya, dengan meletakkan calon Melayu dalam satu PRK (Pilihan Raya Kecil), Umno memang terkejut besar.  Dan Parti Melayu Umno tidak sama sekali gemar apabila DAP berTINDAK dengan tidak “main-main” selaras dengan peringatan yang sering diulang-ulang oleh mendiang Karpal Singh “Jangan main-main!”


Kedua, meletakkan calon bukan-Cina sehinggakan Umno terkejut membuatnya kesakitan yang amat sangat.  Kita tentu pernah mengalami betapa sakitnya ulu hati dan seluruh dada apabila dikejutkan oleh berita-berita yang amat mengejutkan; oleh kerana itu kita juga cukup arif dengan kesakitan seperti ini.  Malah jika ‘salah-salah terkejut’ siapa saja boleh mati diserang sakit jantung.  Oleh itu janganlah sekali-kali main-main dengan kejutan.  Bisa copot(luruh) jantung dibuatnya!  Begitulah, Dyana di Teluk Intan adalah kejutan yang amat mendukacitakan kerana ia bisa membuat jantung Umno berhenti berdetak.


Ketiga ialah peluru “sebuah parti Cina yang anti-Melayu dan anti-Islam” yang berpuluh-puluh tahun digunakan terhadap DAP, lebih-lebih lagi dalam kalangan sesetengah-tengah orang Melayu yang entah kenapa begitu mudah ditipu, tidak boleh lagi digunakan dalam PRK Teluk Intan.  Yang digunakan, dan ternyata digunakan dengan berleluasa termasuk oleh seorang Tunku (bekas orang kuat DAP itu) ialah bahawa Dyana itu alat, alat Cina untuk memperdaya Melayu.  Makanya di Teluk Intan, Dyanalah yang diperalatkan sehingga Melayu dan Islam tergadai.  Adakah sesuatu yang baru dengan tuduhan ini? Ada?


Keempat ialah kemunculan seorang aktivis Umno, Puan Yammy Samat, ibunya Dyana dengan hujah-hujah yang bernas (baca: pedih lagi memedihkan) kenapa dia merestui anaknya sebagai calon DAP cukup menerujakan.  Sila baca petikan@sindiran Sang Ibu ini:

 Kita percaya ramai teruja apabila membaca petikan portal Malaysiakini ini yang memetik kata-kata hikmat (baca:hikmah) Puan Yammy Samat, ibunya Dyana seperti di bawah iaitu sebagai balasan terhadap kritikan seorang besar Umno seperti mantan Perdana Menteri:

"I tried teaching her to be like Mukhriz, but when she grew up she became like Marina," she was quoted as saying by Astro Awani.  Begitulah jawapan Sang Ibu, seorang aktivis Umno tentang kelakuan anaknya yang menjadi calon DAP.

Sementara itu dalam membicarakan soal jodoh sang anak, ibu seorang aktivis Umno dan telah sekian lama berjuang bersama parti Melayu Umno berpendapat:

"If she wants to marry, it is up to her. If she wants to marry a Malay, Chinese or Indian...

"If I force her and if the marriage ends in failure, what then?" she added.


Apa lagi yang diharapkan oleh seorang anak selain RESTU ibunya?  Bayangkanlah jika Puan Yammy Samat muncul dengan mesej yang sebaliknya.  Pasti lenjan dan runtuh bumi Malaysia kita digodam stesen TV itu dan akhbra itu!


Kelima,  ia membuka peluang yang seluas-luasnya untuk seluruh rakyat Malaysia melihat watak dan perwatakan sebenar para pemimpin Umno termasuk para menteri kanan dan juga ‘kiri’nya.  Ternyata dan jelas sekali mereka menjadi begitu kalap (Jawa: hilang akal, tidak siuman, gila, dirasuk hantu) dan kisruh (kacau bilau, kalut) akibat perbuatan DAP ini.  Kita tak perlu ulangi pelbagai tindakan mereka.  Cukup dan mencukupi jika anda ikutinya dalam pelbagai portal yang ada.


Keenam, kita percaya sesungguhnya tindakan DAP itu bukanlah satu tindakan yang mudah.  Kita percaya begitu.  DAP ― sama seperti PAS ― bukanlah sentiasa seratus peratus sekata dan sebulat suara dalam memilih dan meletakkan calon dalam sebarang pilihan raya.  Jika PAS itu bisa saja sarat dan tegar dengan para ulamak (Azhariyun dkknya, para lulusan Universiti Azhar dan universiti-universiti Timur Tengah yang belum tentu sebulu dengan yang bukan Azhariyun), kita percaya DAP juga memiliki kelompok-kelompok yang berbeza pandangan.  Siapa percaya bahawa dalam DAP tidak Cina “yang benar-benar Cina” pandangan hidupnya?  Bukankah ini lumrah kerana jika tidak,  tak akan muncul Umno versi Perkasa dan ISMA.  Sebenarnya bukanlah isu kewujudan pelbagai kelompok itu yang merimaskan Umno.  Malah Umno sebagai parti lawan cukup gembira sekiranya musuh-musuh politiknya kacau bilau.  Kita percaya keberanian, kesungguhan serta risiko yang telah diambil oleh DAP di Teluk Intan itulah yang membimbangkan Umno. Dengan berbuat demikan DAP, sebagai kerabat Pakatan Rakyat telah memasuki fasa baru dalam menterjemahkan makna politik baru.  Itulah sebabnya kita berdoa agar risiko yang dibuat oleh DAP ini membuah hasil.


Ketujuh berkait rapat dengan sebab ‘keenam’ dan adalah salah satu contoh yang jelas berhubung keampuhan kepimpinan organisasi.  PAS pernah mencuba tindakan seperti ini di Johor dengan meletakkan, Kumutha Raman peguam India bukan Islam di Tiram, Johor.  Agaknya percubaan PAS itu kurang mendapat liputan mungkin kerana ia berlaku dalam PRU?  Kita percaya demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang, penerokaan politik yang berani seperti ini mestilah diteruskan dan dimantapkan lagi oleh Pakatan Rakyat.  Semakin mantap dan gagah tindakan-tindakan seperti ini, maka semakin tumpullah badik@belati perkauman Umno itu.  Umno yang tak mampu berubah itu makin serlah di mata mereka yang celik.


Kedelapan: Dyana di Teluk Intan menggerunkan Umno kerana gadis Melayu yang ibunya aktivis Umno ini telah disekolahkan, memperolehi ilmu dan ijazah undang-undangnya oleh UiTM sudah terang-terangan berani menggigit jari yang menyuapnya!  Gadis ini bukan saja menjadi ‘pengkhianat tapi telah menderhaka’ kepada bangsanya.  Tak cukup dengan itu, si gadis yang ‘tidak mengenang budi’ ini menyeru agar UiTM itu dibuka pintunya kepada para pelajar bukan Melayu.  Tatkala satu ketika dulu, MB Khalid Ibrahim membuat seruan yang serupa, dia telah dihentam lumat oleh para pejuang dan pencinta Melayu.

Ada sesuatu yang menarik (baca: berani, berwawasan) dengan tindakan dan seruan gadis Dyana ini.  Dia melihat jauh ke depan kerana dia tahu bahawa setelah dia tiada lagi di dunia yang fana ini anak-anak, cucu dan cicitnya perlu berdiri sendiri.  Untuk berdiri sendiri Dyana MESTI membenarkan orang-orang Melayu belajar bersaing.  Dia tahu orang-orang Melayu tidak boleh selama-lamanya disuap.  Anak burung pun, apabila tumbuh sayapnya,  terbang ke sana ke mari mencari makannya sendiri. Umno percaya dia mestilah selama-lamanya menyuap orang-orang Melayu!  Alahai,  demikianlah Umno.


Kesembilan ialah tentang keyakinan diri seorang gadis Melayu adalah contoh yang tidak baik untuk Umno.  Apakah tidak mungkin di mata Umno itu, siapa saja Melayu yang berani dan berani sekali berdiri sendiri lalu bangun melawan adalah musuh Umno yang amat ditakuti?   Kita cenderung sekali berfikir begitu.


Kesepuluh, kenapakah Umno mahu orang-orang Melayu terus bergantung hidup dan ehsan kepadanya? 

Sesungguhnya Teluk Intan yang dimenangi oleh DAP adalah mala petaka buat Umno.  Walau bagaimana pun DAP (baca: Pakatan Rakyat) telah menang.  Bak kata orang-orang Utaraku:


‘Lagu mana pun’ DAP dah menang!


Ya, tidaklah mahu kutoleh lagi!


(Nota ditulis beberapa jam sebelum Teluk Intan turun mengundi) 



5 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
ssn said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.