‘Lagu mana pun’ DAP dah menang!
Apakah yang
membuat Umno begitu terkejut, gelabah dan diserang histeria yang sakan apabila
DAP meletakkan Dyana di PRK Teluk Intan?
Umno terkejut,
begitu gelabah dan benar-benar diserang histeria ke tahap maksima apabila DAP
meletakkan Dyana di PRK Teluk Intan.
Kenapa? Agaknya kenapakah Umno seperti
kucing berakkan rambut? (maksudnya: Keadaan
orang yang terlalu susah atau sakit)
Kita terfikirkan
10 sebab berikut:
Pertama sekali, parti Melayu itu begitu terkejut dikejutkan sedemikian rupa oleh
DAP. Ya, dengan meletakkan calon Melayu dalam
satu PRK (Pilihan Raya Kecil), Umno memang terkejut besar. Dan Parti Melayu Umno tidak sama sekali gemar
apabila DAP berTINDAK dengan tidak “main-main” selaras dengan peringatan yang
sering diulang-ulang oleh mendiang Karpal Singh “Jangan main-main!”
Kedua, meletakkan calon bukan-Cina sehinggakan Umno terkejut membuatnya kesakitan
yang amat sangat. Kita tentu pernah mengalami
betapa sakitnya ulu hati dan seluruh dada apabila dikejutkan oleh berita-berita
yang amat mengejutkan; oleh kerana itu kita juga cukup arif dengan kesakitan seperti
ini. Malah jika ‘salah-salah terkejut’
siapa saja boleh mati diserang sakit jantung.
Oleh itu janganlah sekali-kali main-main dengan kejutan. Bisa copot(luruh) jantung dibuatnya! Begitulah, Dyana di Teluk Intan adalah kejutan
yang amat mendukacitakan kerana ia bisa membuat jantung Umno berhenti berdetak.
Ketiga ialah peluru “sebuah parti Cina yang anti-Melayu dan anti-Islam” yang berpuluh-puluh
tahun digunakan terhadap DAP, lebih-lebih lagi dalam kalangan sesetengah-tengah
orang Melayu yang entah kenapa begitu mudah ditipu, tidak boleh lagi digunakan
dalam PRK Teluk Intan. Yang digunakan,
dan ternyata digunakan dengan berleluasa termasuk oleh seorang Tunku (bekas
orang kuat DAP itu) ialah bahawa Dyana itu alat, alat Cina untuk memperdaya Melayu.
Makanya di Teluk Intan, Dyanalah yang
diperalatkan sehingga Melayu dan Islam tergadai. Adakah sesuatu yang baru dengan tuduhan ini? Ada?
Keempat ialah kemunculan seorang aktivis Umno, Puan Yammy Samat, ibunya Dyana dengan
hujah-hujah yang bernas (baca: pedih lagi memedihkan) kenapa dia merestui
anaknya sebagai calon DAP cukup menerujakan.
Sila baca petikan@sindiran Sang Ibu ini:
Kita percaya ramai teruja apabila membaca
petikan portal Malaysiakini ini yang memetik kata-kata hikmat (baca:hikmah) Puan
Yammy Samat, ibunya Dyana seperti di bawah iaitu sebagai balasan terhadap
kritikan seorang besar Umno seperti mantan Perdana Menteri:
"I tried teaching her to be like Mukhriz, but
when she grew up she became like Marina," she was quoted as saying by Astro Awani. Begitulah jawapan Sang Ibu, seorang aktivis
Umno tentang kelakuan anaknya yang menjadi calon DAP.
Sementara itu
dalam membicarakan soal jodoh sang anak, ibu seorang aktivis Umno dan telah
sekian lama berjuang bersama parti Melayu Umno berpendapat:
"If she wants to marry, it is up to her. If
she wants to marry a Malay, Chinese or Indian...
"If I force her and if the marriage ends in failure, what then?" she added.
"If I force her and if the marriage ends in failure, what then?" she added.
Apa lagi yang
diharapkan oleh seorang anak selain RESTU ibunya? Bayangkanlah jika Puan Yammy Samat muncul
dengan mesej yang sebaliknya. Pasti lenjan
dan runtuh bumi Malaysia kita digodam stesen TV itu dan akhbra itu!
Kelima, ia membuka peluang yang seluas-luasnya
untuk seluruh rakyat Malaysia melihat watak dan perwatakan sebenar para
pemimpin Umno termasuk para menteri kanan dan juga ‘kiri’nya. Ternyata dan jelas sekali mereka menjadi begitu
kalap (Jawa: hilang akal, tidak siuman, gila, dirasuk hantu) dan kisruh (kacau
bilau, kalut) akibat perbuatan DAP ini.
Kita tak perlu ulangi pelbagai tindakan mereka. Cukup dan mencukupi jika anda ikutinya dalam
pelbagai portal yang ada.
Keenam, kita percaya sesungguhnya tindakan DAP itu bukanlah satu tindakan yang mudah. Kita percaya begitu. DAP ― sama seperti PAS ― bukanlah sentiasa seratus
peratus sekata dan sebulat suara dalam memilih dan meletakkan calon dalam
sebarang pilihan raya. Jika PAS itu bisa
saja sarat dan tegar dengan para ulamak (Azhariyun dkknya, para lulusan
Universiti Azhar dan universiti-universiti Timur Tengah yang belum tentu sebulu
dengan yang bukan Azhariyun), kita percaya DAP juga memiliki kelompok-kelompok
yang berbeza pandangan. Siapa percaya
bahawa dalam DAP tidak Cina “yang benar-benar Cina” pandangan hidupnya? Bukankah ini lumrah kerana jika tidak, tak akan muncul Umno versi Perkasa dan ISMA. Sebenarnya bukanlah isu kewujudan pelbagai kelompok
itu yang merimaskan Umno. Malah Umno
sebagai parti lawan cukup gembira sekiranya musuh-musuh politiknya kacau
bilau. Kita percaya keberanian,
kesungguhan serta risiko yang telah diambil oleh DAP di Teluk Intan itulah yang
membimbangkan Umno. Dengan berbuat demikan DAP, sebagai kerabat Pakatan Rakyat telah
memasuki fasa baru dalam menterjemahkan makna politik baru. Itulah sebabnya kita berdoa agar risiko yang
dibuat oleh DAP ini membuah hasil.
Ketujuh berkait rapat dengan sebab ‘keenam’ dan adalah salah satu contoh yang jelas
berhubung keampuhan kepimpinan organisasi. PAS pernah mencuba tindakan seperti ini di
Johor dengan meletakkan, Kumutha Raman peguam India bukan Islam di Tiram, Johor. Agaknya percubaan PAS itu kurang mendapat
liputan mungkin kerana ia berlaku dalam PRU?
Kita percaya demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang, penerokaan politik
yang berani seperti ini mestilah diteruskan dan dimantapkan lagi oleh Pakatan
Rakyat. Semakin mantap dan gagah
tindakan-tindakan seperti ini, maka semakin tumpullah badik@belati perkauman
Umno itu. Umno yang tak mampu berubah
itu makin serlah di mata mereka yang celik.
Kedelapan: Dyana di Teluk Intan menggerunkan Umno kerana
gadis Melayu yang ibunya aktivis Umno ini telah disekolahkan, memperolehi ilmu
dan ijazah undang-undangnya oleh UiTM sudah terang-terangan berani menggigit
jari yang menyuapnya! Gadis ini bukan
saja menjadi ‘pengkhianat tapi telah menderhaka’ kepada bangsanya. Tak cukup dengan itu, si gadis yang ‘tidak
mengenang budi’ ini menyeru agar UiTM itu dibuka pintunya kepada para pelajar bukan
Melayu. Tatkala satu ketika dulu, MB Khalid
Ibrahim membuat seruan yang serupa, dia telah dihentam lumat oleh para pejuang
dan pencinta Melayu.
Ada sesuatu
yang menarik (baca: berani, berwawasan) dengan tindakan dan seruan gadis Dyana
ini. Dia melihat jauh ke depan kerana dia
tahu bahawa setelah dia tiada lagi di dunia yang fana ini anak-anak, cucu dan
cicitnya perlu berdiri sendiri. Untuk
berdiri sendiri Dyana MESTI membenarkan orang-orang Melayu belajar
bersaing. Dia tahu orang-orang Melayu
tidak boleh selama-lamanya disuap. Anak
burung pun, apabila tumbuh sayapnya, terbang
ke sana ke mari mencari makannya sendiri. Umno percaya dia mestilah selama-lamanya
menyuap orang-orang Melayu! Alahai, demikianlah Umno.
Kesembilan ialah tentang keyakinan diri seorang gadis Melayu
adalah contoh yang tidak baik untuk Umno.
Apakah tidak mungkin di mata Umno itu, siapa saja Melayu yang berani dan
berani sekali berdiri sendiri lalu bangun melawan adalah musuh Umno yang amat ditakuti? Kita cenderung sekali berfikir begitu.
Kesepuluh, kenapakah Umno mahu orang-orang Melayu terus
bergantung hidup dan ehsan kepadanya?
Sesungguhnya Teluk
Intan yang dimenangi oleh DAP adalah mala petaka buat Umno. Walau bagaimana pun DAP (baca: Pakatan Rakyat)
telah menang. Bak kata orang-orang
Utaraku:
‘Lagu
mana pun’ DAP dah menang!
Ya, tidaklah mahu kutoleh lagi!
(Nota ditulis beberapa jam sebelum Teluk Intan turun mengundi)
5 comments:
Post a Comment