[Bayangkan ― sebagai
ketua ― anaknda telah nyata belot dan khianat, hadis yang mana satu dan ayat Quran
mana yang mahu anaknda petik buat melindungi diri anaknda?]
Pesan seorang abah
kepada calon ulamak
Anakku,
1.0 Pertama sekali
anaknda perlulah sedar kenapa abah memilih menyerahkan anaknda menimba ilmu di
madrasah tarbiah sepertimana yang sedang anaknda alami sekarang ini. Ketahuilah, abah bukan sekadar suka-suka memaksa anaknda
membaca, merenung, menelaah ilmu-ilmu agama serta menghafal dan berhujah dengan
menggunakan hadis dan ayat-ayat suci Al-Quran.
Bukan itu saja tujuan abah. Ingatlah
wahai anaknda, bukan itu tujuan abah bila mempertaruhkan masa depan anaknda di
tempat seperti ini. Abah ada wasasan
yang jelas kenapa anaknda mesti melampaui batas dan sempadan celik, pintar dan berupaya
berhujah dengan ilmu-ilmu Islam.
2.0 Sebagai
manusia yang yakin bahawa segala manusia itu pasti dikembalikan untuk menghadap
dan bertemu dengan Maha Penciptanya, abah mahu anak abah kembali ke alam sana sebagai
seorang manusia yang kenal, bijak dan arif ilmu Islamnya. Abah mahu anak kesayangan abah bukan sekadar seorang
insan yang kenal agama, lancar berbicara, bersyarah dan berhujah tentang Islam
di depan khalayak sepertimana yang sering kita saksikan selama ini. Abah bayangkan sesuatu yang sangat berbeza. Anakku, abah mahu anaknda menjadi manusia
yang bertindak dan bukannya seorang manusia yang bukan kepalang gemarnya berkata-kata. Ya, setelah ‘lulus’ jadilah diri kamu itu ulamak. Ingatlah bahawa kamu yang ulamak itu bukanlah
seekor tiong dalam sangkar emas. Tiong
yang ramah menyapa tuannya, meminta-minta agar sangkarmu jangan kekeringan.
3.0 Sekarang
ini telinga anaknda, sama seperti telinga ayahnda, sudah jenuh dan tepu sekali dengan kata-kata
hikmat ― ulamak itu pewaris Nabi. Abah
harap anak abah juga sudah cukup yakin bahawa memang benarlah ulamak yang tulen
itu sememangnya pewaris Nabi. Dan
sebagai seorang bakal pewaris Nabi maka tidaklah cukup sekiranya kehidupan anaknda
sekadar menjadi manusia yang biasa-biasa saja ― apatah lagi menjadikan dirinya seekor
tiong. Oleh itu anaknda mestilah
melengkapkan diri anaknda sebagai pewaris nabi yang tulen. Pewaris yang bertindak, bukan hanya sekadar sang
khatib yang lancar berkhutbah di atas mimbar.
4.0 Wahai
anaknda, semua orang percaya bahawa agama itu petunjuk serta jalan lurus yang
paling selamat, dunia dan akhirat. Oleh
itu ramai yang sangat beria-ia mahu mengangkat, memuja, menjunjung dan ramai
pula yang tanpa segan silu mendewa-dewakan para ulamak yang (katanya) sangat tinggi
maqam ilmu agamanya. Anaknda mestilah berhati-hati agar tidak terperangkap
dalam pemujaan yang berlebih-lebihan ini.
Ingatlah, anaknda diangkat dan
dijulang taraf dan darjatnya oleh para sahabat dan rakan taulan semadrasah. Mereka yang saling angkat mengangkat itulah
yang juga bakal menjulang anaknda sebagai seorang ulamak. Percayalah anakku, kehidupan ini bukan
sekadar mendapat sanjung dan puji, angkat dan julang oleh kelompok-kelompok anaknda
semata-mata. Yakinlah, dalam semua bentuk sanjungan ini, bakal
terselit bisikan dan tipu muslihat yang licik.
Ada yang sentiasa mengintai-intai untuk menipu anaknda.
5.0 Akhir sekali, abah ingin berpesan tentang cabaran, ujian dan
amanah sebuah jawatan. Sekiranya anaknda
ditakdirkan memikul jawatan yang diletakkan di atas bahu anaknda, ingatlah
bahawa itu adalah ujian yang besar. Janganlah anaknda
mengira bahawa di madrasah ini anaknda tidak berdepan dengan cabaran dan ujian
jawatan. Ada satu pesanan (yang ayahnda
perolehi dari seorang rakan) buat renungan anaknda. Dan anaknda perhatikan pesanan ini baik-baik:
Seekor tupai di
atas sebatang pokok yang tinggi mungkin dikira makhluk yang sangat kecil untuk
diberikan perhatian. Sesungguhnya perkiraan
ini sangat meleset. Ia pemerhatian yang salah. Percayalah, setiap kali sang tupai yang amat kecil ini
bergerak, ramai yang berada di bumi melihat dan mengamatinya. Tidak ada ranting, daunan atau dahan yang
bakal melindungi gerak geri tupai yang sekecil itu. Ia terdedah kepada sorotan makhluk lain.
Bayangkan ― sebagai
ketua ― anaknda tiba-tiba belot dan khianat, hadis sahih yang manakah dan ayat Quran
yang mana satu yang mahu anaknda petik buat melindungi diri anaknda?
No comments:
Post a Comment