Monday, September 1, 2014

Senjata apa saja Regime





'Apa saja' sebagai senjata


Survival atau ‘demi kelangsungan hidup’. Itu kata kuncinya. Lawannya ‘punah’ atau lebih ngeri lagi ‘punah ranah’.  Bila seekor anak kucing jalanan tersepit dan yakin nyawanya dalam bahaya ia berbuat apa saja yang mungkin untuk menyelamatkan dirinya. 


Pernah kau melihat bagaimana ia, seekor anak kucing jalanan ini, lari terbirit-birit mencari tempat perlindungan?  Sekiranya secara kebetulan ia sedang menumpang di kaki lima sebuah kedai yang memperbaiki peti-peti tv rosak, ia lari menyembunyikan dirinya di celah-celah longgokan tv yang rosak dan minta diperbaiki itu. Ia menggiau sekuat-kuat hatinya, mulut terbuka luas hinggakan lidah kecil mungil merah jambu warnanya itu terangkat, dua baris gigi kecil tajam jelas kelihatan dan mengancam.  Dan kedua-dua belah kaki depannya sibuk sekali mencakar-cakar dan menghalang apa saja yang cuba mendekatinya.  Jika tanganmu yang kau hulur jauh ke arahnya kerana mahu membelainya, tanganmu itulah menjadi sasaran bahamannya.  Percayalah, sakit pedih luka akibat dicakar digigit seekor anak kucing jalanan yang ketakutan sukar dipadamkan dari ingatan; lain kali aku pasti lebih berhati-hati kerana teringat pada luka yang menyakitkan akibat cakaran dan gigitan itu.



Senjata untuk hidup ―survival ― seekor anak kucing jalanannya ialah dengan menggunakan apa saja yang ia miliki. Ia gunakan kudrat empat kerat yang dianugerahi Tuhannya untuk selamat.  Ia melindungi dirinya dengan melarikan diri dan bersembunyi daripada sebarang ancaman musuh.  Ia bersembunyi sehingga keadaan sekelilingnya dirasai cukup selamat sebelum ia muncul semula.  Ia keluar ke kawasan umum untuk mencari makan apabila cukup yakin keadaan di sekelilingnya sudah selamat.  Ia membuat bising sekuat-kuat hatinya apabila percaya ia sedang diserang.  Ia mencakar, menggigit siapa saja yang dilihat mengancamnya. Jika seekor kucing jalanan bermati-matian mempertahankan hidup ― survivalnya ― apakah sebuah regime akan berdiam diri jika melihat ia mahu  dimusnahkan?



Senjata regime yang terancam: ‘Apa Saja’


‘Apa Saja’ pasti dijadikan menjadi senjata demi survivalnya. 

Lalu apakah cara terbaik dan paling berkesan buat melawan ‘Apa Saja’ yang sentiasa menyerang itu?

Katanya kitab lama yang sering dirujuk sebagai petunjuk dalam ilmu bertempur ialah Sun Tzu Seni Peperangan, The Art of War yang tersohor itu.

Seekor anak kucing jalanan tak punya masa untuk membaca kitab mempertahankan diri.

Sebuah perlawanan tulen ialah peperangan saraf tidak akan mati kerana ia dinyalakan oleh idealisme dan prinsip.


Apakah perlawanan bakal padam kerana prinsip dan idealisme telahpun mati???


Selangor ― Wahai Selangor ― semoga kau terselamat dan diselamatkan oleh prinsip dan idealisme itu!! Ameen.




No comments: