Monday, September 22, 2014

― they lie without blinking”







Berhati-hatilah dengan para pedagang agama.


Dalam menegakkan sesuatu pandangan atau pendirian, orang yang berkepentiangan akan menggunakan pelbagai cara untuk meyakinkan khalayaknya.  Misalnya seorang ketua jabatan yang mahu memohon sejumlah peruntukan untuk melaksanakan sesuatu projek, pembelian atau pun perkhidmatan (istilah lazim ialah perolehan) akan tampil dengan dokumen yang lengkap dengan segala hujah serta pengwajaran (justifikasi) kenapa permohonan peruntukan untuk membeli perolehan yang dimohon itu tidak wajar ditolak.  Dalam konteks ketua jabatan di peringkat negeri,  khalayaknya yang mesti diyakinkan di sini mungkin Pegawai Kewangan Negeri.  Dengan perkataan lain, salah seorang bos ketua jabatan di sesebuah negeri itu ialah pegawai kewangan negeri.


Apabila dua kelompok dalam sebuah parti politik berbeza pandangan, mereka juga berhujah.  Masing-masing berhujah dan mengemukakan pandangan kenapa pihaknya betul dan tidak mungkin salah. Misalnya apabila puak ulamak Pas bertempur dengan para Erdorgan dalam parti yang sama, mereka juga berhujah.  Masing-masing membentangkan segala macam hujah dan rasional, tamsil bidalan termasuk doa kutukan dan juga sajak kenapa pandangan mereka itu perlu diberikan perhatian yang serius.  Pendek kata pihak-pihak yang saling tidak dapat bersetuju dan menyetujui ini akan memberikan senarai pengwajaran (justifikasi) kenapa pihaknya berada di pihak yang benar.  Oleh kerana kedua-dua pihak cukup arif dan faham bahasa dan mesej Al-Quran serta hadith, maka ada dalam kalangan mereka yang tampil lalu berhujah menggunakan ayat-ayat agama.


Dalam konteks berhujah dengan ayat-ayat suci inilah maka bukannya kita tidak pernah dengar para pemimpin politik memetik ayat  yang menggesa kita semua supaya berhati-hati dengan berita yang dibawa oleh mereka yang fasik (Al-Hujurat:6) atau 49:6

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini ― dengan sebab kejahilan kamu mengenainya ― sehinggakan menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."  


Ironisnya yang dibacakan ayat seperti di atas juga faham akan maksud ayatnya serta asbabul nuzulnya.  Lalu mereka pun menempelak,  “Apakah kamu kira aku ini fasik?”


2.0 Justifikasi@pengawajaran hanya helah


Kata seorang teman bukan Islam (Nasrani kental), “ Kassim,  kamu tentu tahu ‘kan bahawa segalanya di dunia ini boleh diwajarkan?  Hitam pun ada manusia wajarkan sebagai putih. Pokok pangkalnya terletak kepada pilihan kita; mahu bercakap benar atau pun memutar belit!!  My message is simple.  Don’t be fooled and conned by rascals cloaked with their screwed-up religious intrepretations.  Even the so-called religious bigots lie ― they lie without blinking”


Jadi apakah yang menghalang segala macam orang-orang alim di dunia ini menggunapakai dan suaikan ayat-ayat suci mengikut tempat dan keadaan yang mereka pilih?  Moral coretan ringkas ini: Berhati-hatilah dengan para pedagang agama.




No comments: