http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/kepemimpinan-ulama-dan-salah-faham-mengenainya
Kepemimpinan ulama dan salah
faham mengenainya
Dinsman
Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis
dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.
Published: 5 December 2014
Kemelut menteri besar Selangor selama beberapa bulan yang berakhir dengan
pelantikan Azmin Ali pada 23 September itu dikatakan menyebabkan krisis teruk
dalam kepemimpinan PAS hingga mengakibatkan parti itu kini berpecah kepada
lebih daripada dua kumpulan, dan sudah ada pihak yang menuntut presidennya
berundur.
Tentulah bukan kemelut atau krisis menteri besar Selangor (MBS) itu yang
menjadi faktor berpecahnya parti PAS, ‘kan!
Kemelut itu hanya menjadi sebab terpecahnya bisul yang sudah lama menanah
dan hanya menunggu masa untuk pecah sahaja. Ia suatu kebetulan saja. Faktor
sebenarnya bukan itu.
Lalu apakah faktor sebenarnya? Untuk mengetahui faktor sebenarnya tidaklah
begitu susah. Lihatlah kepada apa yang heboh diperkatakan di kalangan dalaman
PAS sejak sebelum kemelut MBS itu dan juga selepasnya. Perkara yang heboh
diperkatakan itu ialah mengenai hal kepemimpinan ulama dan bukan ulama di dalam
PAS. Itulah yang heboh diperkatakan sejak sekian lama (tiga-empat tahun atau
lebih) sebelum tercetusnya kemelut MBS itu dan masih diperkatakan hingga ke
hari ini.
Namun faktor sebenarnya pun bukanlah kepemimpinan ulama itu sendiri.
Kepemimpinan ulama di dalam PAS yang bermula dengan era kepemimpinan Yusuf Rawa
itu tidak pernah menjadi masalah.
Yang menimbulkan masalahnya ialah apabila sekumpulan ulama di dalam
kepimpinan PAS mulai berasa terancam kedudukan mereka disebabkan kehadiran
tokoh-tokoh bukan ulama (lebih popular dengan panggilan
"profesional"), yang mulai mendapat kepercayaan para ahli untuk
memimpin parti itu; dan mereka pun melancarkan kempen untuk mempertahankan
kedudukan mereka.
Di situlah bermulanya bibit-bibit perpecahan yang sekarang sedang membarah
di dalam organisasi parti itu. Ia mencapai puncaknya apabila PAS enggan
menyatakan persetujuannya dengan keputusan PKR dan DAP melantik Presiden PKR,
Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi MB Selangor, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Keengganan PAS atau lebih tepatnya keengganan Presiden PAS, Dauk Seri Abdul
Hadi Awang itu kurang disenangi sebahagian pimpinan PAS khasnya mereka yang
bukan golongan ulama. Dan pernyataan kurang bersetuju golongan ini telah
mendapat reaksi yang agak keras pula daripada golongan ulama yang semakin
menampakkan sokongan mereka kepada keputusan Presiden itu.
Ada pelbagai analisa mengenai sebab-sebab mengapa Hadi tidak bersetuju
dengan pelantikan Dr Wan Azizah. Antaranya timbullah cerita yang hubungan
beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang sudah lama tidak mesra dan tidak
sehaluan. (Sebab apa? Saya fikir lebih baik kita tak usah sentuh hal itu).
Maka saya ingin kembali kepada hal tadi – golongan ulama dan bukan ulama di
dalam PAS.
Alkisahnya kemasukan golongan bukan ulama khususnya profesional ke dalam PAS berlaku secara agak besar di zaman Reformasi, iaitu zaman kebangkitan rakyat berikutan Anwar dizalimi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (1998), dan zaman yang menyaksikan kegemilangan pimpinan Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden PAS.
Ustaz Fadzil waktu itu mengalu-alukan kemasukan para profesional dan
intelektual menjadi ahli PAS. Bahkan sikapnya yang terbuka dan sanggup
mengambil risiko membawa PAS berjuang menuntut keadilan buat Anwar itu adalah
faktor utama mengapa ramai golongan profesional dan intelektual masuk PAS. Dan
itulah juga faktornya yang mengubah pandangan negatif masyarakat bukan Islam
terhadap PAS menjadi positif.
PAS sejak peristiwa Reformasi di zaman Ustaz Fadzil itu sudah mendapat
wajahnya yang baru, tanpa mengubah dasar kepimpinan ulamanya. Saya sempat
beberapa kali bersama dengan Ustaz Fadzil dalam pentas ceramah (saya baca
puisi), majlis makan malam dan sesi wawancara untuk majalah Detik.
Masih ingat lagi dalam sesi wawancara itu saya bertanya apakah mungkin pada
suatu hari nanti PAS akan dipimpin oleh presiden yang bukan ulama? Tanpa
teragak-agak beliau menjawab: Ya, mungkin.
Lalu bagaimana dengan dasar kepimpinan ulama? Tanya saya. Dan jawapan Ustaz
Fadzil kepada soalan inilah yang kembali bangkit dalam memori saya sebagai
reaksi kepada kempen golongan ulama PAS hari ini yang cuba mengawal
seboleh-bolehnya agar semua pimpinan PAS peringkat atasan terdiri daripada
golongan ulama.
Apa jawapan Ustaz Fadzil itu? Jawabnya: Dasar kepimpinan ulama di dalam PAS
bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama
tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat
kepercayaan ahli-ahli.
Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS
mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar
kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi
dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar
melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan
ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.
Lebih kurang begitulah penjelasannya. Kita boleh dapatkan penjelasan
tersebut secara verbatim kalau kita merujuk kepada majalah Detik yang
berkenaan. Saya tidak ingat lagi tarikhnya dan saya pun tidak simpan naskah
tersebut. Tetapi saya pasti dan positif, begitulah yang dimaksudkan.
Hal ini telah pun saya nyatakan kepada beberapa orang kawan apabila
ditimbulkan perkara krisis atau konflik antara ulama dan profesional di dalam
PAS sejak pemergian Ustaz Fadzil ke alam baqa, dan jawatan presiden itu
disandang oleh Hadi.
Soalnya, kenapakah golongan ulama di dalam PAS selepas era Ustaz Fadzil
menjadi tidak mesra dengan golongan yang bukan ulama sebagai pemimpin?
Kalau Ustaz Fadzil pernah menegaskan demikian mengenai dasar kepimpinan
ulama itu, maka siapakah pula yang membuat tafsiran berbeza daripada itu
selepas ketiadaan beliau? Dan kenapakah pula terjadi demikian?
Saya kira masalahnya ialah masalah keyakinan diri. Ustaz Fadzil begitu
sekali percaya dan yakin kepada struktur dan sistem kepimpinan dalam organisasi
PAS yang dipimpinnya, menyebabkan dia tidak sedikit pun bimbang kepada masa
depan kepimpinan ulama di dalam PAS.
Dan tidak kurang pentingnya ialah keyakinan diri yang ada pada pada ulama
dalam kepimpinan PAS waktu itu, khasnya mereka yang menduduki Majlis Syura
Ulama. Keyakinan diri itu menyebabkan tidak timbul kebimbangan atau rasa
terancam oleh kehadiran ramai golongan profesional.
Apabila golongan ulama melancarkan kempen (ala-ala Umno itu) untuk mengawal
dan memastikan agar calon-calon dari kalangan mereka yang dilantik ke jawatan
atasan dalam pimpinan, itu jelas menunjukkan bukan sahaja mereka kurang yakin
dengan kelayakan mereka sendiri tetapi juga menunjukkan bahawa mereka
mendahulukan kepentingkan politik lebih daripada kepentingan agama.
Maka di situlah bermulanya kecelaruan di dalam kepemimpinan PAS. Dan
apabila itu berlaku di kalangan ahli-ahli Majlis Syura Ulama sendiri maka
bayangkanlah. Ia umpama virus yang merosakkan. Tidak hairanlah hari ini imej
ulama pada keseluruhannya begitu menyedihkan sekali. Masyarakat seperti sudah
hilang kepercayaan kepada ulama.
Sesungguhnya ini suatu tragedi yang perlu segera disembuhkan. Kembalilah
segera kepada kepentingan agama, dan kurangkanlah berpolitik di dalam parti. –
5 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/kepemimpinan-ulama-dan-salah-faham-mengenainya#sthash.C4cOYNdC.dpuf