Monday, June 20, 2011

Sihir Si Nazak

Taktik memanjangkan nafas

Bagi Umno semuanya bukan lagi bersangkut paut dengan hakikat kebenaran dan segala perkara yang berkaitan dengannya.  Bagi Umno yang paling UTAMA ialah ― bagaimanakah ia boleh lolos dari kebangkitan rakyat yang semakin meluas dan merebak ini.

Mari kita ambil satu contoh yang masih panas di Pulau Pinang ― isu perlantikan pengurusan masjid-masjid di Pulau Pinang.  Selama ini AJKnya mestilah mereka yang mendapat restu Umno.  Ini bermakna siapa saja yang tidak sebulu dengannya akan disisih/disingkirkan.  Kesannya,  masjid tidak berfungsi seperti sepatutnya.  Masjid rata-rata ― mandom.

Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dikepalai DAP dikatakan membawa kacau bilau dalam persoalan pengurusan masjid ini.  Sebenarnya yang mahu direformasikan oleh Kerajaan Negeri ialah mengembalikan hak memilih AJK masjid itu kepada anak-anak jemaah/khairah.  Logiknya semua orang yang waras akan menyokong tindakan ini kerana hanya mereka yang layak (di mata anak-anak tempatan yang bersembahyang di masjid masing-masing) akan dilantik untuk mengurus masjid-masjid mereka. 

Semua inisiatif seperti ini tidak digemari oleh Umno kerana pada fikiran mereka, orang-orangnya mungkin saja tersingkir.  Umno tidak mahu peduli hakikat bahawa orang-orang Umno yang dilihat layak, baik tingkah lakunya dan kompeten oleh anak-anak jemaah, mungkin juga terpilih. 

Umno tidak mahu melihat semua itu kerana ia sangat takut kehilangan kuasanya ke atas masjid.  

Lalu apakah helahnya yang ada kepada Umno?


ii.

Ada satu taktik, yang biasanya, ampuh.


Yang perlu dipanggang dan asamlimaukan adalah emosi orang-orang Melayu ― dan masjid termasuklah salah satu objek ‘enak’ yang mampu mengecorkan selera emosi orang-orang Melayu.  Lebih sensitif lagi kepala negeri Pulau Pinang itu Cina ― walaupun sebenarnya Cina telahpun lama mengepalai jentera pemerintahan Pulau Mutiara itu namun Cina yang sedia ada, bukanlah Cina dari kemnya Umno.

Dan buah maut yang sekarang ini sangat galak dipergunakan di mana saja mestilah dimanfaatkan semahu-mahunya: Sekarang ini Cina DAP itu telah mempergunakan Melayu Pas dan Melayu PKR untuk merampas kuasa Melayu Umno (yang korup ― janganlah itu pula yang disebut-sebut dan diulang-ulangi).

Dan malangnya ada ramai Melayu yang percaya bahawa hujah ini betul dan tepat sekali.

Lihatlah bagaimana isu ketelusan pemilihan saf kepimpinan masjid itu telah berpindah/bertukar  menjadi isu Cina DAP mempergunakan Melayu Pas dan Melayu PKR...

iii.

Apakah moral cerita@kisah benar seperti di atas ini?

Kebenaran belum tentu dapat memenangkan mereka yang bermati-matian memperjuangkan kebenaran. Percayalah orang-orang ― yang nazaknya di peringkat hembusan nafas yang terakhir akan menggunakan APA SAJA ― termasuk taktik yang paling kotor sekali pun.

Apakah Pakatan Rakyat tidak mahu belajar untuk membetulkan semua ini?
    
DAP perlu teliti semua peristiwa seperti di atas ini dengan masak-masak.  Kenapakah kita sarankan sedemikian?  

Silalah telitilah hujah/taktik kotor ini, sekali lagi: DAP telah mempergunakan Melayu Pas dan Melayu PKR untuk merampas kuasa yang dipegang oleh Umno yang Melayu (yang korup itu janganlah diulang-ulangi).   Dan Pakatan Rakyat tidak boleh menjadi pihak yang terus-terusan  bertahan dengan taktik/hujah kotor Umno yang seperti ini.  

Percayalah dalam kocek Umno  itu terdapat banyak lagi peluru berbisa untuk membedil sebarang bola tanggung. Apakah Pakatan Rakyat telah mengambil ikhtibar daripada peristiwa-peristiwa yang sebegini? 

Dalam konteks ini,  apakah pengajaran yang boleh dinilai dan dipelajari oleh DAP misalnya?  Apakah langkah-langkah jauh ke depan yang boleh dipertimbangkan oleh DAP dalam menangani taktik jahat lagi kotor Umno ini? Bagaimana jika taktik juga dilawan dengan taktik yang lebih ampuh?   

Percayalah, Umno hanya menggantungkan hayatnya kepada emosi orang-orang Melayu yang belum sempat berfikir dengan lebih mendalam.  Umno bergantung ehsannya kepada orang-orang Melayu yang berkepentingan, orang-orang Melayu yang belum bermaklumat, orang-orang Melayu yang masih lagi nongkrong dalam kotak sejarah silam: Bahwa Melayulah segala-galanya walaupun kita sudahpun berdiri tegak dalam rumah abad 21 dan ― kita telah lama meninggalkan tahun-tahun 50an.

Agaknya berapa ramaikah orang-orang Melayu dan juga yang bukan Melayunya yang masih lagi terperangkap dengan Interlok, misalnya?

Lihatlah bagaimana selama ini,  kita semua telah dilencong dan digiring daripada melihat persoalan yang  jauh lebih besar mudharatnya: Kuasa itu hak mutlak Umno ― dulu, kini dan selama-lamanya.

Bukankah Malaysia ini hak xxxxxx bapa orang-orang tertentu saja?



No comments: