Dinsman (Artikel 246, 15/8)
Isu Jais-gereja: Biar lebih fikir dari sorak
Beberapa orang meminta saya supaya ulas isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, atas dakwaaan wujud usaha memurtadkan orang Islam.
Saya agak serba salah hendak mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan itu. Tetapi ada kawan yang mendesak supaya saya menulis juga walaupun serba salah, dengan mengemuka-kan alasan dan hujahnya yang panjang lebar. Dia sendiri pun, katanya, sudah menerbitkan beberapa entri di dalam blognya.
Memang pandangan saya agak berbeza. Itulah sebab saya jadi serba salah. Saya memikirkan apa untungnya, atau siapakah yang akan untung dan siapakah yang akan rugi kalau saya menyatakan pandangan yang berbeza ini.
Ramai orang telah menyatakan sokongan, dan dengan semangat yang berkobar-kobar, ada yang berapi-api, menyokong tindakan Jais itu. Beberapa orang pembaca/pengikut kolum WB sendiri pun, yang saya percaya tentunya mereka tahu jalan fikiran saya, turut menyatakan sokongan mereka kepada tindakan Jais itu.
Jadi, untuk apa pula lagi saya hendak menyatakan pandangan yang berbeza? Kata kawan saya, kerana pandangan yang berbeza itulah maka perlu saya menyatakannya. Supaya orang-orang kita dapat melihat isu itu dengan perspektif yang lebih wajar, dan lebih menguntungkan Islam.
Memikirkan hujahnya itu, dan dengan harapan akan lebih menguntungkan Islam itu, maka saya menulis juga wacana ini. Mengajak pembaca untuk berfikir sejenak, apakah semangat yang kita anggap sebagai semangat untuk mempertahankan Islam itu benar-benar sesuai dan kena tempatnya untuk kita letakkannya begitu.
Memang mudah untuk mengobarkan semangat dengan menyatakan kepada diri kita bahawa kita hendak mempertahankan Islam. Apatah lagi apabila bentuk aksi mempertahankan Islam itu hanya sekadar menyatakan sokongan kepada satu pihak dan menyalahkan pihak yang lain. Dan biasanya menyatakan sokongan serta menyalahkan pihak lain itu pula dibuat sebagai mengikut tindakan pihak-pihak tertentu yang telah mengkobar-kobarkan semangat orang ramai dan mengatakan atau mendakwa bahawa kita perlu mempertahankan kesucian dan kemuliaan agama kita.
Tidak susah sebenarnya untuk berbuat demikian, walaupun dengan retorik hebat bahawa kita sanggup walaupun mengorbankan wang, tenaga, harta dan sebagainya. Itu tidak susah, kerana tidak perlu berfikir pun. Malah tidak perlu berbuat apa-apa pun, selain menyatakan semangat yang berkobar-kobar itu.
Tetapi apakah dengan demikian itu kita sebenarnya telah bertindak mempertahankan kesucian dan kemuliaan agama kita?
Keadaannya hampir tidak berbeza dengan apa yang selalu berlaku dan selalu diulang-ulang dan diulang-ulang dengan semangat berkobar-kobar sambil menghunus keris dan mencium mata keris yang terhunus itu sambil melaungkan sumpah mempertahankan maruah bangsa dan sebagainya dan dalam masa yang sama maruah bangsa semakin dihakiskan oleh mereka sendiri.
Lihatlah itu! Setiap tahun sumpah penuh semangat itu diulang. Tetapi tahun demi tahun maruah Melayu semakin terhakis, ekonomi Melayu semakin terhakis, bahkan kuasa politik Melayu pun semakin terhakis. (Bukannya kita tak tahu itu). Jadi apakah maknanya sumpah penuh semangat yang berkobar-kobar dan penuh bergaya seperti pahlawan Melayu itu?
Ingatlah pesan sepatah yang ditinggalkan oleh datuk nenek kita yang bijaksana: “menang sorak kampung tergadai”.
Cukuplah kerja mengobarkan dan mengapi-apikan semangat dan bersorak-sorai untuk mempertahankan bangsa dan agama itu. Bukan saya tidak bersetuju kita berusaha mempertahankan maruah dan kesucian agama dan kedaulatan bangsa. Setuju sangat! Tetapi berfikirlah, dan berfikirlah. Biar lebih berfikir daripada bersorak-sorai. Berfikir! Telah sekian tahun kita dalam keadaan sorak-sorai mempertahankan agama dan bangsa begitu, tetapi lihatlah hasilnya.
Cerita orang Islam murtad ini pun bukan cerita baru. Bertahun-tahun dulu heboh kata ada 250,000 orang Islam telah murtad. Heboh! Tetapi apa yang kita buat? Tiba-tiba kita buat serbuan ke dalam sebuah gereja, dengan dakwaan yang membolehkan kita meletakkan kesalahan kepada pihak berkenaan.
Itu yang kita mahu sebenarnya. Kita hendak menyalahkan pihak lain. Mudahlah kerja kita! Selesailah tugas dan tanggungjawab kita apabila kita sudah berjumpa dengan pihak yang boleh kita bebankan segala kesalahan kepadanya. Kita sendiri? Apa yang kita buat sebenarnya?
Yang kita mendakwa dan bersumpah dengan semangat berkobar-kobar dan sanggup berkorban apa saja itu, apa yang kita telah usahakan sebenarnya? Ha, ini yang susahnya! Apabila kena duduk berfikir dan mempersoalkan tanggungjawab diri, ini yang susahnya. Tak adalah sorak sorai. Tak adalah hunusan keris.
Kecil sahaja bendanya. Cubalah fikirkan! Katakanlah kita beri sokongan penuh kepada tindakan Jais itu. Menangkah kita dalam isu orang Islam yang telah sekian ratus ribu telah murtad itu? Menangkah orang Islam dalam kehidupan hari ini dibandingkan dengan orang bukan Islam – segi ekonominya, segi ilmunya, segi politiknya, segi apa-apa pun!
Tanyalah keikhlasan diri kita sendiri, di dalam hati sanubari kita. Betulkah kita hendak memperjuangkan kemuliaan dan kebesaran Islam? Semata-mata ikhlas kerana Allah! Bercakap pasal Islam mesti ada keikhlasan kerana Allah! Dan tidak ada sorak sorai.
Minta maaflah. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Itulah pandangan saya yang berbeza sedikit. Kalau betul hendak berjuang untuk Allah (Islam), ada banyak lagi perkara lebih baik yang boleh kita buat. Ada banyak lagi, tersangat banyak, yang boleh kita buat. Soalnya – betulkah sanggup berkorban apa saja kerana Allah? (Ya Allah, ampunilah aku kalau aku terlanjur dalam memperkatakan isu ini! Ampunilah aku ya Allah!)
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
No comments:
Post a Comment