Jurulatih Umno terbahak-bahak
Setiap kali pasukan lawan menyerang bertubi-tubi ke golnya, jurulatih Umno pasti mendapat bantuan tambahan yang segera dari luar padang. Dia tahu musibahnya jika golnya terus-terusan digodam oleh lawan ─ golnya pasti bocor. Ya, golnya pasti bergegar jika serangan bertubi-tubi sebegini tidak dicantas dengan segera.
Siri serangan, akibat kekucarkaciran pasukan Umno sendiri, oleh Besih 2.0, oleh skandal Mismahgate yang berstatus penduduk tetap (PR, Permanent Resident) pada waktu pagi dan menjadi warga negara di sebelah petang, biometrik yang dituduh sebagai helah untuk menipu, dakwaan orang-orang beruniform yang mempunyai dua kad pengenalan, pendatang yang diwarganegarasegerakan, cukup melemaskan pasukan Umno.
Itu belum lagi kes Beng Hock et al yang sungguh liat untuk padam, kenaikan harga barang-barang, lebihan limpahan aksi-aksinya seorang bintang (dari FLOM, First Lady of Malaysia ke DSR, Datin Seri Rosmah) yang cukup bergaya itu, amat menderakan pasukan Umno.
2.
Tajuk Ketuanan Melayu sudahpun digarap berulang-ulang kali. Orang-orang Melayu, termasuk yang di luar bandar, mulai yakin itu semua hanyalah temberang. Ketuanan tidak lagi menjadi. Dan Bersih 2.0 telah memaparkan wajah sebenar para panglima Perkasa. Gertak sang Presiden jelas kelihatan. Skuad katak lemas dan karam dalam lautan kuning warna.
3.
Islam yang terancam adalah satu lagi senjata yang sangat ampuh. Paling tajam ialah isu mengKristiankan orang-orang Melayu. Kita tentu ingat bagaimana pasukan Ku Li punah kerana isu ‘tengkolok berlambang salib’ pada malam menjelang pilihan raya umum itu. Orang-orang Melayu sangat gentar dengan ancaman diKristiankan.
Namun ramai orang Melayu turut gembira jika ada yang berhujah bahawa hudud bakal membuat orang-orang Melayu hodoh kerana dikudungkan. Bahawa bertudung itu hanyalah dan sekadar satu fesyen saja. Orang Melayu tidak bersungguh-sungguh melihat rasuah itu musibah besar. Orang Melayu tidak juga bersungguh-sungguh mahu melihat bahawa menyelamatkan perniagaan anak dengan menggunakan wang negara itu adalah salah guna kuasa. Orang Melayu tidak mahu melihat memboroskan wang rakyat itu adalah juga satu dosa. Senarainya cukup panjang.
Ramai sekali orang-orang Melayu tidak pedulikan bagaimana khazanah zakat orang-orang Islam itu diurus. Ramai orang-orang Melayu tidak peduli sama sekali kenapa tanah-tanah wakaf tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ramai orang-orang kaya Melayu yang telah berumrah berpuluh kali tapi lupa dan tidak nampak jirannya yang melarat.
Ya, senarainya cukup panjang.
Ya, ada di kalangan kita berpuas hati kerana sentiasa saja berdekat-dekat dengan Allah tapi sayangnya di kalangan manusia, kita begitu suyup-sayup di seberang lautan.
Kenapakah ini yang terjadi?
Ada yang berkata Cat Steven tidak akan menjadi Yusuf Islam jika melihat perangai orang-orang Islam.
4.
Kata mereka siasatan ke atas gereja itu ialah untuk menjaga akidah orang Melayu daif yang dijadikan sasaran. Apakah benar, ini benar-benar isu yang baru? Pelik tapi benar, kita marah-marah jika orang-orang Barat ‘menyerang’ wanita Islam yang berjilbab. Kita katakan itulah kerja buat orang-orang Kristian yang fanatik dan tidak demokratik.
Kita menyiasat makan malam kerana mencari Melayu yang mahu dimurtadkan. Kita katakan itu mesti dilakukan kerana kita mahu menjaga kesucian Islam dan kita berhujah ada undang-undang yang membolehkan semua itu dilakukan. Kita berhujah bahawa nama ‘Allah’ dan ‘doa’ disebut-sebut... Betapa sungguh luar biasanya kita.
Sejak kontroversi nama Allah, peristiwa membakar gereja dan isu-isu seperti ini diC4kan dan diulang-ulangi, berkali-kali, yang cedera ialah Islam. Dan setiap kali isu-isu agama ini diulangi, wajah Islamlah yang semakin tercalar. Islam menjadi hodoh dengan calar balar yang kita telah ciptakan.
Tidakkah ini anih dan ‘luar biasa’?
5.
Seorang pemain Umno meraung-raung, betul-betul di dalam kotak penaltinya. Pemain pertahanan Selangor, Ben Ali telah membentes Ben Kholid, ketua pasukannya. Di luar padang, jurulatih Umno ketawa terbahak-bahak.
No comments:
Post a Comment