Ilham pemikir
terbaik UMNO: kegiatan pelajar dapat dikawal
Dari buku Junaidi
Abu Bakar, “Mahasiswa Politik Dan Undang-Undang”, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 1993:30 kita petik pemerhatian berikut:
“Kerajaan
berpendapat, salah satu alat Dasar Ekonomi Baru ialah pelajaran. Hal ini telah ditegaskan oleh Dr. Mahathir
Mohamad semasa membentangkan usul Rang Undang-Undang Pindaan AUKU (1975) di
parlimen: “Satu daripada alat Dasar
Ekonomi Baru ialah pelajaran. Pelajaran
membolehkan economic and social mobility
yang dapat mengubah nasib seseorang atau sesuatu kaum daripada yang buruk
kepada yang baik. Pelajaran boleh
mengatasi kemunduran ekonomi dan sekatan-sekatan sosial” (Penyata Rasmi Parlimen 8 April 1975: ruangan
4392.).
Apabila wujud
kegiatan mahasiswa yang pelbagai seperti penyertaan pilihan raya dan mengadakan
demonstrasi, mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran (Dr.
Mahathir Mohamad 8 April 1975: ruangan 4395). Oleh yang demikian, melalui pindaan akta
ini, kegiatan pelajar dapat dikawal dan
mereka akan lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran.”
Petikan di
atas menunjukkan jalur pemikiran sebab dan akibat seorang pemimpin politik yang
bertanggungjawab melahirkan sebuah akta yang sangat ‘terkenal’ lagi
kontroversial seperti AUKU. AUKU telah menjadi
akta kerana ketika itu Umno memiliki seorang pemikir yang berfikiran
sedemikian. Seorang pemimpin yang yakin
bahawa tugas seorang pelajar ialah belajar supaya ‘dianya’ menjadi berguna
setelah keluar dari menara gading kelak.
Ya, dengan majoriti
melebihi dua pertiga (kecuali selepas PRU 12) dalam parlimen, Umno/BN adalah
penguasa mutlak parlimen yang menjadikan AUKU itu sebuah akta. AUKU telah menjadi akta kerana ketika itu, rakyat
telah memilih komposisi parlimen yang sedemikian rupa. Dan di zaman silam tidak ada NGO yang tampil
untuk berkata TIDAK kepada segala macam bentuk ‘pemikiran’ Sang Penguasa. Oleh kerana penguasaannya yang mutlak itu,
Sang Penguasa boleh lakukan apa saja dengan kuasa yang diberikan rakyat
kepadanya itu. Oleh itu ia berjaya
menjadikan AUKU itu sebuah akta kerana rakyat tidak akan peduli apakah itu bentuk,
jenis dan macamnya akta yang luluskan parlimen untuk dilonggokkan ke atas batu
jembala segala rakyat.
Ini semua
berlaku kerana sejak merdeka rakyat yakin sekali bahawa BN/Umnolah yang memberikan yang terbaik kepada rakyat, iaitu kita
semua. Umno/BNlah yang telah memberikan
akta terbaik seperti AUKU untuk dipikul-junjung oleh rakyat negara ini. Ya, apa pun hujahnya, AUKU mestilah terbaik. Kenapakah AUKU bukan yang terbaik? Bukankah AUKU itu ilhamnya pemikir terbaik seorang
Umno? AUKU TIDAK mungkin TIDAK terbaik
kerana ia adalah ilham pemikir terbaik Umno.
No comments:
Post a Comment