Monday, August 31, 2009

Seni penyampaian maklumat

Semua orang ada cerita. Ramai juga yang gemar bercerita. Dan ramai pula manusia gemar mengadun dan me-rekacipta cerita. Namun bukan semua orang berupaya menjadi tukang cerita yang baik.

Saya kurang arif berapa peratuskah penduduk negara ini yang hobinya bercerita. Apakah mungkin sembilan daripada sepuluh suka bercerita? Terlalu besar? Bukankah hampir-hampir semua rakyat negara ini: Kecil besar, tua muda, lelaki wanita memiliki telefon bimbit dan ber’sms’? Kalau zaman Hang Tuah orang tidak selesa jika tidak berkeris, orang Malaysia abad ke-21 seperti tidak lengkap aksesorinya tanpa telefon bimbit. (Sungguh amat bijaklah mereka yang memulakan dan menguasai industri satelit dan lebuh raya).

Bukankah apa yang disebut di atas itu bercerita namanya? Prof Irwan Abu Bakar, e-sastera merangkap bendahari Paksi juga telah bercakap tentang novel sms. Begitulah besarnya peranan tukang cerita dalam kehidupan ini.

Masih ingat tentang kisah ala Hans Anderson seperti “Who bells the cat?” atau itu juga cerita Anderson?

Pak Samad dalam “Dari Salina ke Langit Petang” (A. Samad Said, Wira Bukit, cetakan kedua 2008) halaman 9-10 merakamkan sesuatu yang sentiasa membuat saya ketawa setiap kali saya membacanya:

“Saya pernah menceritakan kisah ini kepada ibu, apabila ibu bertanya apa cerita yang saya suka dengar daripada pak cik. Mulut saya cepat-cepat disepak kuat-kuat dan beberapa hari saya tidak menolong Pak Cik Osman menarik tali. Dan apabila saya dibenarkan turun semula cerita pak cik sudah tidak selincah atau seghairah dulu. Bila saya tanya mengapa ibu menyepak saya menceritakan semula kisah Batu Gosok Daki, Pak Cik Osman menjawab: “ Sebab kau tak pandai cerita. Orang pandai cerita tak akan kena sepak.”

Katakanlah kita begitu resah dengan tingkah laku mudharat seorang ketua yang sangat disayangi bos yang paling besar, bagaimanakah caranya kita bercerita tentang bencana yang bakal meletup jika tingkah mudharat ketua ini tidak dihentikan? Siapa dan bagaimanakah caranya kita mahu bertindak?

Apakah kita memilih untuk berkelakuan ala para pembesar pengampu seperti dalam cerita “the emperor’s new dress” atau apakah kita semua sama-sama mati kutu seperti dalam”who bells the cat?”

Apakah pilihan kita: Mengampu atau berdiam diri?

Sunday, August 30, 2009

Pesan buat peniaga emosi

Kalau ada yang masih berfikir bahawa permainan manipulasi@putar belit, dan pembakaran emosi mampu membawa laba segera, fikirlah sekali lagi. Berfikirlah dengan tenang kerana itulah yang terbaik untuk semua, lebih-lebih mereka yang begitu yakin bahawa pasaran saham emosi bakal mengaut keuntungan berlibat ganda yang segera. Bawalah berfikir dengan minda yang jernih, sejernih-jernihnya.

Ya, kita bercakap tentang agama dan bangsa.

Ada terlalu banyak sebab kenapa kita menyeru para pemain saham emosi, PESAHSI ini berhenti sejenak untuk berfikir dengan tenang, setenang-tenangnya. Ya, setenang air tasik yang luasnya sejauh mata memandang. Fikirlah dengan tenang hakikat bahawa kita:

Ya, kita bukan lagi berada di zaman 60an tatkala orang-orang Melayu rata-rata masih lagi kabur kefahaman Islam hakikinya dan buta dengan kenyataan di sekeliling mereka.

Kepada para Pesahsi, ingatlah bahawa Melyu zaman ini bukan lagi Melayu zaman dahulu kala. Dan percayalah, Melayu zaman ini rata-rata lebih memahami hakikat Islam itu dengan lebih mendalam. Oleh sebab itu yakinlah bahawa modal putar belit agama Islam sudah tidak lagi lut dalam kalangan orang-orang Melayu kecuali mereka yang berkepentingan, jumud, kental faham perkaumannya, buta Islam, ketandusan maklumat dan malas berfikir.

Percayalah orang-orang Melayu yang memahami Islam, rindu untuk kembali kepada Islam yang syumul (bukan Islam putar belit). Orang-orang Melayu ini melihat dan memerhati dengan mendalam segala tindak tanduk seperti berikut:

Apa yang segala institusi-yang-diperkuda telah buat dan tidak buat dulu dan sekarang.

Apa yang semua pemimpin (pembangkang dan kerajaan yang ada) telah buat dan tidak buat dahulu dan sekarang.

Apa yang media perdana bentang dan gelapkan dari pengetahuan rakyat sekarang.

Apa yang akhbar Melayu letupkan sebagai isu besar dan apa yang mereka usaha sembunyikan, putar-dan-belit dan selewengkan.

Apa yang media perdana putar dan belit demi untuk melonjakkan harga saham emosi di papan utama pemerintahan.

Jangan salah faham. Melayu yang muak dengan pasaran saham emosi ini bukanlah pengkhianat. Mereka Melayu yang waras. Mereka telah keluar dari kepompong yang sekian lama menyerkup minda dan kefahaman yang menyesatkan.

Percayalah, sekarang ini segala gimik dan modal niaga yang melembukan orang-orang Melayu sukar dijual pasaran terbuka. Orang pada lari terbirit-birit begitu melihat penjual membuka barang jualan bercap tipu muslihat agama-bangsa.


“Please wake up. You are certainly drowned in more urgent yet disturbing matters that need immediate solution. You are running out of time even to chew, digest let alone swallow those problems. And by your own doing, time is not on your side.

Please stop finding ways and means to belittle the rakyat, including the Malays with your predictable and hidden antics which surely would not solve the massive problems you have created since Indenpendence.

Slogans, no matter how mesmeric they are, would not do away the insurmountable problems you have created. Please come down to earth. For so long you have successfully messed up the country. Repent and get back on to the right path.”


Itulah nota diri yang kutulis dalam memori semalam. Setelah kubaca perihal lembu dan kelembuan kenapa-tiada-tindakan mereka yang sekian lama diperkuda.


Mahu ke mana kamu, wahai negaraku?



Monday, August 24, 2009

Menggeletek emosi

Menggeletek emosi


Berpesanlah seorang rakan, pandai-pandailah tuan mendidik emosi kerana sesungguhnya itulah kebaikan untuk yang empunya diri. Diberikannya contoh bagaimana manusia cerdik (matang agaknya ), sentiasa mahir mengelak bidas emosi. Katanya lagi, manusia cerdik biarpun batinnya menggelegak masih mampu memperagakan senyumannya di depan khalayak.

Memang benar. Khalayak yang hidupnya berfikir di luar otak mudah diperangkap emosi binal. Makanya isu-isu yang katanya sensitif tumbuh subur pabila diternak di ladang emosi. Inilah kepakaran pemimpin manusia... menguli-gentel emosi mentah yang binatang. Ya, memang ramai manusia yang hidupnya gian melabur emosi. Kalau boleh, mau ditelannya seluruh mikrofon di rostrum.

Wahai teman, apakah kelihatan senyuman dalam dua paragaf di atas?



Dinsman (Artikel 95, 24/8)
Sudah lahirkah suatu umat yang bersyukur?

Malam itu saya diajak seorang kawan, Qosim, untuk ikut bersama dengannya berjumpa kawan lamanya sambil makan malam di sebuah restoran terkenal di Kota Bharu. Saya ikut saja tanpa bertanya latar belakang siapakah kawannya itu, selain diberitahu dia seorang ketua jabatan kerajaan persekutuan di Kelantan.

Rupa-rupanya mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat. Bukan sahaja pernah bekerja dalam satu jabatan di luar Kelantan, malah kenal baik pula dengan isteri dan anak masing-masing. Kawannya itu pun turut membawa isteri dan seorang anak perempuannya bersama.

Maka rancaklah mereka berbual, kerana lama tak berjumpa. Bercakap mengenai kawan-kawan yang pernah bekerja dalam jabatan yang sama, yang rupa-rupanya dikenali juga oleh isterinya. Mungkin isterinya juga pernah bekerja di jabatan yang sama, tak tahulah. Dan berdasarkan perbualan mereka, tahulah saya yang mereka pernah bekerja di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan.

Dan akhirnya, seperti lazimnya, tentulah kawan saya ini akan bertanya – bagaimana kerja di sini, seronokkah atau tidak (berbanding dengan di negeri-negeri lain)? Ya, inilah yang menarik perhatian saya. Tanpa dijangka sama sekali. Kerana percakapan kami strictly mengenai hubungan persahabatan, tanpa sedikit pun menyentuh soal politik atau isu-isu semasa, hingga saya diam-diam membuat rumusan di dalam diri bahawa orang ini betul-betul profesional dan teknikal.

Memang pun dia seorang profesional yang bertugas dalam lapangan dan jabatan yang melibatkan hal-hal teknikal. Namun khidmat mereka adalah khidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum atau golongan. Makanya apabila dia menjawab soalan Qosim tadi, dan jawapannya begitu spontan dan selamba, saya amat tertarik dengan jawapannya.

“Seronok kerja di sini. Tak ada masalah. Senang banyak berbanding dengan kerja di tempat-tempat lain sebelum ni.”

Itu mukadimahnya, yang menarik perhatian saya. Dan tentulah saya seperti tak sabar-sabar menantikan penjelasannya, tetapi segan hendak bertanya. Namun dengan spontan dan selamba juga dia meneruskan jawapannya, tanpa menunjukkan apa-apa kecenderungan politik. Strictly professional nampaknya.

“Memanglah, kalau dari segi peruntukan tu memang ada masalah. Abang pun tahu, kerajaan pusat banyak menyekat peruntukan untuk negeri Kelantan. Tetapi itu tak bagi masalah kepada saya,” katanya, dengan membahasakan ‘abang’ kepada Qosim.

Dan dia terus bercerita, selamba dan spontan: “Orang-orang di sini faham. Mereka ini masyarakat yang bersyukur. Kalau ada projek yang tak dapat dibuat pun, mereka terima, dan mereka ajak pula kita berdoa. ‘Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah membukakan rezeki kita.’ Selalu mereka cakap begitu.”

Itu yang menarik perhatian saya – ungkapan bahawa “mereka ini masyarakat yang bersyukur”. Seingat saya inilah pertama kali saya mendengar orang menyifatkan atau melabelkan masyarakat Kelantan sebagai “masyarakat yang bersyukur”.

Ah, waktu itu saya pun melimpah-limpah rasa bersyukur di dalam diri. Biarlah apa pun perbalahan yang sedang berlaku di luar sana, khasnya di kawasan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dengan segala tuduhan-tuduhan liar terhadap Tok Guru Nik Aziz, mengatakan dia ekstrim dan menyelewengkan fahaman agama dan sebagainya, namun di sini sekarang saya sedang mendengar satu ungkapan yang sangat tinggi nilainya.

Ungkapan itu bukan diucapkan oleh orang politik atau orang berkepentingan politik, atau orang yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu, tetapi diucapkan oleh seorang pegawai tinggi kerajaan persekutuan, kepada seorang kawan lamanya, yang sekadar berceritakan hal dirinya dan suasana kerjanya.

“Dan yang paling pentingnya,” katanya lagi, bercerita kepada Qosim, “kerja di sini paling tak ada stress. Kalau di negeri lain, bila ada menteri nak datang, atau exco nak datang, kita kena pastikan orang ramai akan hadir. Kalau tak, kita kena marah. Di sini tak ada itu semua. Exco hadirkah, atau Menteri Besar hadirkah, macam itu saja. Tak ada tekanan langsung. Kita buat kerja kita macam biasa.”

Katanya lagi, “Campur tangan politik tak ada di sini. Exco nak melobi, nak minta itu ini, tak ada. Kita buat kerja kita betul-betul cara professional.”

Dan ini disokong pula oleh isterinya, yang menceritakan perihal perubahan pada diri suaminya. “Nampak dia kerja lebih releks dan enjoy di sini,” katanya.

Hanya kemudian baru saya tahu rupa-rupanya mereka suami isteri itu bukan orang Kelantan. Sekarang mereka tinggal di Kelantan ialah kerana kerja. Beberapa tahun lagi akan pencen. Maka mereka sedang berfikir samada hendak terus menetap di Kelantan atau balik ke Perak, atau ke Kedah, kampung asal mereka.

“Sesekali terfikir untuk terus menetap di sini,” kata si suami. “Menjadi sebahagian daripada masyarakat yang bersyukur.”

Ya, masyarakat yang bersyukur, atau umat yang bersyukur, adalah suatu keadaan masyarakat atau umat yang hampir kepada yang sempurna, atau yang ideal. Seperti sebuah Utopia. Sesuatu yang hanya diimpikan kewujudannya. Tetapi baru malam tadi saya mendengarnya diucapkan secara real oleh seorang pegawai tadbir kerajaan yang berpengalaman.

Tidakkah ini suatu berita yang sangat menggembirakan? Dan ini bukannya suatu yang terjadi dengan sendirinya, atau terjadi secara kebetulan. Ini adalah suatu pencapaian, hasil daripada kepimpinan dan suatu sistem pentadbiran yang lain, bukan sistem pentadbiran arus perdana yang banyak dikenali umum itu.

Memang ini bukan suatu pengiktirafan yang dibuat sebagai hasil suatu kajian terhadap masyarakat Kelantan baru dibawah kepimpinan ulamak Tok Guru Nik Aziz. Tetapi sekurang-kurangnya ini adalah suatu cetusan pemikiran atau tanggapan yang genuine, dan bukan yang direka-reka atau diada-adakan kerana tujuan tertentu.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

(Realiti masyarakat bersyukur di Kelantan)

Friday, August 21, 2009

Kata perangsang seorang pendidik

"Be the change you want to be in the world"

Begitulah kata-kata pendorongnya. Saya terkesan dengan ucapan penuh semangat ini. Dan kita tentunya teringat akan kisah seorang lelaki/insan yang begitu bernyala-nyala cita-citanya mahu merubah dunia ini. Di dalam kisah itu, dikatakan lelaki itu mempelajari tentang hakikat.. bahawa dia dilahirkan untuk merubah dunia ini. Seperti kita ketahui, usaha lelaki sejati yang mahu merubah dunia ini, tidak kesampaian.

Namun sebagai lelaki/insan sejati, dia pantang berputus asa. Khabarnya lelaki tersebut "membetulkan perjuangannya" dengan menguncupkan cita-citanya: Merubah negaranya. Cita-cita itupun tidak terdaya dilakukannya.

Kata sang empunya ceritera lagi, tatkala lelaki ini menanti saat-saat kematiannya barulah dia tersedar bahawa cita-citanya untuk merubah dunia, merubah negara dan merubah keluarganya ternyata gagal semuanya!

Tatkala itu, terlintaslah di benak lelaki yang sedang nazak itu, kenapakah tidak kufikir untuk membetulkan diriku terlebih dulu?

Terima kasih cikgu...kerana setia berpesan-pesan. Terima kasih.

Saya baru tersedar di mana saya harus bermula...

"Selamat Menyambut Ramadan". Sesungguhnya Ramadhan itu bukan bulan puasa.

Saturday, August 15, 2009

serai, daun limau purut

“Tom yam mesti ada daun limau purut dan serai,” demikianlah pandangan seorang teman PMBK, saudara Mat Ali tatkala kami duduk-duduk merakamkan aktiviti di sekitar Gua Madu, Gua Musang pada Jumaat 14 Ogos 2009 yang lalu. Mat Ali sedang bersemangat berfalsafah tentang pemimpin dan kepimpinan. “Kalau tom yam tak pakai limau purut dan serai, itu bukanlah tom yam namanya, itu dah jadi singei .” Hujah Mat Ali lagi.

Limau purut (citrus padeda) kata Kamus Dewan, edisi keempat 2005 ‘sejenis limau yang kasar kulitnya’ sementara serai pula (cymbopogon citratus) ‘sejenis tumbuhan rumput yang daunnya berbau harum’ adalah bahan-bahan mesti untuk masakan tom yam. Namun tak ada orang yang normal memakan serai dan daun limau purut tatkala menikmati hidangan tom yamnya. Kalau ada yang berbuat begitu, itu satu kelainan.

Memang benarlah kata-kata teman saya ini, serai dan daun limau purut tom yam yang tidak dimakan, TIDAK boleh dilupakan walaupun tom yamnya telah terhidang. Apakah para pemimpin kita termasuk dalam kategori mereka yang selalu melupakan serai-daun limau purut tom yam mereka?

Percayalah rakyat bukan lagi sekadar angka untuk peti-peti lima tahun sekali. Tidak juga rakyat itu serai dan daun limau perut, perisa tom yam. Rakyat sewajarnya menjadi roh, hati nurani dan hela nafas, tubuh yang namanya pemimpin.

Wallahuaklam.




Thursday, August 13, 2009

Apakah yang dicari?








Pada hari Rabu, 12 ogos 2009 kami dari pasukan Qiadah telah bertandang ke Chung Hwa High School, (Sekolah Menengah Persendirian Chung Hwa), Kok Lanas, Ketereh, Kota Baru Kelantan. Tujuannya untuk meninjau kenapakah orang-orang Chung Hwa (Tionghua) menghantar anak-anak mereka bersekolah di Kelantan. Apakah benar kerana Kelantan itu nyata jauh lebih selamat dan tenteram, maka anak-anak dihantar untuk belajar di sana?

Mengikut pengetuanya Cikgu Lim Men Peng yang berasal dari Kelang, lulusan pengajian Ijazah Pendidikan Jasmani (Physical Exercise, PE), universiti Taiwan, jika dibandingkan dengan suasana di luar, disiplin pelajar lebih baik dan persekitaran serta suasana pembelajaran juga lebih baik di Chung Hwa Kok Lanas ini. Kami ingin mendapatkan penjelasan lanjut:

“Kenapakah ramai yang menghantar anak-anak mereka ke sini?”

“Di Pantai Timur hanya ada sebuah sekolah persendirian seperti ini, jadi mereka yang berminat terpaksa datang ke sekolah ini”

“Macam mana biayai perjalanan sekolah ini? Kosnya tentu tinggi”

“Dengan mengutip derma orang ramai. Kerajaan Kelantan berikan peruntukan sebanyak dua puluh ribu setahun”

“Ada pelajar Melayu?”

“Ada dan pernah menjadi pelajar kedua terbaik (7A) dalam peperiksaan United Examination for Chinese School dalam tahun 2005’

“Menarik, boleh kita dapat perinciannya?”

Mohd Nabil dari Semambu, Kuantan.

Nabil di manakah anaknda sekarang? Ingin sekali rasanya membawa anaknda keliling Malaysia sambil menceritakan bagaimana rasanya menjadi seorang ‘Cina’? Dan bagaimana anaknda menjadi anak yang cemerlang dalam peperiksaan. Benarlah, bangsamu gagah bukan kerana tebalnya ‘Melayu’nya. Syabas Nabil, Syabas kerana mampu membuktikan bahawa rumah bangsa kita tidak perlu sarat ditumpangi hantu-hantu raya perkauman dan Agama.

Kita tinggi darjat ‘hambaNya’ kerana taqwa.


Monday, August 10, 2009

Menunggu Kata Dari Tuhan


Apakah peranan sebenar sebuah masjid itu?

Teater yang diangkat dari hadith “Menunggu Kata Dari Tuhan”, MKDT karya dan arahan Dinsman dengan Sabri Yunus (sebagai Kaab Malik), mengisahkan penderitaan seorang sahabat Kaab bin Malik yang dipulau oleh masyarakat Madinah kerana tercicir dalam Peperangan Tabuk. Sani Sudin, dari kumpulan Kopratasa ialah pemain muziknya, (biasanya biola). Untuk makluman MKDT dipentaskan buat pertama kalinya pada 26 Mach 2009 di the Stor, Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP, Kuala Lumpur untuk teman-teman dan pihak akhbar.

Berikut ialah senarai lengkap tarikh dan tempat pementasan MKDT:

i) 26 Mac 2009 di Stor DBP untuk kawan-kawan dan pihak akhbar (50 oarng penonton)

ii) 30 Mac 2009 di Majlis Santapan Diraja, Kota Darul Naim, Kota Bharu

iii) 31 Mac 2009 di DBP, Kota Bharu, Kelantan

iv) 29 April 2009 sehingga 3 Mei 2009 ( selama lima malam 29 April dan 30 April, 1 Mei sehingga 3 Mei 2009) di Muzium Shah Alam

v) 16 Mei 2009 di Markas Tarbiah Taman Melewar, Gombak

vi)30 Mei 2009 di Masjid Batu, Permatang Pauh,

vii) 11 Julai 2009 di Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka

viii) 19 Julai 2009 di Kolej Universiti Insaniah Alor Setar

ix) 26 Julai 2009 di Tanjung Karang

x) 27 Julai 2009 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu,

xi) 31 Julai 2009 Dewan Intim Ipoh, Perak

xii) 7 Ogos 2009 di dewan Hamzah Kelang, Selangor

xiii) 8 Ogos 2009 di Laman Budaya, Shah Alam, Selangor (kira-kira 100 orang penonton)

Ini bermakna sehingga ini sebanyak 17 (tujuh belas) pementasan telah diadakan. Kecuali untuk pementasan di Masjid Batu, Permatang Pauh, Kolej INSANIAH, Alor Setar dan Taman Tamadun Islam (yang menghimpunkan kira-kira seribu lima ratus orang penonton untuk setiap persembahan), secara purata kehadiran penonton untuk setiap sesi dianggarkan kira-kira lima ratus orang.

Ini bermakna sehingga ini, 10 Ogos 2009 kira-kira 11,500 ( 500 x 14 + 4,500) orang penonton telah menyaksikan MKDT. Sesungguhnya ini sesuatu yang menarik untuk sebuah usaha sederhana dalam memartabatkan bentuk budaya yang kita idam-dambakan.

Apakah impak teater religius seperti ini kepada para penonton? Ya, ada sesuatu yang menarik tentang kunjungan penoton ini. Khabarnya terdapat dalam kalangan penonton yang menyaksikan persembahan MKDT di pelbagai lokasi dan menimba pelbagai kesan pula darinya. Katanya lagi, tidak ada pentas yang dapat menghidangkan kesan yang paling mendalam sepertimana yang disuguh di dalam masjid.

Apakah masjid itu hanya sekadar untuk sembahyang-sembahyang fardhu dan Jumaat saja? Apakah tidak ada sejarah tentang peranan masjid pada zaman kegemilangan Islam?

Sekiranya saudara ingin menikmati kelazatan mendengar hadith dalam format baru ini, silalah hadir ke Masjid Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor pada 18 Ogos 2009 untuk berjemaah maghrib-isyak sambil menonton MKDT. Insyallah sesi MKDT kali ini akan menampilkan Sasterawan Negara, A. Samad Said insyallah akan mendeklamasikan sajak. Sementara sasterawan Azizi Hj. Abdullah juga turut membicarakan MKDT.

Tidakkah tuan terdetik, untuk ikut bersama?

Wednesday, August 5, 2009

1 Ogos yang bermakna IV




Azizi Abdullah menghantar sms berikut kepada saya pada 4 Ogos 2009, “Ini sms dari Dato xxxx (nama disebut) veteran umno Sg. Patani, mertua seorang menteri (nama disebut) bila dia baca blog saya. dDARI DMONSTRASI MUTAKHIR INI JLASLAH MLAYU SNDRI YNG MNENTANG ISA, BUKAN CINA ATAU INDIA. SAMA DGN PRISTIWA MNDURHAKAI RAJA DI PERAK DULU. STINGGI TAHNIAH DI ATAS KBODOHAN DAN SNGGUP DICUCUK HIDUNG. NSIB BAIK LAIN2 NGO MLAYU TIDAK SRTA. KALAU TIDAK PRCUMA PECAH KEPALA SESAMA SENDIRI. KALAU DULU ADA 13 MEI, KINI UJUD PULA 1 OGOS. BUMI VS BUMI. BETAPA DUNGUNYA KITA. STINGGI PNGHRGAAN KPD POLIS N KRAJAAN KRNA CEPAT BRTINDAK. KPD PEMIMPIN2 PMBNGKNG MLAYU N PNGIKUT BRMUHASABAHLH SBLM BRTNDK. JGN IKUT SI LUNCAI TRJUN DGN LABU2NYA. LTAKKNLH OTAK DKPALA BUKAN DLUTUT”


Ah, penat juga menyalin semula sms yang ditulis dengan huruf-huruf besar dan ejaan yang cuba memanfaatkan bahasa sms. (kalau tak salah, huruf-huruf besar menunjukkan bahawa si penulis menjerkah semasa menyampaikan mesej).

Saya tidak ingin mengulas mesej di atas. Apa yang saya harapkan ialah mesej ini menjadi rekod nyata pandangan seorang veteran UMNO yang hidup dan matinya ialah kerana UMNO. Sehingga ke saat ini saya masih belum mahu percaya bahawa beginilah pola pemikiran orang-orang UMNO. Dinsman berulang-ulang kali menyatakan kepada saya bahawa begitulah orang-orang Melayu UMNO berfikir. Oleh sebab itu, fikiran lain yang tidak sealiran atau bertentangan dikira salah@meyimpang dari pemikiran orang-orang Melayu yang sebenar! MasyAllah! SubhanAllah...Minta ampun.

Katanya tulisan Noor Azam di dalam Utusan Malaysia yang juga katanya sangat perkauman dan wajar diambil tindakan, ikut membodohkan orang-orang Melayu kerana rela menjadi alat dan takutkan orang-orang bukan Melayu. Saya tidak membaca artikel tersebut dan saya tidak juga tidak ingin memberikan perhatian. Apa yang saya baca ialah ulasan-ulasan dalam Malaysian Insider.


Itulah antara produk hiliran 1 Ogos 2009 yang sangat bermakna itu. Objektif asal GMI, Gerakan Mansuhkan Isa, yang mendesak supaya ISA dimansuhkan kerana kezalimannya, telah gerhana dengan isu-isu hiliran yang kental nada perkaumannya. Seperti biasa oleh sebab serangan media yang dikuasai UMNO itu begitu gencar, rakyat dipaksa, dibawa-bawa dan terbawa-bawa dengan isu pokok yang diselewengkan. Orang-orang Melayu dijadikan kambing hitam kerana katanya mahu dan rela menjadi alat pembangkang dan orang-orang bukan Melayu. Begitulah hebatnya Goebbels dan Michael The Villain berfikir.

Pada saya memang sungguh luar biasa cara orang-orang kelas dan jenis ini berpolitik dan bertindak. Perhatikan saya tidak masukkan ‘berfikir’ kerana pada pandangan saya orang-orang yang berfikir biarpun betapa naif@pandir sekalipun cara berfikirnya, tentu akan kenal bahawa tindakan di atas bukanlah hasil kerja orang-orang yang berfikir!

Katakanlah cara UMNO ini benar (entahlah dari sudut mana, Islam? Melayu?) bagaimanakah caranya kita membina sebuah negara yang aman, makmur, adil dan diredhai? Apakah kita hanya mahu terus berpura-pura sehingga ke akhir zaman dan pada waktu yang sama mengharapkan negara seperti itu muncul?

Betapa pandirnya kita. Betapa pandir wahai kamu-kamu, para pemimpin dan pengikut UMNO yang hidup dan matinya mestilah bersama UMNO. Kamu yang bermimpi mendirikan sebuah sebuah negara idaman di atas tapak yang namanya kepura-puraan!


Wallahuaklam.



Tuesday, August 4, 2009

1 Ogos yang bermakna III



1 Ogos 2009 bukanlah satu peristiwa, sebuah kejadian (satu happening kalau kita mahu), satu kebetulan yang beranak secara tiba-tiba. Bukan begitu. Ia bukanlah peristiwa yang terasing, tersendiri yang tidak ada kaitannya dengan apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat. Yakinlah bahawa rakyat yang tinggal dan membesar dalam rumah sejarah bangsa mampu melihat apa yang berlaku dan dilakukan oleh pemerintah, misalnya dalam konteks undang-undang yang diperalatkan. Rakyat melihat tragedi penderaan nyilu lagi memerihkan dengan cambuk yang namanya ISA. Lihatlah rakaman di dinding-dinding rumah sejarah bangsa oleh rakyat terbilangnya:

Kassim Ahmad dalam “Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam” (ZI Publications Sdn. Bhd, 2008) merakam seperti berikut:

“Pada pagi nahas itu, 3hb November, 1976, bermula dari ketukan 2.30 pagi di rumah sahabat saya, A. Halim Ali, saya dan ramai lagi tokoh politik, termasuk daripada parti gabungan Kerajaan, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Seperti yang diketahui umum, undang-undang ini tidak memerlukan Kerajaan membawa mereka yang dituduh ke muka pengadilan. Tuduhan “merbahaya kepada keselamatan awam” – suatu tebaran jala yang luas – cukup untuk Kerajaan bertindak.” (hal. 168)

“Tentang Dr. Mahathir, saya teringat apabila saya melawat beliau di rumahnya waktu dia dalam buangan politik, ayat pertama yang keluar dari mulutnya ialah: “Kassim, saya tak fikir you komunis seperti yang mereka dakwa!” (hal. 169).

“Tetapi saya mestilah betul-betul pasti dengan maklumat perisik yang ada pada saya. Saya mesti bertanggungjawab. Saya tidak boleh menyalahgunakan kuasa ini. Inilah yang saya nyatakan kepada pemberita apabila saya ditanya tentang keperluan ISA. Berita ini disiarkan dengan besar dan mendapat reaksi yang negatif daripada beberapa pihak…” (hal 171).

Said Zahari dalam “Meniti Lautan Gelora – Sebuah Memoir Politik” (Universiti Kebangsaan Malaysia dan Utusan Publications Sdn. Bhd, 2001) pula merakamkan kenangannya, begini:

“Beberapa soalan timbul mendadak di dalam hati. Apakah tangkapan pada pagi subuh bulan puasa itu langkah Lee Kuan Yew bagi mengelakkan aku daripada ‘terhanyut’ ke dalam Partai Rakyat dan agar tidak merumitkan urusan beliau, maka aku harus disimpan sahaja dalam cold store di Penjara Changi? Tidak ada siapa yang dapat menjawab pertanyaan hati kecilku itu melainkan Lee Kuan Yew sendiri tetapi Lee Kuan Yew tentu sekali tidak berminat untuk menjawabnya.” ( hal 198 – 199)

Telah banyak dan terlalu banyak peristiwa seperti di atas dirakamkan oleh mangsa-mangsa Akta ini. Hari ini pemangsa sibuk sekali mencari justifikasi bahawa suara rakyat 1 Ogos 2009 itu sangat menyusahkan rakyat, maka dalang yang bertanggungjawab wajar menerima hukuman yang setimpal. Perihal penutupan jalan-jalan utama yang menghubungi Ibu Kota, lama sebelum dan sesudah peristiwa 1 Ogos 2009 yang bermula jam 2.00 petang dan berakhir 5.00 petang itu, tidak jua mereka sentuh. Kelihatannya agenda paling penting dan utama sekarang ialah memujuk orang ramai supaya memusuhi peristiwa 1 Ogos 2009; pawai rakyat yang katanya bukanlah budaya kita orang-orang Malaysia itu. Benarkah semua ini? Kita tidak perlu bincang dengan terperinci isu yang cuba dialih-pindahkan ke tempat lain ini. Kebiasaan mengalihkan pandangan dengan harapan agar isu-isu sebenar cepat-cepat dapat digelapkan terus-terusan diamalkan. Bayangkan kematian Teoh yang tragis tatkala mendiang di bawah jagaan MACC mahu ditenggelamkan dengan upacara membakar lilin oleh YB Nizar! Bagaimanakah manusia waras dapat menelan segala tipu daya, putar belit berulang-ulang yang sengaja dicari-cari, direkacipta untuk dibesar-besarkan? Bagaimana mungkin semua ini terus menjadi amalan? Tatkala tahi merata-rata, berserakan di seluruh ruang rumah, ada penghuni suci yang begitu sibuk bertanya dan menyiasat siapakah yang diam-diam terkentut? Waraskah perbuatan seperti itu?

Seperti yang dinyatakan di atas, resah gelisah yang membawa kepada perhimpunan aman dari tiga lokasi di ibu kota itu terlalu banyak. Sekadar contoh, resah dan amarah rakyat sangatlah bertumpuk-tumpuk:

Berapa ramaikah rakyat yang sangat sedih, kecewa dengan segala tragedi demokrasi rampasan kuasa di Perak?

Berapa ramaikah yang sedih dan tertipu dengan hasil siasatan, tindakan susulan ‘korek-korek’?

Berapa ramaikah rakyat yang sangat kecewa dengan peranan institusi awam yang diperalatkan?

Berapa ramaikah rakyat yang menyampah, marah dengan sikap mendua Kerajaan dalam pelbagai hal?

Berapa ramaikah yang meluat dengan sikap tidak demokratik Kerajaan terhadap kerajaan negeri yang dipilih rakyat?

Entah berapa panjangkah senarai ‘Berapa ramaikah’ lagi yang boleh kita deretkan…Berapa?

Percayalah semua ini tidak mampu dibereskan dengan segala ragam slogan, retorik, kempen, putar belit dan aksi silap mata media dan segala agen yang berkaitan dengannya. Percayalah bapa segala mahaguru media, segala Goebbels tidak mampu mengubat rasa kecewa dan amarah rakyat yang mendalam. Oleh sebab itu lakukan yang terbaik, lakukan yang mulia lagi benar selaras dengan adab manusia Melayu yang tinggi peradabannya.

Rakyat pastinya mendukung dan mendoakan kejayaan segala tindakan pembetulan yang bakal dilaksanakan kelak, apatah lagi jika usaha-usaha itu benar-benar ikhlas dilaksanakan oleh penguasa mulai sekarang ini. Ya, mulai sekarang sebelum segala-galanya terlambat.

Percayalah peristiwa memprotes segala amalan ‘suatu tebaran jala yang luas’ pada 1 Ogos 2009 yang lalu adalah petunjuk, aba-aba dan mesej jelas buat para penguasa: Baca dan fahamilah jeritan batin rakyat jelata. Rakyat sentiasa rindu dan dambakan keadilan.

Wallahuaklam.

Monday, August 3, 2009

1 (satu) Ogos yang menarik II


1.0 Senarai soalan yang kita temui.

Ramai juga yang telah persoalkan:

Kenapa sampai turun ke jalan raya? Kenapakah sampai beria-ia memprotes? Kenapa tidak patuh dan akur bahawa akta itu sedang dikaji? Kenapa sampai merugikan negara? Kenapa sampai menyusahkan para peniaga kecil? Kenapa memarahi polis yang hanya menjalankan tugas mereka? Kenapa..kenapa..kenapa..???

Ada lagi yang lebih menarik.

Kenapa begitu ramai Melayu yang turun ke jalan raya? Kenapa orang-orang Melayu mahu menjadi kuda tunggangan orang-orang lain?

Mutakhir ini ada yang menyebut bahawa akta itu ibarat Taming Sari!! Haha..haha.. betapa lucu dan pikunnya manusia-manusia ini.

Kalaulah arwah Ibrahim Libya berada bersama-sama kita pada hari itu sambil melihat bagaimana alat yang bernama Taming Sari itu mengamuk…Almarhum tentu sedar bahawa perjuangannya masih diteruskan dan berterusan.

Dan yang ini bukan lagi kalau..

2.0 Harapan rakyat

Para isteri dan anak-anak berharap agar suami/bapa mereka yang dituduh menjadi pengancam keselamatan negara dan kini sedang merengkok di Kamunting dibawa ke muka pengadilan. Sekurang-kurang mereka mendapat peluang untuk pertahankan diri. Adakah ini permintaan yang terlalu mahal? Atau ada agenda lain yang lebih besar dan lebih hebat, agenda sebenar kenapa akta ini perlu dikekalkan?

Perhatikan dengan hati yang jernih soalan-soalan yang diajukan di atas. Perhatikan bagaimana kaedah ‘lencongan isu’ ini dikitar semula. Itulah yang para pemimpin kita terdaya, melencongkan isu apabila bermasalah untuk memberikan jawapan yang sebenarnya. Berapa lamakah taktik dan teknik ini akan berjaya? Sampai bilakah mahu melencong dan mengalih perhatian daripada isu yang sebenar setiap kali rakyat mempersoalkan kebenaran dan memohon ketelusan?


3.0 Pemerhatian lain

Tatkala mahu menunaikan sembahyang zohor di Masjid Bukit Aman, (semasa kami, Dinsman, Hasni dan saya sampai di Masjid Negara, ia masih dikunci) kami bertemu dengan anak-anak muda yang berseragam lengkap. Logo dan nama berbenang merah. Di pinggang tersisip, bukan Taming Sari, tetapi pistol. Sejam kemudian ada anak-anak muda Memali yang ditembak gas pemedih mata. Ada makcik yang memaki hamun kerana terlalu pedih terkena sisa-sisa gas pemedih mata. Anak-anak muda yang sekadar menjalankan tugas mereka telah menembak ke arah mak cik-cik. Betapa peliknya, kenapa sampai ada mak cik-cik yang mahu ikut bersama di dalam program seperti 1 Ogos ini?

Ada satu perkara yang berlegar-legar dalam kepala saya. Apakah yang disembah anak-anak muda ini setiap kali mereka mereka sujud? ‘Jalan lurus’ yang bagaimanakah yang mereka minta tatkala membaca Fatihah sebanyak empat kali tu? Ya, ya..mereka sekadar menjalankan tugas. Saudara jangan terlalu fanatik dan emosional dengan telatah seperti ini. Ini soal tugas rasmi dan ia tidak ada kena mengena dengan persoalan politik atau menjadi alat sesiapa pun. Saudara jangan sampai terperdaya dengan propaganda pemimpin pembangkang yang gilakan glamour. Jangan. Di luar sana ada ramai pemimpin pembangkang yang sentiasa mahu membuat onar. Ya, begitulah rasionalnya yang mesti difahami oleh para petugas awam yang menurut perintah. Mungkin begitu jugalah nikmatnya buat mereka yang sentiasa telus, lurus semasa menjalankan tugas. Lihatlah wajah-wajah mereka di dalam blog tatkala melepaskan tembakan gas dan memancut air berkimia. Wajah-wajah manusia yang tersangat gembira kerana beribadat sambil menjalankan tugas rasmi. Syukurlah begitu.

Saya dan Dinsman bertempiaran lari ke arah Bank Negara sementara Hasni pula terperangkap di bawah bulatan berhampiran Bank Rakyat. Tatkala menaiki kereta untuk pulang, saya meminta supaya Hasni cepat-cepat menukarkan bajunya. Bahan kimia yang dibawanya terlalu menusuk hidung.

“Saya kena seluruh badan, rambut dan kepala penuh bahan kimia, ini gatal-gatal seluruh badan.” Semasa PPSMI dulu Hasni juga teruk dibedil gas kerana kelonsongnya kebetulan jatuh berhampiran kakinya!

Di sekitar Bank Negara seorang anak muda muntah semahu-mahunya.

“Dah makan garam?” tanya saya sambil menghulurkan air botong yang separuh penuh. Dia angguk mungkin tanda terima kasih, lalu muntah-muntah lagi di perdu pokok.

Kenapakah anak muda ini bersama-sama rakan-rakannya yang lain pada 1 Ogos 2009 tersebut? Untuk bersuka ria? Nanti dulu, yakinlah bahawa pedihnya disapa gas pemedih mata itu bukan kepalang menderakan; jadi ia bukanlah suatu nikmat untuk disukariakan. Itulah sebenarnya tujuan gas pemedih mata itu: Supaya terlalu menyiksakan sehinggakan mereka yang mengalaminya serik dan tidak mahu turun-turun lagi! Ertinya janganlah tuan terlalu gembira kerana gas itu amat memeritkan mata dan menyesakkan nafas. Walaupun begitu, apakah ini bermakna mereka, anak-anak muda ini TIDAK akan turun lagi sekiranya mereka fikir bahawa mereka perlu turun lagi? Manusia-manusia ini akan serik dan tidak mahu turun-turun lagi?

Jiwa manusia yang rindukan keadilan tidak boleh luntur apatah lagi mati begitu saja. Inilah sejarah manusia sepanjang zaman. Bacalah sejarah jika saudara tidak percaya, dan kata orang yang memerhati sejarah tidak pernah berbohong..

4.0 Penutup

‘Nyanyian luncai ..’ di bawah ini terlintas sejak peristiwa 1 Ogos 2009 itu… harap-harap yang bercita-cita dan amat mengidam untuk dikebumikan bersama-sama Taming Sari, fikir-fikir dan renungilah dengan mendalam.

Nyanyian luncai abad ke 21: Biarkan, biarkan
(mengenang 1 Ogos 2009 di ibu kota)

jika bijaksana pemerintah itu ibarat menyemai benih unggul
pupuk yang ditabur ‘sandewara kental’ dilakon semula
pemimpin ghairahnya memintal-serak ketakutan dibuat-buat
namun kita masih jua para bisu-tuli-buta yang serba rela
biarkan, biarkan..

kitakah manusia lurus bendul itu?
apa benar kitalah gerombolan munafik tulen?
memilih menonton luncai memimpin negeri
atau apakah makna hidup ini terlalu mudah buat kita:
kitakah lembu-lembu hidup menggilai rumput?
biarkan?

jika hidup kita bertuan alat atas-bawah perut
kitalah pelengkap pecacai-bebal penggemuk syahwat
kitalah katak itu, matinya hanya agung diumpamakan
biarkan.

jika kehidupan ini maknanya mengacung Taming Sari
kita junjung-sembah, puja-puji segala tingkah bejat dirancang
kita tetap betah membisu sambil berjoget lambak,
biarkan, biarkan.

dan tatkala berkubur bersama Taming Sari
apa lagi yang dapat kita biarkan?

wangsa maju
3 Ogos 2009.

Saturday, August 1, 2009

1 (satu) Ogos yang menarik







Beginilah sms seorang peminat kolumn “Wacana Budaya” Dinsman. Saya diajak Dinsman untuk berkongsi pandangan peminatnya:


“Kami sbg warga kl rasa sangat kecewa, asyik2 demonstrasi. Jalan sesak dan bnyk urusan rakyat tergendala. Udahlah hari biasa sesak, ingat sabtu ahad boleh rileks sikit bawa keluarga jalan2. Ini tak, Silap sikit aje, demo, lepas tu salahkan polis. Pernah terfikir tak berapa sakit hati polis2 ni, cuti mereka dibekukan kerana karenah pemimpin2 pembangkang yang mengapi2kan rakyat. Rakyat jadi benci kat pemimpin kerajaan. Seolah2 kerajaan malaysia teruk sangat. Memangle ada yg tak betul, bn bukannya sempurna, tapi kurang2 dah perintah 50 tahun. Cuba fikir secara logik, mampu tak pakatan pembangkang-pas, dap, pkr memimpin selama 50 tahun dgn aman? Baru nak masuk 2 tahun, dah ada mcm2 masalah. Perkara demo dah melarat secara meluas. Hakikatnya saya menyokong penuh usaha pas membebaskan tahanan isa, tapi janganlah buat demo. Saya juga rasa simpati ada yang ditahan begitu lama, kebanyakannnya orang2 islam. Tapi org2 india, cina mcm teresa dan manoharan masuk kejap aje, kecoh 1 malaysia, akhirnya dah keluar. Tak pula DAP dan pemimpin cina kata ISA perkauman, hanya orang melayu ditahan lama! Bila sprm tahan mereka, dikatakan sprm perkauman. Kenapala pas tak nampak semua ini. Kepada pas janganlah ikut rentak pkr dan dap, jadi buatlah sptmana yg islam suruh. Ikutlah kesemuanya. Gunakan hikmah. Saya juga ingin negara Islam. Janganle kecik hati dgn pandangan saya. Kalau betul ambil, kalau tak, lupakan. Saya berniat baik, maafkan saya.”


PERSOALANNYA:

Katakanlah cikgu kita memberikan tulisan di atas sebagai satu tugasan mingguan. Soalannya mudah: Kita diminta mengulas pandangan peminat Dinsman ini. Berikan huraian kita perihal buah fikiran, hujah yang dikemukakannya. Sebagai penutup kita diminta untuk merumuskan tanggapan kenapa dan mengapakah agaknya peminat ini berfikir dan berhujah sedemikian rupa?

Sambil itu, sila nikmatilah cebisan rakaman episod 1 Ogos (maaf, bukan 1 Malaysia) 2009 yang tidak kurang menarik…