Tuesday, February 2, 2010
Semuanya tidak berlaku dalam tempoh sehari
Tentunya ramai yang tertanya-tanya tapi tertarik dengan gelagat Wall Street Journal edisi Asia memaparkan gandingan komentar sebelah-menyebelah Anwar dan Najib. Reaksi awal saya begini: Ini kerja ‘watak-watak nakal’ yang kerap kita temui dalam mana-mana organisasi. Kalau di pejabat, orang-orang begini mempunyai hobi sedikit ‘gila-gila’ yang boleh memudharatkan diri sendiri: Suka kenakan bos!
Sebenarnya tatkala melihat komentar tersebut dalam laman Malaysiakini, saya tidak teruja lagi, kecuali ayat awal yang berbunyi ‘Sekali lagi Malaysia menarik perhatian dunia, malangnya kerana sebab musabab yang salah” . Bagi saya senario yang telah kita lalui sejak akhir-akhir tahun 90an (1998) sehingga sekarang, sama saja.
Bagi Bakri Musa yang berpengkalan di Amerika, paparan di atas memberikan gambaran yang cukup jelas. Paparan telah ‘menyerlahkan beberapa perkara-perkara menonjol berhubung kedudukan journalism Malaysia dan kualiti kepemimpinan negara kita’.(“illuminated a couple of salient points, in particular, the state of Malaysian journalism and the quality of our leadership”). Kita tentu cukup sedar bahawa semua ini tidak berlaku dalam masa sehari. Dalam dunia persurat-khabaran kita, ada titik keloknya, the turning point yang penuh bersejarah yang tidak boleh kita lupakan. Saya tidak tahu entah kenapa tarikh ini tidak dipedulikan atau diperingati oleh orang-orang surat khabar kita? Ya, peristiwa Mogok Utusan Melayu kira-kira pada pertengahan tahun 1961.
Menurut Said Zahari dalam ‘Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik’ (Said Zahari, UKM & Utusan Publications & Distributors, 2001) “Tokoh UMNO terpenting yang telah beraksi sebagai ‘jeneral’ dalam ‘peperangan’ merebut kuasa di ibu pejabat Utusam Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada kira-kira pertengahan tahun 1961 itu ialah Ibrahim Fikri, tokoh UMNO dari Terengganu. Ibrahim Fikri datang mengisytiharkan perang di bilik pejabatku.”
Menurut Said Zahari lagi, “ Apa yang kami mahu hanyalah hak menentukan Utusan Melayu tetap hidup sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas, tidak dikuasai oleh mana-mana parti politik. Kami berpendirian bahawa Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air, bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti politik sahaja. Hanya dengan dasar yang bebas sahajalah, Utusan Melayu boleh mencerminkan
fikiran rakyat, membela nasib rakyat dan memperjuangkan kepentingan rakyat dengan jujur, ikhlas dan berani.
Tetapi Ibrahim Fikri yang mewakili beberapa kerat individu UMNO dan rapat dengan beberapa pemimpin kerajaan Tunku Abdul Rahman, mahu menjadikan Utusan Melayu sebaliknya..” (hal 81)
Jadi apakah kita terkejut dengan laporan media utama kita, ya laporan yang pelik-pelik, yang ‘membudakkecilkan pemikiran kita’ kerana ketidak-masuk-akalnya’ sepertimana yang disebut Musa Bakri? Semua ini, penjunaman kualiti-integriti ini tidak terjadi dalam tempoh sehari. Ya, bukan sehari.
Semua ini berlaku kerana kita. Kita yang membenarkan semuanya berlaku.
Labels:
budaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment