Tuesday, October 9, 2012

DASAR KERAJAAN TIDAK CUKUP KUKUH UNTUK HADAPI KRISIS MAKANAN



Kenyataan Media TERAS
5 hb Oktober 2012

DASAR KERAJAAN TIDAK CUKUP KUKUH UNTUK HADAPI KRISIS MAKANAN

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) mengingatkan kerajaan supaya melihat dengan kritikal isu krisis sekuriti makanan yang bakal dihadapi jika dasar pengeluaran dan pertanian Malaysia tidak disemak semula.

Ternyata bekalan dan harga makanan adalah faktor terpenting dalam menentukan kesejahteraan rakyat.

Jangkaan krisis makanan dunia akan berlaku adalah berdasarkan perubahan cuaca yang telah menjejaskan hasil jagung dan kacang soya terutamanya di AS.

Kini indeks harga makanan dunia telah meningkat pada kadar yang mengejutkan iaitu 6% pada bulan Julai 2012 (berbanding Jun) manakala makanan bijirin meningkat pada purata 17% mengikut laporan Badan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) .

Kemungkinan besar kenaikan harga pada hujung tahun ini atau pada 2013 akan mengulangi insiden rusuhan dan demonstrasi makanan yang berlaku pada 2008 di 30 negara .

Berdasarkan laporan dunia mengenai cuaca yang tidak menentu malah ujud kemarau terik seperti di AS dan banjir di China, Filipina dan Pakistan  yang menjejaskan hasil pertanian, bekalan tidak mencukupi dan kenaikan harga makanan tidak dapat dielak.

Belanjawan 2013 hanya memberi dua insentif iaitu penambahan kawasan penanaman padi dan skim insurans untuk petani. Dikatakan belanjawan 2013 memperuntukkan RM 140 juta akan mengujudkan 4 jelapang padi baru  seluas 19, 000 hektar yang dijangka akan menghasilkan 104,000 ton padi.

Bagaimanapun dasar pengeluaran makanan serta insentif untuk petani meningkatkan pengeluaran makanan tidak diberi perhatian.  Faktor kos input pertanian yang semakin tinggi seperti benih, baja, traktor, racun, upah, kadar sewa atau pajakan tanah tidak diambil perhatian.

Walaupun dalam Belanjawan 2013 mengumumkan akan dibuka kawasan baru untuk penanaman padi, akan tetapi ia harus melihat soal kos yang berdaya maju kerana mengujudkan sebuah kawasan padi baru memerlukan peruntukan untuk infrastruktur pengairan yang sangat tinggi.

Secara bandingan Malaysia adalah negara yang mempunyai kos input pengeluaran padi yang tertinggi di rantau ini.  Bukan sahaja kadar keluarannya per hektar lebih rendah daripada Vietnam,  ia juga tidak menghasilkan kualiti beras yang tinggi.

Sepatutnya kerajaan mengambil perhatian serius bagaimana Negara jiran boleh meningkatkan hasil pertanian dengan kos yang rendah.  Kos pengeluaran pertanian di Negara jiran maseh rendah berbanding Malaysia.

Belanjawan 2013 tidak memperuntukkan peruntukan khas yang boleh memberi keringanan kepada petani terutama petani kecil yang mengeluarkan makanan asas Negara.

Malaysia seharusnya mengambilkira persetujuan Negara anggota ASEAN dalam kerangka ASEAN Intergrated Foood Security Framework dan Stratagic Plan of Action Food Security yang dipersetujui untuk dilaksanakan antara 2009 sehingga 2013.


Mohd Azmi AbduI Hamid
Presiden TERAS



No comments: