Tuesday, May 7, 2013

PRU 13 BAGAIMANA BERMUHASABAH YANG SEJUJURNYA



PRU 13 BAGAIMANA BERMUHASABAH YANG SEJUJURNYA

PRU 13 BAGAIMANA BERMUHASABAH YANG SEJUJURNYA
Cikgu Azmi Abdul Hamid


Keputusan pilihan raya sangat berat bagi kebanyakan rakyat terutama aktivis politik. Bagi setengah aktivis politik ada kalanya jauh lebih berat dari bertempur  bersenjata. Mungkin kerana demikian besarnya harapan yang diletakkan kepada kemenangan untuk mendapat mandat memerintah.

Kami tidak bercadang membuat analisa mengenai keputusan pilihanraya. Kerana mereka yang memberi tumpuan secara terperinci melihat angka dan fakta mungkin lebih tepat membuat tafsiran. Komentar yang diberi biasanya agak banyak. Soalnya sejauhmana ia harus memberi kesan kepada integriti pilihanraya, terserah kepada rakyat untuk menilainya.

Bila menyambut kemenangan,  suasana meriah pasti tergambar pada semua penyokong apatah lagi calon. Dokongan menunjukkan rakyat menerima calon dan parti. Semacam mengangkat emosi semua, betapa suara majoriti pengundi berpihak kepada yang isytihar menang dalam pilihanraya.

Berkempen, malah sebelum hari penamaan calon lagi, jentera telah bergerak, tenaga dicurahkan, dana dikumpul, dan segala strategi kempen dikerah berhari-hari.  Sememangnya azam untuk menang meluap-luap.

Maka sebab itu kekalahan sering menjadi satu pukulan berat. Sama ada di peringkat individu sebagai calon, jentera petugas atau penyokong tegar mahupun di peringkat kepimpinan parti.

Apatah lagi hentakan kekalahan berlaku di kala harapan menang sangat jelas, namun tiba-tiba berakhir dengan kekalahan di luar dugaan. Ia satu pukulan . Tadinya jelas tanda-tanda kemenangan amat nyata, akan tetapi kejutan dikalahkan isytihar.  Terasa sangat mendukacitakan.

Bila kalah yang terlintas paling awal bagi seorang aktivis politik yang berkepentingan diri ialah masa depannya yang gelap dan kerugian sumber kewangan yang banyak.  Belum tahu bagaimana ia harus menyusun nasibnya.  Jika parti itu besar dan kukuh, barangkali ada harapan untuk ia ditempatkan,  agar keperluan hidupnya berkesinambungan.  Karier politiknya mungkin boleh disambung lagi. Namun bagi sebuah parti yang kurang sumber, agak berat juga merenungkan nasibnya.

Akan tetapi bagi seorang aktivis politik berjiwa murni, berjuang benar atas niat dan azam menegakkan Islam, maka kekalahan itu adalah satu peluang untuk bermuhasabah. Malah menjadi sumber melonjakkan semangatnya, agar menjadi lebih tegar.  Jika menang, itu anugerah Allah S.W.T yang membawa amanah berat, jika kalah, itu satu ujian untuk bersabar dan introspeksi diri.

Sememangnya kesan inilah yang sepatutnya terlintas. Jiwa tetap tenang, minda terus hening, dan semangat tidak pudar. Jika pemikiran ini tidak timbul ketika menerima khabar kekalahan maka pertama-tama yang harus dilakukan ialah segera  menghisab diri.  Apa niat asal yang menyebabkan kita terjun ke medan juang politik ini? Untuk apakah ia bergabung bagi mencapai jawatan seorang wakil rakyat terpilih dalam pilihanraya?

Setelah menerima keputusan kekalahan,  selalunya ajakan bermuhasabah akan sering diluahkan. Ada yang mengeluarkan kata-kata hikmah terhadap keputusan kekalahan yang diterima. Ada juga yang meluahkan kritikan akibat kelemahan dan kealpaan yang berlaku. Ada yang melampiaskan kemarahan.

Namun nasihat bermuhasabah sangat menenangkan bagi seorang pejuang Islam.  Kerana itulah yang sepatutnya segera dilakukan. Ingatan untuk bermuhasabah bukan sahaja datang dari Allah S.W.T malah juga diterjemahkan oleh perjuangan Rasulullah s.a.w .

Akan tetapi muhasabah itu selalunya berakhir dengan kata-kata yang berlalu bagaikan angin. Ramai yang  didapati tidak bersungguh  memberi perhatian dalam bermuhasabah. Tidak bersungguh menjadikannya satu i'tibar. Setelah saling memberi pendapat , tidak banyak yang mengambil langkah seterusnya menyusun dan melanjutkan perjuangan berbekal muhasabah yang dilakukan.

Maka catatan kata-kata hanya tinggal tulisan untuk diminitkan. Apakah ada agenda dan pelan gerakerja yang sepatutnya disusun bermula sekarang , jarang yang melakukannya.
Kami dengan itu ingin berkongsi untuk menanamkan nilai kesungguhan bermuhasabah. Sesungguhnya para pemimpin perlu bersungguh untuk melakukannya dengan hati terbuka. Analisis yang bernas harus dikutip dengan serius , teguran yang pedas diterima dengan lapang dada.

Muhasabah niat. Ini adalah muhasabah yang pertama. Harus jujur menilik nawaitu ketika bermula berkecimpung dalam perjuangan siasah . Setiap calon dan petugas harus jernih menyingkap hati nurani . Antara redha Allah S.W.T. atau habuan gelaran , pangkat dan harta. Terlintas rasa irihati atau menyimpan dendam kerana tidak terpilih adalah antara penyakit yang harus segera dirawat. Namun tidak harus muhasabah isu ini mengguris hati petugas . Setidaknya mengingatkan perjuangan yang dibekali niat yang ikhlas dan mera'ikan setiap sumbangan harus disebutkan dengan jelas dan penuh hikmah.

Muhasabah membaca analisa dari pelbagai pihak . Sejurus mendapat keputusan kejutan pasti berlaku. Sehari-dua  pentafsiran dan analisa mula kedengaran secara lisan dan dalam ditulisan. Seharusnya semua dikumpulkan . Sama ada analisa peringkat nasional mahupun diperingkat Parlimen dan Dun. Kumpulkan butir analisa berasaskan angka dan pentafsiran umum. Ambil juga komen-komen ringkas yang bernas. Semua harus dirumuskan dalam satu dokumen untuk dibentang dalam sessi postmortem.

Muhasabah jentera adalah berikutnya.  Jentera  pasukan petugas apakah siap sedia berfungsi. Apakah segala pertimbangan sebuah jentera pilihanraya telah lengkap untuk melancarkan gerakerja pecutan terakhir dalam berkempen. Kepatuhan kepada ketua sering juga menjadi persoalan. Adakah berlaku "Line of command" ( pengarahan ) yang bercelaru. Ujudkah ketidakpuasan hati dikalangan petugas. Apakah setiap sayap dalam jentera kempen berfungsi sebagaimana sepatutnya. Bagaimana sistem pengedaran maklumat dan keberkesanan berkomunikasi berjalan. Kepantasan dalam bertindak terhadap senario yang berubah. Memantau dan bertindak ke atas strategi lawan. Kemudahan dan kelancaran logistik. Tahap mengumpul dan mengurus kewangan kempen. Sejauhmana jentera siap berhadapan dengan gerakerja disaat akhir kempen dan pada hari mengundi.

Muhasabah strategi menyampaikan mesej . Andaian bahawa masyarakat mendapat maklumat sering menjadi isu dalam kempen, Akan tetapi sejauhmana maklumat yang disampaikan tepat kepada mereka yang boleh menukarkan sokongan kepada calon. Sejauhmana maklumat itu cukup mempengaruhi dan boleh kekal sehingga hari mengundi.Apakah strategi media yang digunakan dan daya capainya kepada masyarakat sasaran. Sejauhmana pendekatan digunakan untuk mendekati pemimpin masyarakat sama ada pemimpin rasmi atau tidak rasmi yang boleh mempengaruhi pengundi untuk memberi sokongan.

Muhasabah kekuatan lawan tidak kurang penting. Tipu muslihat yang diguna lawan harus diukur. Adakah pemantauan dan risikan dilakukan. Apakah strategi mendekati penyokong tegar dilakukan. Apa isu lokal, negeri dan nasional yang dibangkitkan oleh lawan. Bagaimana lawan mempengaruhi rakyat, di kawasan mana dan kumpulan apa. Adakah strategi kotor digunakan dan apa tindakan yang diambil oleh jentera petugas untuk mengatasi taktik tersebut.

Muhasabah kekuatan calon.  Ini adalah muhasabah penting. Sejauhmana faktor calon memberi kesan. Setakat mana calon dan maklumat mengenai calon tersebar luas. Apa kelebihan calon berbanding lawan. Bagaimana sambutan masyarakat terhadap calon. Setakat mana hubungan calon dengan jentera kempen . Sejauh mana calon dapat masuk ke kawasan penyokong tegar dikubu lawan.

Setelah muhasabah ini dilakukan , maka lanjutan seterusnya menjadi sangat penting. Suatu pelan gerakerja yang khusus, terperinci, berjangka pendek dan panjang harus dilakarkan. Tenaga penggerak perlu segera ditubuhkan . Pemantau perlu diujudkan. Usaha berterusan , penilaian berkala dan strategi yang tepat perlu direkabentuk.

Jika ini dilaksanakan maka berbekal kembali kepada niat yang tulus dan ikhlas Lillah, minda yang jernih, matlamat yang jelas dan kepimpinan yang bijaksana, petugas yang berdisiplin , akan menjadi prasyarat untuk pejuang siasah Islam mendapat kemenangan jaminan Allah S.W.T


Firman Allah dalam ayat 65 surah al-Anfal:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّ‌ضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُ‌ونَ صَابِرُ‌ونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ

Wallahualam.
7hb April 2013
Merbok , Kedah





No comments: