Sejadah Kuasa
Kuasa, biar
betapa kecil sekali pun ia, sentiasa saja lazat menyedapkan. Sebagai tempat bersujud berzikir ia adalah
pemberi nikmat yang tidak ada taranya di alam ini; semakin kyusuk sujudnya, semakin terasa lazat nikmatnya. Oleh itu sungguh maha rugilah mereka yang bermalas-malasan
sehingga tidak sudi untuk bersenang-senang dengan membawa dahinya ke sejadah
kuasa. Sesungguhnya, sejadah kuasa adalah
penyedap yang tak tergambarkan kesyahduannya apatah buat sang pewirid yang
pertama kali sujud di atasnya.
Kuasa itu dagangan
yang sedap lagi menyedapkan dan oleh kerana itu tidaklah memeranjatkan jika
kuasa kadang kala menjelma dan melembaga sehingga menjadi berhantu ia. Dan seperti hantu raya yang tidak mahu
meninggalkan tuannya ― walaupun tuannya sedang tercungap-cungap diintai mati yang
pasti ― sang peyandang kuasa juga tidak mahu berpisah dengan sejadah kuasa yang
pernah dipinjamkan kepadanya. Penyandang dan kuasanya, mahunya berpisah tidak. Mereka ingin sehidup dan semati buat
selama-lamanya.
Nikmat sujud
di sejadah kuasa itu kadang kala mampu mengalahkan kuasa cinta yang (katanya) buta. Kita melihat bagaimana sang Raja meninggalkan
takhta kerana ingin bersama kekasih yang digilainya separuh nyawa itu. Dan jangan terkejut jika ‘nikmat’ sujud di
atas sejadah kuasa itu mampu memburaikan ikatan serban yang sekian lama
membelit dan melingkari kepala. Bukan
sesuatu yang aneh jika sejadah kuasa yang membawa bersamanya habuan, nikmat dan
kemanisan dunia kerap juga melondehkan wajah sebenar para agamawan.
Makanya segala
cakap-cakap tentang iman, akhlak, kesabaran, ujian, dugaan, hukum hakam, arahan
dan suruhan agama yang muluk-muluk itu tidak boleh sama sekali dijadikan kayu
ukur kehebatan seseorang agamawan sehinggalah ia diuji oleh nikmat bersujud di
atas sejadah kuasa. Dan jangan lupa bahawa
yang diuji itu tidak semestinya bersabit dan mengenai hanya batang tubuh sang
agamawan itu semata-mata. Segala yang
ada di sekelilingnya boleh saja menjadi sasaran dugaan dan bahan ujian. Maknanya seseorang agamawan tersohor itu
boleh diuji via nafsu serakah menantunya, anak, bini dan cucu cicit tersayangnya. Dan percayalah bukan semua agamawan boleh
lulus ujian yang melibatkan anak menantunya.
Satu bentuk ujian via anak,
menantu atau bini-bini kesayangan kadang kala jauh lebih payah dikalahkan
jika dibandingkan dengan segala macam ujian sengit dalam beribu-ribu pertempuran
politik.
Kita ulangi, salah
satu ujian besar untuk orang-orang kerap bersurahkan hal-hal agama ialah pabila
dia dihulurkan sekeping sejadah kuasa.
Jika perangai sebenar si tukang syarah ini tidak begitu jelas semasa
sebelum dia berkuasa, silalah amati tingkah lakunya setelah dan semasa dia
diberikan sejadahnya itu. Kalau kita tidak
salah ingat, satu ketika dulu seorang Mahathir pernah bermadah bahawa dalam batang
tubuh parti bernafaskan Islam belum kelihatan sebarang perebutan kuasa, keadaan
seperti itu bukanlah tidak bersebab. Parti
Islam itu belum lagi diberikan sebarang sejadah kuasa. Lihatlah apakah itu perangainya (tidak
berebut-rebut sejadah itu ) akan tetap kekal setelah dan apabila ia diberikan sejadahnya? Walaupun kata-kata seorang Mahathir itu lebih
banyak putar dan belitnya, loyar dan buruk serta sakat perli politiknya, tapi
statement seperti di atas, memang ada relevannya.
Wanita dan sejadah kuasa
Wanita itu dari
jenis gender yang telah melahirkan ‘kita-kita semua’ ke bumi ini dan tanpa wanita, kita semua tak ada di sini. Dan ganti nama ‘ibu’ tak akan wujud dalam
kamus manusia jika di alam ini tidak ada spesies wanita. Bayangkan sebuah bumi
yang tak ada adik, menantu, anak, guru, doktor, bidan dll yang dari spesies perempuan.
Alangkah muramnya alam bumi ini tanpa
wanita.
Kira-kira
sebulan sekali wanita yang sihat ‘jatuh uzur’ dan dia diberikan kebenaran untuk
cuti beribadah. Sementara itu, katanya
terdapat dalam pemikiran sesetengah spesies lelaki termasuk yang tinggi maqam
agamanya yang katanya yakin dan percaya bahawa wanita itu secara semula jadi@alamiah
sememangnya lemah daya inteleknya. Khabarnya
wanita itu dikatakan lemah oleh kerana gendernya dan oleh hal yang demikian itu
tidaklah layak ia menjadi pemimpin tertinggi? Apakah ini juga bermakna bahawa orang-orang
ini yakin dan percaya bahawa isteri, isteri-isteri, anak-anak atau cucu cicit mereka
yang semuanya perempuan itu, secara semula jadi adalah spesies yang lemah? Apakah tepat pandangan bahawa sesungguhnya
kaum Hawa itu secara relatif jauh lebih rendah kebolehannya dan daya inteleknya
kerana dia bukanlah dari spesies lelaki?
Apakah kuasa
dan wanita itu tidak ada kaitannya sama sekali dengan segala macam nikmat dan kesedapan
nikmat bersujud di atas sejadah kuasa itu?
Atau apakah tidak mungkin (oleh kerana saking sedapnya bersujud di
sejadah kuasa itu), maka hanya lelaki saja yang berhak diberikan kuasa
tertinggi, misalnya CEO sebuah negeri yang kaya? Agaknya itukah sebab musababnya kenapa kuasa
yang sedia ada dan segala limpahan manfaatnya yang mengalir dan diraup selama
ini membuat seseorang wanita itu tidak layak?
Alahai sejadah
dan segala bentuk sujud yang dipamerkan.
Apakah ia tidak berupaya mengelirukan ‘kita-kita’ yang tebal tembok taqlid
butanya?
Wallahuklam.
No comments:
Post a Comment