http://anwaribrahimblog.com/2014/08/05/kenyataan-media-pakatan-tidak-akan-berkompromi-pada-prinsip-prinsip-dasar/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kenyataan-media-pakatan-tidak-akan-berkompromi-pada-prinsip-prinsip-dasar
KENYATAAN MEDIA
5 OGOS 2014
5 OGOS 2014
Pakatan tidak akan berkompromi pada prinsip-prinsip dasar
Banyak telah diperkatakan semenjak beberapa minggu lalu akan kemungkinan
pecahnya Pakatan Rakyat akibat pergeseran di antara PKR dan PAS berkenaan
dengan pilihan calon Menteri Besar Selangor.
Ingin saya menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berpecah semata-mata
kerana pilihan calon Menteri Besar. Sebaliknya, PR boleh dan akan hanya
berpecah sekiranya ada parti komponennya yang sanggup berkompromi dalam
prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban di
dalam pengurusan kerajaan.
Atas prinsip-prinsip inilah Pakatan Rakyat dizahirkan sebagai sebuah
kerajaan alternatif untuk rakyat. Prinsip-prinsip ini juga telah dicabuli oleh
kerajaan BN ketika ianya berkuasa pada lima dekad yang lalu.
Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 telah menunjukkan dengan jelas bahawa
perjuangan PR yang berpaksikan di atas prinsip-prinsip ini telah diterima baik
oleh rakyat yang rata-ratanya mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih,
berprinsip dan bersungguh-sungguh dalam membela kepentingan rakyat.
Dalam usaha murni ini, gabungan Pakatan bersama dengan semua yang menyokong
usaha ini telah bersama-sama menggembleng tenaga pada PRU ke-13 dalam
menghadapi cabaran amat hebat untuk terus memberikan harapan kepada rakyat
Malaysia. Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita telah memenangi jiwa dan minda
majoriti pengundi Malaysia walaupun kita dihalang daripada membentuk sebuah
kerajaan.
Perkara penting yang perlu difahami adalah sebuah pakatan pembangkang yang
kuat telah berjaya menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan
mengekang sebahagian daripada keborosan mereka. Bagaimanapun, perjuangan untuk
sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dan telus masih perlu diteruskan.
Kekuatan ini tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian semata,
lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan perasaan curiga,
dendam dan irihati. Ianya perlu dibina atas iltizam dan kenyakinan, dan inilah
kekuatan yang telah mendorong rakan kongsi PR untuk berjuang bersama-sama pada
PRU 13 yang lalu.
Justeru, kita perlu menyatukan kekuatan ini untuk terus kekal bersama dan
terus menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan kita. Setiap parti di
dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas
rundingan bersama. Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini
bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar. Persefahaman akan hak
lantikan MB Selangor telahpun wujud di kalangan pimpinan PR, sepertimana PKR
juga telah bersetuju akan hak parti-parti lain dalam membuat keputusan yang
sama di negeri-negeri lain. Persefahaman ini wajib dipatuhi.
Kita yakin bahawa isu MB Selangor ini akan diselesaikan dengan baik sesuai
dengan semangat Pakatan Rakyat, samada diselesaikan melalui proses peralihan
yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihanraya. Namun begitu, tidak ada
sebarang keperluan untuk mengadakan pilihanraya kerana Barisan hanya ada 12
kerusi di kalangan 56 kerusi DUN dan PRU-13 hanya diadakan kira-kira 15 bulan
yang lalu.
Walau bagaimanapun, sekiranya pilihanraya terpaksa dilakukan, Pakatan telah
bersedia untuk menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh bahawa rakyat
Selangor akan sekali lagi menyokong kita.
Kita juga bimbang akan nada perkauman dan perpecahan yang disuarakan oleh
segelintir pimpinan kecil Pakatan yang jelasnya mencabuli nilai-nilai asas PR.
Kami berpendapat bahawa tindakan disiplin yang sewajarnya perlu diambil ke atas
golongan ini.
Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar perlu
dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambilkira kepentingan rakyat dan
dibuat untuk maslahah atau kepentingan rakyat. Samada kita hilang sokongan
akibat pendirian yang kita ambil, kita akan terus beristiqamah dan komited
dengan matlamat untuk membentuk Malaysia yang lebih adil, bebas korupsi dan
benar-benar demokratik.
Jaminan kita adalah bahawa kita tidak akan sesekali menyimpang daripada
nilai-nilai asas dan kita akan terus memastikan kepentingan rakyat tetap
didahulukan.
Kita yakin dan percaya bahawa peristiwa ini akan terus mematangkan dan
memperkasakan kita. Rakyat telah menaruh kepercayaan kepada kita dan kita wajib
memastikan kita wajar dipercayai dan kepercayaan rakyat jangan kita khianati.
Walau apapun yang bakal berlaku, Pakatan, bersandarkan tekad rakyat, akan
terus bertahan! Insya Allah!
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment