Saturday, May 30, 2009

Api dan hawar


Dia menyebut musuhnya sebagai tukang nyala api perkauman. Jika dibiarkan para penyala api ini bakal membakar seluruh negara tercinta ini.

Kalau itu belum mencukupi, musuhnya juga digambarkan seperti hawar yang memusnahkan segala-galanya. (Saya teringat akan sejarah tragedi the potato blight di Ireland satu ketika dulu).

Katanya lagi, perangai lama memang sukar dimurnikan.(old habits die hard)

Begitulah rupa dan bentuk telatahnya seorang manusia yang pernah kita (?) pilih untuk memimpin negara ini untuk sekian lamanya.

Dan bukan satu kebetulan pula musuhnya kali ini, entah untuk kali yang ke berapa adalah para pencinta bahasa; ya, para pejuang bahasa ibunda.


Alahai, manusia.

p.s:

Ada teman yang menempelak, “Apa manfaatnya saudara ambil peduli leterannya?”









Thursday, May 28, 2009

Takrif (satu)

takrif (satu)

matematika

matematika itu teka teki,
buah fikir congkak mantik
rumus liku-liku kebesaran
mata nurani kehidupan;
benarlah matematika itu
teropong minda
buat insan membidik;
segala kebesaran alam
ciptaanNya.

takrif (dua)

agenda

agenda itu
kitab cabul yang kalian rujuk
setiap kali terbuta firasat
dan terdampar sesat.
betapa anehnya
kalian tetap jua, kepingin kembali
menimbuk syahwat menimbun dosa

II)


butakah kalian hanyir darah rampok semalam?
dan hari ini kalian sudah kembali serakah
gencar menukar agenda
maka jadilah si jahat nakal jerit laung
“ tolong! tolong! serigala, si gila!!!”
aha....
seluruh kampung tidak gubris lagi
aha.. itu agenda tipu perdaya
aha.. telah lupus tarikhnya

komunis??
alahai pembesar gerombolan
akal si nakal besar nafsunya
mau digiringnya seluruh rakyat
kawanan kerbau milik gerombolan.
alahai... menteri...
tidak pernah-pernah, jua
mau belajar.


28 mei 2009




Sunday, May 24, 2009

Logik sebab-akibat Mat Rempit



Seorang teman berkata, kira-kira begini:

"In life everyone has that self-esteem which requires attention. It needs nourishment." begitulah teman saya yang saban hari bercakap Inggeris. "Saya sedikit risilah kalau nak berbahasa Melayu.. Jangan salah sangka. Saya juga Melayu!"

"Ya, betul. Lembu pun ada harga diri. Lembu marah kalau digodam setiap hari. Dan lembu juga ada batas-batas kesabarannya!"

"Bayangkan tiap-tiap hari kau dipaksa ke sekolah. Di sekolah tak ada satu pun yang menarik. Sudahlah matematik tu payah, diajar pula di dalam bahasa yang dia tak faham.."

"Apa yang saudara nak cerita ni?"

" Dia hanya ada motorsikal. Itulah satu-satunya cara dia nak buat Minah-Minah cun semua tengok. Dia memang hebat. Betul, dia dapat perhatian segera!!"

"Jadi kau ingat, Mat-Mat Rempit tu siapa yang cipta?"

"Itu kau kena tanya pakar. Para sosiolog yang kerap buat kajian kenapa UMNO tak lagi disokong."

"Oh yang berdasi lengkap dan berdegar-degar dalam debat perdana tentang ketuanan Melayu?"

"Ya, Mat-Mat Rempit di IPT"

"It's not funny. Otak hang memang dirasuk pembangkang."

"Sukak lu..sukak lu...wo tak tauuu"









Saturday, May 23, 2009

Tugas sasterawan


"Tugas sasterawan atau pengarang ialah memperdalamkan dan memperluaskan lagi kesedaran dan keinsafan orang-orang lain tentang diri mereka dan tentang masyarakat yang mereka diami, mendidik dan membimbing orang-orang lain ke arah kemajuan dan kemerdekaan, membela keadilan dan kesucian, membentuk budi pekerti yang luhur dan mempertinggikan peradaban bangsa."
Utusan Zaman 21 Mac 1954 - dari ceramah radio

Dipetik dari buku:

"Sikap dan pemikiran Usman Awang", diselenggarakan oleh Dinsman dan Sutung Umar Rs, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1983


Pernahkah peranan ini berubah?



Dirgahayulah "Buat Kerja"!

Berulang kali kulewati “BUAT KERJA” dengan beribu pertanyaan yang tidak pernah terjawab.

“Apa sebenarnya yang mahu dimaklumkan kepada pekerjanya? Yalah, semua orang buat kerja!” ujar Dinsman entah untuk kesekian kalinya. Aku sendiri tidak tahu. Yang jelas setiap kali kami berhenti di persimpangan “jau-merah” (istilah Pak Mat, itu juragan hebat di Kuala Pahang untuk lampu isyarat), Dinsman akan ketawa sambil melemparkan komen.

“Luar biasa!” ungkapan itu pun turut meluncur dari mulutku, juga entah untuk kali ke berapa aku pun sudah lupa…

Semalam aku mengajak Pyan ke warung pinggir jalan. Warung yang juga menamakan dirinya “Sedikit Luar Biasa!!”

“Bang ini tempat jamming, bukan warung mi segera,” Pyan mengingatkan. Tak apa fikirku, sesekali bagus juga melepak bersama anak-anak muda yang pelajaran sains dan matematiknya diajar di dalam bahasa Inggeris. Katanya supaya cepat maju. Inilah lirik lagu yang mereka suguh kepada kami:

yu got 2 no
tis rial world,,,
eni ting posibel
malaysia posibel

luar biasa
luar bia ..sa
luar bias
lu bias…
lu ba
ba..ba..
bi!!!

Lagunya sangat bingit. Aku tak mampu nikmatinya walaupun satu ketika dulu pernah ikut-ikutan terjerit-jerit, terkinja-kinja bersama “Woman from Tokyo”nya Deep Purple.

Benarlah orang-orang luar biasa sememangnya berfikiran luar biasa dan “BUAT KERJA” yang cukup luar biasa pula. Pembuat kerja yang buta kerja.

Mungkin cemara di dinding itu akan kugunakan untuk melap kaki sebelum memasuki warung “Buat Kerja”


Luar biasa!!! Dirgahayulah “Buat Kerja”

Friday, May 22, 2009

di tanah mimpi terlarang



ada nama haram kau sebut
ada warna tak ampun kupakai
di nusa mimpi terlarang


pyan, usahlah kau tanya lagi
apa itu manusia, yang berbicara?
itukah jerkah pelesit setan
gemanya gentayangan
di tanah mimpi terlarang



22 mei 2009

Ke dalam diri


Manusia diangkat Allah menjadi Khalifah di muka bumi ini. Harus diingat bahawa darjat kekhalifahan yang amat tinggi lagi mulia ini bukanlah satu anugerah lompong. Di sana ada pertanggungjawaban, peranan-tanggungjawab setimpal yang mesti dipikulnya.

Tatkala orang meneliti peranan dan tanggungjawab “kekhalifahan” ini, ramai yang melihat ke luar diri. Ramai yang tidak sedar bahawa musuh sebenar dan terbesar manusia ialah dirinya sendiri. Di dalam organisasi misalnya, penyakit tidak memandang ke dalam diri (makanya, tidak sedar bahawa dialah musuh sebenar dirinya) memberikan kesan terhadap jemaah apatah lagi jika manusia taksub diri ini menjadi pemimpin. Itulah sebabnya penyakit pemimpin cerdik, bodoh sombong yang memiliki keyakinan diri yang sangat tinggi tetapi fasik kerap memusnahkan ummah. Manusia-pemimpin yang sangat yakin diri sering beranggapan bahawa dialah manusia yang dipilih-terpilih-terhebat yang pernah diturunkan ke bumi ini. Dia itu anugerah alam. Dia yang akhirnya tertewas oleh kehebatan dirinya adalah pemimpin cerdik yang terlalu taksub dengan kehebatan dirinya sehingga lupa diri adalah musuh ummah. Bayangkan manusia-pemimpin-cerdik ini sentiasa saja memuja-sanjung kehebatan dirinya: Mahu diklonnya seluruh manusia-pengikutnya menjadi replika dirinya. Apakah pemimpin jenis ini akan mendengar pandangan orang lain? Pandangan berbeza manusia-manusia kecil yang tidak terdaya?


Apakah isunya? Apakah pemimpin itu sebaik-baiknya ulama atau profesional?

Rasanya ada sedikit pembetulan. Pemimpin sewajarnya cerdik-bijaksana dan bertaqwa. Kita perlukan pemimpin bertaqwa yang sangat mengenali dirinya: Dia mungkin saja ulama, profesional, petani, nelayan atau …. SIASAH.

Di dalam konteks sebuah negara, apakah tidak mungkin SIASAH menjadi pemimpin yang paling besar? Pemimpin yang kerap kali ternyata lupa daratan-fasik-lagi-zalim? Pemimpinkah itu yang tidak memiliki cita-cita, kecuali terus rakus mau berkuasa hatta dengan menzalimi rakyatnya, autokratik dan menjadi musuh nyata demokrasi? Apakah ini semua khayalan?

SIASAH telah lama memusuhi dirinya. Makanya sekian lama pula ia, memusuhi rakyatnya.

SIASAH siapa yang gencar sekali merongrong kita sekarang?


Tuesday, May 19, 2009

Kritikan ikhlas: Meminjam nurani




"Saya Pun Melayu" oleh Zaid Ibrahim (ZI Publications Sdn Bhd, 2009) terasa begitu dekat latar, masalah dan persoalannya dengan orang-orang Melayu seperti saya yang satu ketika dulu begitu gencar diserang pop yeh yeh. Saya dapat merasakan degupannya.

SPM bukanlah sesuatu yang "terlalu akademik" misalnya, seperti "Orang Melayu Masalah dan Masa Depan" oleh Syed Husin Ali, (Harakah, 2008). Memang benar, bukan itu yang menjadi tujuan utama Zaid menulis buku tersebut. Namun ia tidak mengurangkan makna yang mahu dipaparkan oleh penulisnya..


Sebagai permulaan, mari kita teliti salah satu sisi degupannya:


"UMNO yang ada hari ini juga harus mengiktiraf orang Melayu yang berusaha dan berjaya atas usaha sendiri dan jangan diperkecilkan kecemerlangan mereka. Berilah sedikit penghormatan demi kebaikan orang Melayu apabila mereka berjaya. Janganlah, semata-mata kerana ada Melayu ini mengkritik dasar kerajaan, Melayu ini dituduh dan dihina sebagai tidak berguna. "

(Saya Pun Melayu, hal. 158)


Malangnya tidak ramai yang memiliki pandangan seperti Zaid Ibrahim. Tak percaya? Bayangkan sehingga ke saat ini masih ada profesor Melayu yang seolah-olah mahu berperang kerana mempertahankan "kesucian Melayunya" UMNO. Beginilah keadaannya walaupun PRU 12 telah menghantarkan mesej yang amat jelas. Dan institusi akar umbi seperti JKKK masih dan hanya bercita-cita untuk menjadi pemimpin kelompoknya: Bukan pemimpin rakyat jelata! Mungkin alasan yang paling munasabah untuk berpegang teguh dengan pendirian seperti ini ialah pembangkang itu adalah musuh bebuyut datuk nenek parti.


Lalu, apa yang mahu dicadangkan? Besarkanlah jiwa dengan mendengar segala kritikan dan teguran. Usahlah ditapis sebarang maklumat dari akar umbi. Yakinlah bahawa sesungguhnya teguran bukanlah bunyi bising/kebisingan, noise yang mesti dihadang dari memasuki sanubari.


Wallahuaklam.

Monday, May 18, 2009

Bebawang...




Rosak bawang ditimpa jambak

Kamus Dewan, edisi keempat (DBP, 2005) menjelaskan bawang itu sejenis tumbuhan yang umbinya (bebawang) dimakan. Bahasa saintifiknya Allium (Allium cepa itu bawang merah dan allium sativum untuk bawang puith).

Dalam sejarah perfileman Melayu kita pernah dihidangkan "Bawang Putih Bawang Merah" yang menampilkan antara lain Latifah Omar, Umi Kalsom dan Mustapa Maarof. Di dalam BPBM kita temui tragedi ibuku si ikan kalui dan buai "ayun laju-laju" sakti serta kemerduan suara yang mampu memikat hati sang putera raja.

Mengikut Kamus Dewan lagi, "makan bawang" ialah kiasan "marah dalam hati." Sementara "rosak bawang ditimpa jambak" pula peribahasa yang berbawa makna " rosak kerana kesalahan kaum atau diri sendiri."

KJ John di dalam tulisannya di Malaysiakini pernah menulis perihal "bawang diri." Antara lain beliau perkatakan susun lapis bawang dirinya yang: Malaysian, Malailam, Kristian.

Sesungguhnya bawang bukan sekadar bahan makanan dan herba. Ia sumber ilham dan pemikiran. Kita temui perihal bawang di dalam tragedi Anthoni dan Cleopatra IV, William Shakespeare. Di dalam bahasa Perancis ada perbahasa yang terjemahan literalnya di dalam bahasa Inggeris berbunyi "It's not your onions." Kita juga mendengar tentang The Onion sebuah organisasi "berita palsu/fake news" yang pernah memenangi Award Peabody.

Pernahkah kita kupas intipati metafora bawang diri milik kita? Dan tatkala membelek-belek bawang diri ini, lapisan semacam apakah yang kita temui?

Di dalam konteks ini, ada yang menyatakan bahawa paling utama ialah inti/core bawang diri itu sendiri. Sesungguhnya itulah fokus metaforanya. Lapis-lapis luar sememangnya sekadar luaran.

Apa pun apakah inti diri kita: Sebagai individu, sebagai insan?

Apakah PPSMI itu bakal menjadi contoh tersohor "rosak bawang kerana jambak" ?

Apakah ini soalan baragajul? Soalan yang tidak membawa sebarang faedah?

Sebelum terlupa ibu saudara saya, Mak Teh pernah mengingatkan sesungguhnya lapis yang memisahkan di antara hidup dan mati seseorang insan itu amat tipis, ibarat kulit bawang.








Wednesday, May 13, 2009

Siapakah algojonya..??



sayang,

usahlah adinda pedulikan beg itu. Bukankah pakaianku sudah lengkap?

adinda,

tidak kuketahui apakah bekalan ini mencukupi. apa bakal diterima kredit kasih sayang yang adinda sms kelak?

wahai teman,

apakah kalian halalkan hutang-piutang kukutip sepanjang kembara bersama kita? terima kasih kerana tidak lokek teguran

Bahasaku,

siapakah algojo itu?
siapa pembaca talkinmu?

selamat jalan kekasih,
jambatan hayat alam Makrifat

ada hutang
yang tak mungkin mereka lunasi
sehingga kiamat.


wangsa maju
13 mei 2009

Padang rata untuk rakyat


Pertandingan yang sihat sepatutnya mampu menghasilkan produk terbaik. Contohnya pada akhir musim pertandingan, sebuah liga primer akan perolehi sang Juara: Produk terbaik pertandingan. Apakah mungkin semua pertandingan menghasilkan produk yang terbaik?

Belum tentu. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi hasil pertandingan. Salah satu faktor utamanya ialah ketelusan pengendalian pertandingan. Apakah pertandingan yang nyata berat sebelah dan melanggari segala macam peraturan itu benar-benar berupaya menghasilkan Juara tulen?

Sebenarnya padang pertandingan yang tidak rata wujud dalam pelbagai bentuk: Antara lain penipuan, ketidaktelusan penguatkuasaan peraturan, sikap berat sebelah dan tidak amanah si pengadil. Dan sebagai individu, kita sering berfikir bahawa kita tidak terdaya berbuat apa-apa walaupun sangat yakin sesungguhnya penyelewengan-penipuan berleluasa di depan mata kita!.

Benarkah kita benar-benar tidak terdaya? Adakah ini fakta atau sekadar tanggapan saja? Bukankah BERSIH, keranda 152 dulu dan kini (2009), GMP dan PPSMI 7 Mac 2009 adalah peristiwa benar sebuah bangsa? Kita, rakyat jelata telah membenarkan peristiwa-peristiwa tersebut.

Kezaliman berleluasa kerana kita mengizinkan maksiat-hina-para-penguasa itu hidup, membesar, melembaga menjadi budaya yang akhirnya merongrong kehidupan kita. Kita sebagai rakyat merelakan segala bentuk kezaliman tumbesar di dalam masyarakat. Kita, sebagai rakyat memilih jalan yang paling mudah; kita tidak berbuat apa-apa. Kita takut terlibat kerana dipenjara oleh ketakutan yang tidak pernah kenal sempadan waras.

Namun kita lupa hakikat bahawa tidak berbuat apa itu
(the do-nothing option )
adalah tindakan yang bakal ditanya di depan Pemilik kita. Tak percaya? Pengantin perempuan yang berdiam diri tatkala ditanya, apakah bersetuju dikahwinkan dengan si folan bin si folan, selalu ditafsirkan sebagai persetujuan mutlak. Di dalam tradisi hadith dikatakan juga bahawa diamnya Nabi SAW itu menandakan persetujuan Baginda. Oleh sebab itu apakah kita yang telah tidak dan tidak akan berbuat apa-apa itu dikira tidak terlibat?

Apakah kita sentiasa berpendapat bahawa kita, rakyat biasa ini adalah manusia kerdil yang sama sekali tidak terdaya? Apakah kita bukan pengundi, pembayar cukai, pengguna dan pembeli? Apakah kita bukan pekerja? Adakah kita bukan anggota masyarakat madani? Apakah kita cicak mengkarung yang hanya pandai melata?

Apakah kita selamanya cenderung berfikir bahawa sesungguhnya (kita=rakyat=kita=rakyat) itu sememangnya kerdil, selama-lamanya?

Ya?

Kita, rakyat jelata mungkin perlu menelaah semula kitab-kitab kebijaksanaan yang tersimpan di dalam rumah sejarah.

Saturday, May 9, 2009

amarah yang derhaka


semoga sejahtera para kamu
di pentas nyata alam benar
dengarlah, didih marah kecewa umat
lihatlah, gegak gempita bulat tekad
amarah jenuh maruah dimakihina


wahai para kalian benih serakah
abupuingmu telah rakyat balutbungkus
menunggu saat dinyah pergi
ke liang mega menganga


kiranya masih bersisa benih serakah
percayalah seluruh marhaen jelata
siaga abuhanyutkan ke selat melaka
tebing kangsar ubudiah menjadi saksi
bahawa ada amarah pada derhaka.



kuala lumpur
10 mei 2009


Suatu ketika di zaman purba.

Suatu ketika di zaman purba, maka tibalah segerombolan rampuk ke Tanah Kedawung. Tatkala mereka terpandang sebuah istana lama yang dihuni sepasang suami isteri tua, si kepala rampuk teruja sekali dengan keindahan serta kemakmuran istana lama tersebut hinggakan tanpa disedarinya meneteslah air ludahnya.

Sekonyong-konyong berkata si Kepala Rampuk yang bersenjatakan keris telanjang berlok empat-enam:

"Apakah kalian fikir, apa yang sedang kufikirkan?" sabda si Kepala Rampok.

Maka berderai-derailah dekah seluruh gerombolan.

"Ya..Ya..tapi mesti ada kamu yang mau beresin dulu persoalan sama Pak Lurah"

"Asal Bapak sengang, tanggung beres Pak. Biar gua aja beresinn ....." demikian ampu Penolong Kanan Ketua Gerombolan (khabarnya berasal dari Daerah Goa).

"Hebat kamu Kitol, memangnya jagoan lu!!"

Diringkaskan ceritera, sepasang penghuni istana lama diberkas, diikat kaki tangannya. Mulut mereka disumbat kain buruk, sementara telinga pula ditutupi gabus penutup botol.

"Istana ini, milik kami bukan?" demikian sergah Ketua Gerombolan.

"Kamu setuju?"

Akhirnya sepasang suami isteri tua penghuni itu diusung keluar istana lalu dihumban ke kandang kerbau.

Setelah bebas segala ikatan, mereka pun protes sesungguh upaya bahawa istana mereka telah dirampok. Pak Lurah yang akhirnya dijemput hadir untuk selesaikan konflik, tiba-tiba membentak.

"Kenapa kamu tidak protes, jerit atau maklum pada saya?? "

"Kami dirampok Pak, diikat, ditodong Pak..Sungguh mati!!Dirampok!!"

"Ah, masak gitu??Kamu ngawur!! Mana bisa orang rampok istana orang???"

"Ya, betul Pak, percayalah. Kami dirampok."

"Nggak mungkin, ngak mungkin..." ujar Pak Lurah, lalu pergi.


"Dasar rampok...rampok..."


Sekarang seluruh penduduk desa menjadi takut. Seluruh penghuni desa tahu sekarang bahawa desa mereka sudah tidak aman lagi. Orang rampok istana di siang bolong. Wah, ini bisa celaka!!Mereka sangat marah. Sudah ada rampok yang menyerang desa. Awas Pak Lurah, awas loh kamu. Kamu tunggu pemilu nanti, kami humban ke kandang kerbau..


Rupa-rupanya bakal bermula sebuah lagi cerita baru...

Ya, ampun Pak Lurah, ya ampun.

Nota kaki:

"Kepala Rampuk" atau "Kepala Rampok" itu orangnya sama.

Thursday, May 7, 2009

Berapa jauhkah jaraknya...?

Manusia melihat. Demikian jua kucing.

Sang kucing amat teruja tatkala melihat seekor burung leka mencari makan di laman rumah. Tingkah sang pemangsa merapatkan perutnya ke tanah, buntut yang digoyang-goyang, kaki belakangnya terpancang kukuh adalah aba-aba yang jelas bahawa itulah saat-saat terakhir lonjakan-mautnya. Citra telatah pemangsa yang sentiasa siap untuk membunuh.

Apakah bedanya penglihatan kita, manusia dengan seekor pemangsa di laman rumah? Pernahkah kita melihat 'suatu peristiwa itu' sepertimana kita melihat sinar yang dibias oleh sebuah prisma kaca? Mereka yang jinak dengan dunia persajakan faham benar prisma makna yang dibias oleh sesebuah karya yang baik. Ertinya manusia sebagai makhluk-bukan-kucing akan membaca makna-makna yang dibias pelbagai peristiwa.

Kebetulan kami sama-sama menjadi tetamu sebuah rumah sakit, masing-masing ada handai taulan yang lagi sakit. Di dalam perbualan sambil menghirup kopi pekat dan teh tarik, kami meredah tajuk yang pelbagai: Dari soal bahasa ibunda, peranan penjawat awam yang baik, habuan dan rezeki manusia yang dianugerahi nikmat-kekayaan yang bernama kesihatan sehinggalah menyentuh perihal protes rakyat, penentangan GMP terhadap PPSMI. Protes? Lantas teman bicara ini menambah bahawa besannya pernah "di sana"

"Di sana?"

"Di Kemunting, tapi dia sudah meninggal! Saya rasa penjawat awam mestilah tahu membawa diri."

Perbualan kami terhenti di situ. Dia tergesa-gesa mahu pergi kerana "Anaknya mungkin sudah lama menunggu" Atau apakah dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang bergelora? Mungkin.

Tatkala sendirian, saya teringatkan banyak perkara. Namun yang paling nyaring terngiang-ngiang di lubuk nurani adalah persoalan: Berapa jauhkah rumah tamadun kita?






Sunday, May 3, 2009

Mendirikan jambatan budaya atau..?














Mendirikan jambatan budaya atau memperkukuh lagi jambatan yang sewajarnya lama terbina? Demikian dan begitulah ironisnya kita sebagai satu bangsa. Kita yang lebih lima puluh tahun merdeka masih bercakap perihal budaya bangsa yang masih kabur...dan penuh was-was?


Yang jelas kita, sebagai bangsa merdeka masih belum mampu bercakap tentang pandangan kita yang berbeza. Kita masih curiga dan ragu-ragu apabila "orang lain" tidak berkokok seperti kita. Apakah mungkin setiap anak manusia itu "sama dalam segala hal"? Kalau ya, alangkah hambar dan dungunya kehidupan ini.



Maka pada hari Sabtu, 25hb April 2009 jam 3.30 petang bertempat di Restoran Tupai-Tupai telah bertemu teman-teman dari Paksi, Seniman Paksi Rakyat dan sekumpulan "Peminat kebudayaan bangsa Tionghua" untuk berbincang aspek-aspek menarik tentang kepelbagaian kita, rakyat negara ini. Isu-isu budaya, pembinaan bangsa yang merdeka, masalah "jurang pemisahan kaum yang disengajakan kerana fakta dan maklumat yang sengaja diselewengkan" telah diutarakan dan dibincang.



Langkah seterusnya? Semua bersetuju agar kita berkumpul di pentas budaya dengan sesuatu yang tidak dipaksa-paksa sebagai sebuah lagi projek politik yang mahu ditonyoh ke kerongkong rakyat.


Kenapa tidak? Langkah pertama ini langkah bersejarah. Dan kita tidak perlu berpura-pura bahawasanya ada saat-saat tertentu kita memang berbeza...namun kita masih insan merdeka di bumi milikNya.


Wallahuaklam.


Saturday, May 2, 2009

Singkatnya perjalanan ini..

Sekadar renungan bersama:

Ia lahir pada 1 Mei. Hari keramat buat meraikan seluruh umat manusia yang bernama "pekerja". Apakah pernah kita berfikir tentang hari yang seistimewa ini? Mungkin kita pernah terbaca tentang kisah keringat yang belum kering dan upah yang mesti dilunasi.

Adakah itu makna "Hari Pekerja"? Atau apakah ia sekadar satu hari pura-pura bahawa di sana ada usaha sekelompok manusia yang bersungguh-sungguh mahu membuktikan bahawa mereka telahpun memanusiakan manusia lain?

Apakah suri rumah sepenuh masa itu, seorang pekerja? Atau apakah beliau seorang sahabat karib, insan yang sama-sama berkongsi satu perjalanan yang jauh, di sini dan juga di sana?

Apakah kita terlupa bahawa setiap pemerintah (tentunya termasuk pemerintah kita) adalah majikan yang besar? Apakah seorang pekerja itu penjana keuntungan?

Dan adakah seluruh rakyat jelata itu hanyalah pekerja...

Wallahuaklam.

Friday, May 1, 2009

barabarajiwa

terbersalin pada 1 mei 2009 hari jumaat bersempena hari pekerja antarabangsa.