Apakah caranya melawan kerakusan?
Di antara hujah ajaib berhubung pengswastaan ialah bahawa langkah inovatif mendahului zamannya ini, bakal meningkatkan kecekapan. Kata mereka, pengswastaan meningkatkan kecekapan, bakal menurunkan kos operasi, meningkatkan pengeluaran, maka akan melambak-lambakkan keuntungan.
Hujah-hujah gagah, yang sangat pro-pengswastaan ini tidak berhenti di situ. Langgam hujahnya seorang mantan yang sangat terkenal dengan mantik sebab-akibatnya, bermula dan berkesudahan, kira-kira, begini:
kos menurun - kecekapan meningkat – untung meningkat – lebih ganjaran kepada pekerja – negara semakin makmur – negara kita dihormati.
Akibatnya, maka banyak jugalah Jabatan Kerajaan diswastakan. Di antara yang paling dulu dalam hal swasta-menswasta ini ialah Jabatan Telekom Malaysia.
Hari ini dengan perubahan senario ‘bercakap adalah bisnes besar’ maka keadaan juga turut berubah. Kita tidak tahu apakah benar kecekapan telah meningkat, kos semakin menurun, dan yang paling penting ― rakyat jelata semakin bahagia.
ii.
Ada satu kisah benar yang dapat menceritakan perihal peningkatan kecekapan ini. Seorang pelanggan telah memohon untuk memasang telefon di rumahnya. Telefon dipasang oleh pemborong Jabatan. Malangnya telefon tidak dapat digunakan kerana Jabatan Telekom belum lagi menyambung taliannnya. Pelanggan menunggu. Entah berapa lama berselang, talian tidak juga bersambung. Pelanggan kecewa menunggu, marah dan tidak mahu pedulikan lagi, dan dalam tempoh yang sama telah berpindah ke daerah lain...
Apabila bilnya diterima si pelanggan enggan membayarnya. Bertahun-tahun berlalu. Kali terakhir hubungan pelanggan dan syarikat swasta telefon dipulihkan semula ialah surat gertak loyar yang menuntut segala hutang dan piutang.
Bagi pelanggan ini, itulah makna sebenar kecekapan, ― kecekapan mereka dalam dunia korporat yang dulunya sebuah Jabatan Kerajaan.
Diringkaskan cerita, manusia kecil yang dikejar bertalu-talu supaya segera membayar ‘hutang’ yang baginya tidak pernah wujud itu, tidak bahagia kerana kebencian yang memuncak, akhirnya mengalah. Hutang untuk servis-yang-tidak-pernah-wujud dibayar dengan ― doanya sekali:
“Kau makanlah rezeki haram ini. Aku tak akan halalkan ― dunia akhirat!’
Mungkin pegawai muda yang amat agresif menuntut hutang itu meningkat KPInya. Dia bakal mendapat ganjaran yang lebih kerana telah menjadi sangat efisien.
Kita percaya ― ini bukanlah satu-satunya peristiwa yang sedemikian. Ramai rakyat kecil yang digertak, dipaksa menjadi sakit hati, muak dan meluat yang amat sangat, tapi tunduk kepada kecekapan pengswastaan.
iii.
Apakah rakyat yang EMPAT JUTA dengan LIMA BELAS JUTA saman ekor itu juga akan meluat tapi tetap membayarnya?
Ke depanlah wahai segala pemimpin masyarakat madani ― rakyat perlukan kepimpinan dan pembelaan kalian.
Ada aparat yang sudah bersedia untuk memeras!
No comments:
Post a Comment