Tuesday, February 22, 2011

Hak istimewa orang-orang Melayu



Soalan Ketiga: Benarkah persaingan sihat akan memudharatkan orang-orang Melayu? 


Jika kita amat-amati persekitaran kita,  khususnya dunia orang-orang Melayu, apakah kita juga termasuk dalam kelompok Melayu yang menanggapi bahawa orang-orang Melayu lemah dan tidak bermaya?  Maka oleh sebab ketidakbermayaan itu, kita yakin bahawa orang-orang Melayu mestilah terus dibantu.  

Berdasarkan keyakinan ini, kita juga yakin ― benar-benar yakin,  bahawa andaikata sistem pemberian keistimewaan ini atau preferential treatment kepada orang-orang Melayu itu ditarik balik@ditiadakan ― maka nasib mereka akan bertambah buruk?  Mereka, orang-orang Melayu ini,  pasti terus ketinggalan kerana kehilangan pelbagai peluang dan ‘kesempatan’  yang sekian lama dikhaskan kepada mereka?

Betulkah tanggapan begitu?

Apakah pandangan kita ini tepat, benar, jujur dan ikhlas? 

Apakah kita telah selongkar dan renungi sudut-sudut tersembunyi nurani kita, apabila kita bertegas berpendapat demikian? 

Apakah kita sudah  ‘melihat’ segala angka dan tindakan yang membuktikan dengan jelas bahawa selama ini segala keistimewaan ini tidak pernah disita@disandera@dihijack dari tempat dan haknya yang sah?

Apakah kebimbangan bahawa kita bakal punah itu berasas, atau di sebalik segala kebimbangan @ketakutan yang disuarakan itu,  ada sesuatu yang lebih kompleks yang sengaja mereka sembunyikan? 

Atau tidakkah semua ini disengajakan, digembar-gembur demi untuk memberikan manfaat semaksima mungkin kepada kelompok-kelompok tertentu ― kelompok yang rapat dengan elit penguasa?

Apakah seluruh rakyat Melayu di negara ini, mengetahui dengan jelas keistimewaan-keistimewaan  yang manakah yang diberikan kepada orang-orang Melayu itu?  

Dan ini semua angka ini dipaparkan dengan telus dan terbuka?

Ya, siapa saja Melayunya yang mendapat manfaat paling besar daripada keistimewaan-kesitimewaan ini? 

Adakah angka-angka rasmi yang membuktikan bahawa dasar ini adil, telus dan saksama:  Bahawa  dasarnya benar-benar mensasarkan Melayu-Melayu dhaif di seluruh negara?


ii.

Tentunya kita masih ingat bagaimana angka dan statistik tertentu pernah dipaparkan,  semasa perang merebut kuasa dalam Umno sedang menggila.  Begitu jugalah dengan cerita-cerita di sebalik AP.

Adakah angka-angka itu menunjukkan bahawa segala pelan tindakan pemerintah itu, sesungguhnya dan semata-mata untuk meningkatkan kesejahteraan orang-orang Melayu?

Dalam konteks ini, ramai orang-orang Pas di kampung-kampung di seluruh tanah air kita, dapat melihat bagaimana JKKK yang mereka kuasai itu,  mengagih-agihkan peruntukan yang mereka perolehi dari para pembesar mereka.

Bagi orang-orang Pas, itulah cermin terbaik tentang segala dasar, yang katanya, digubal untuk membantu orang-orang Melayu yang dhaif. 

Maka, apakah makna sebenarnya ― segala keistimewaan itu?

Apakah ‘wajah’  keistimewaan itu benar-benar asli?

Apakah kita cukup yakin itu bukan ― sekadar ― topeng?



No comments: